Meruntuhkan Mitos Nilai Ekonomi Bahasa Melayu

Nilai ekonomi sesuatu bahasa sering dikaitkan dengan tahap penerimaan bahasa tersebut dalam urusan perniagaan dan urusan pentadbiran negara. Walau bagaimanapun, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ini sering dihambat oleh mitos bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi. Dewan Bahasa menemui Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk meminta pandangan beliau tentang nilai ekonomi bahasa Melayu pada masa kini.

DB :

Apakah cabaran yang dihadapi untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi?

SMZ :

Cabaran utama untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi adalah untuk melaksanakan peraturan dan undang-undang berhubung bahasa Melayu yang telah digubal dan dimaktubkan. Masalah pertama, pemerintah terpaksa bertolak ansur dengan pihak yang memegang kuasa politik dan ekonomi. Kita berhadapan dengan keadaan politik yang sukar dan komposisi kaum yang saling bersaing, dan setiap kaum mempunyai agenda sendiri. Tentu sahaja mereka mahukan bahasa mereka dijadikan bahasa utama. Oleh itu, kerajaan “terpaksa” berhemah dalam melaksanakan peraturan tersebut.

Kedua, kedegilan dan kesombongan syarikat korporat. Syarikat korporat sentiasa

memberikan alasan bahawa mereka berurusan dengan dunia luar dan berurusan pada peringkat antarabangsa. Sikap mereka ini merupakan cabaran yang besar kerana kuasa ekonomi dipegang oleh mereka.

Kita perlu meruntuhkan pemikiran mitos mereka yang beranggapan bahasa Inggeris memperlihatkan imej hebat. Sebaliknya, kita perlu meyakinkan mereka bahawa penggunaan bahasa Melayu penting untuk menunjukkan kita mempunyai identiti nasional yang teguh. Namun begitu, amat sukar untuk meyakinkan mereka kerana kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berpendidikan luar negara. Mereka tidak terlibat dengan perjuangan nasionalisme; sebaliknya mereka terdedah dengan dunia antarabangsa. Golongan ini sukar untuk kita pengaruhi. Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan satu pelan tindakan dan menguatkuasakannya. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur kerana bahasa Melayu akan terus dipinggirkan.

One thought on “Meruntuhkan Mitos Nilai Ekonomi Bahasa Melayu”

  1. Usaha menaik taraf bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa bernilai ekonomi harus dimulai oleh empunya bahasa itu sendiri. Sekiranya orang Melayu khasnya dan orang malaysia amnya menganaktirikan bahasa Melayu itu sendiri, maka terkuburlah hasrat untuk melihat bahasa Melayu semakin maju. Perlu kita sedar bahawa bahasa Melayu juga mempunyai pelbaga kelebihan berbanding bahasa-bahasa lain di dunia dan berpotensi untuk dijadikan sebagai bahasa bernilai ekonomi. Oleh itu, wajar sekiranya diberikan ruang dan peluang untuk bahasa Melayu itu diperkembangkan setaraf dengan bahasa-bahasa maju di dunia.

Leave a Reply