BAHASA INGGERIS: Metodologi dan Sejarah

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Hubungan Inggeris di dunia Melayu dimulai dengan minat hubungan perdagangan. Seawal tahun 1614, hubungan ini disinonimkan dengan penerbitan yang dihasilkan oleh pedagang Inggeris. Penerbitan berbentuk manual praktis ini merupakan penerbitan pertama Inggeris dalam dunia Melayu yang diberi judul Dialogues in the English and Malaiane Languages: or Certaine Common Forms of Speech, First Written in Latin, Malaian, and Madagascar Tongues. Berdasarkan catatan sejarah, pelayaran awal Inggeris ke timur ini sebenarnya sudah bermula lebih awal daripada itu, iaitu sejak tahun 1603. Di sinilah peluang orang Inggeris untuk mempelajari bahasa Melayu.

Minat terhadap dunia Melayu telah mendorong kepada penerbitan seterusnya, iaitu A Brief Vocabulary of The Malayan Tongue pada tahun 1673 dan penerbitan ketiga pula di Oxford pada tahun 1677. Di sinilah bermulanya hubungan awal Oxford dengan dunia Melayu. Hubungan bahasa Melayu dan Inggeris pada awal abad ke-17 lebih kepada bibit pengenalan dunia Nusantara kepada dunia barat. Dunia idaman barat ialah eksotik timur yang penuh dengan imaginasi liar terhadap bayangan timur yang mereka sendiri kurang teroka. Ketika itu, persaingan kuasa imperialis untuk merebut peluang di timur mendorong kepada penerokaan melalui pelayaran, survei, kajian saintifik dan penguasaan secara kekerasan mahupun secara lunak dan halus yang dikenali sebagai hegemoni.

Dalam konteks ini, penerokaan secara survei paling banyak dilakukan, sama ada secara rasmi mahupun sebaliknya. Survei secara rasmi dilakukan oleh pentadbir kolonial, pihak imperialis yang berminat untuk meneliti bagi mendapatkan maklumat berkenaan sesuatu masyarakat tersebut. Bagi pihak imperialis, lebih banyak sumber berkaitan dengan sesuatu masyarakat itu diperoleh, lebih mudah mereka memahami jiwa dan hati nurani masyarakat timur yang mempunyai potensi untuk dijajah. Bukan sahaja Inggeris, malah pihak Belanda, Sepanyol dan Amerika Syarikat turut berminat untuk mengetahui alam timur.

Kajian bahasa dianggap sebagai pusat segala pemikiran, sikap dan sistem nilai kehidupan sesebuah masyarakat. Tanpa pengetahuan berkenaan bahasa masyarakat tersebut, mustahil penerokaan dan kajian dapat dilakukan dengan lebih lengkap. Aspek bahasa sesuatu masyarakat itu merupakan kompleksiti perjalanan hidup mereka. Oleh itu, pengetahuan tentang sejarah bahasa amat penting untuk melihat keaslian, kreativiti, inovasi dan kearifan masyarakat tempatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Leave a Reply