Berikan Nilai kepada Bahasa Melayu

Oleh JENIRI AMIR

Bahasa Inggeris sering dianggap memiliki nilai ekonomi yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa global yang dituturkan dan difahami kebanyakan warga dunia. Bagaimanakah pula dengan bahasa Melayu? Adakah bahasa Melayu memiliki nilai ekonomi atau nilai ekonominya tidaklah setinggi nilai ekonomi yang diberi kepada bahasa Inggeris? Jika bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi atau nilai ekonominya rendah, mengapakah perkara itu berlaku? Nilai ekonomi merujuk sejauh mana sesuatu bahasa diberi nilai dari segi komersial, peluang mendapat pekerjaan atau memiliki potensi untuk seseorang yang menguasai dan menggunakannya menanjak dalam kehidupan, kerjaya dan profesionnya. Nilai ekonomi sesuatu bahasa bukan kerana bahasa itu diterima pada peringkat dunia atau tidak, tetapi cara pengguna bahasa itu menanggapi dan memberikan nilai kepada bahasa, itulah yang lebih utama.

Jika penggunanya memandang rendah, apatah lagi memperlekeh bahasa itu, jangan diharap bahasa itu akan mempunyai nilai ekonomi dan berpotensi untuk dijadikan aset bagi membantu penggunanya memperbaik kerjaya atau profesionnya. Bahasa yang memiliki nilai ekonomi akan sentiasa mendapat tempat di hati pengguna. Banyak orang akan berebut-rebut untuk mempelajarinya apabila menyedari bahawa bahasa itu mampu mengubah nasib dan kedudukan mereka. Bahasa yang memiliki nilai ekonomi yang tinggi digunakan dengan meluas, bukan sahaja dalam bidang pentadbiran, malah dalam bidang perniagaan dan periklanan.

Banyak orang mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin kerana menyedari bahawa bahasa itu berpotensi untuk mengubah nasib dan kedudukan mereka. Dengan menguasai bahasa Inggeris mereka berpendapat bahawa masa depan mereka lebih cerah untuk menapak maju dalam kehidupan. Mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapat pekerjaan dalam sektor swasta kerana sektor swasta memberikan nilai yang lebih tinggi kepada bahasa Inggeris. Adakah benar potensi ini ada kaitan dengan nilai ekonomi bahasa itu atau sebenarnya berkaitan rapat dengan sikap masyarakat yang condong terhadap bahasa Inggeris?

Jika kita mempunyai sikap yang betul terhadap bahasa Melayu, dengan terlebih dahulu memberikan tempat yang sewajarnya kepada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan itu, sudah pasti dengan sendirinya bahasa itu akan mempunyai kedudukan istimewa di hati rakyat dan pengguna. Nilai ekonomi bahasa Melayu berkaitan rapat dengan sikap, tanggapan dan tindakan kita sebagai pengguna bahasa itu. Kita sendirilah yang menentukan nilai ekonominya. Untuk memberikan nilai ekonomi yang tinggi kepada bahasa Melayu, kita perlu menggunakannya dalam semua ranah dan bidang. Menguasai bahasa Melayu perlu dijadikan syarat utama untuk mendapat peluang pekerjaan, tidak kira dalam mana-mana sektor. Bahasa Melayu perlu digunakan dengan meluas sebagai bahasa pengantar di semua peringkat, meliputi pelbagai bidang atau kursus.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Leave a Reply