Roti Canai, Roti Bakar, Roti Perancis

Oleh SAIDAH KAMIN

Di manakah agaknya pengguna bahasa perlu melihat untuk mencari makna sesuatu frasa nama seperti “roti canai” dan “sepana hidup”? Sudah pastilah sumber rujukan yang paling mungkin mengandungi huraian atau takrifnya ialah kamus. Frasa nama merupakan salah satu item leksikal yang biasanya dimasukkan ke dalam kamus, selain kata akar, kependekan atau singkatan, dan kata terbitan. Dalam bidang perkamusan, frasa nama boleh ditakrifkan secara umumnya sebagai gabungan kata nama sebagai kata utama atau kata intinya dengan kata lain, yang mempunyai maksud atau tingkah laku idiomatik yang tertentu.

Penyusun kamus kerap kali berhadapan dengan masalah dan dilema dalam mengenal pasti frasa yang berpotensi menjadi masukan dalam sesebuah kamus. Masukan di sini bermaksud item leksikal yang diberi takrif. Biasanya pertimbangan untuk memasukkan frasa ke dalam sesebuah kamus atau sebaliknya, bergantung pada jenis dan konsep kamus yang mahu disusun. Kamus kanak-kanak tidak pernah memasukkan frasa, manakala kamus pelajar sekolah menengah mungkin memasukkan frasa yang penting sahaja untuk pengetahuan mereka. Masalah yang sebenar timbul apabila penyusun kamus mahu membina kandungan kamus yang sasarannya pengguna umum sesuatu bahasa. Penyusun kamus memerlukan pertimbangan yang teliti dari segi pemilihan frasa yang mahu dimasukkan ke dalam kamus tersebut. Pelbagai faktor perlu diambil kira, antaranya termasuklah kekerapannya dalam korpus, kepentingannya kepada pengguna bahasa, potensinya dalam pembinaan dan pengembangan bahasa berkenaan, dan kepentingannya dalam perakaman bahasa tersebut.

Kita boleh lihat bagaimana kekerapan dan bentuk frasa roti dan sepana dalam korpus bahasa Melayu. Di samping korpus, Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (PRPM DBP) yang disediakan dalam talian untuk membantu pengguna bahasa, dapat juga membantu penyusun kamus untuk mencari calon frasa yang boleh dimaksudkan dalam kamus. Penyusun kamus juga perlu melihat data korpus internet untuk mencari calon frasa untuk kamusnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Leave a Reply