Bahasa Melayu Berupaya Melonjakkan Ekonomi

Oleh LIM SWEE TIN

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia menyarankan supaya filem yang dihasilkan di sini perlu juga difikirkan untuk tujuan eksport. Hal ini merupakan satu saranan yang bijak. Selama ini filem Malaysia lebih cenderung berkurung di sempadan negara sendiri sahaja. Amat kecil bilangannya yang menjengah keluar. Saranan ini wajar dan kena pada tempatnya setelah melihatkan perkembangan pesat industri perfileman tempatan. Sekiranya diukur dalam konteks pencapaian di peringkat negara kita, terdapat beberapa buah filem mendapat sambutan yang sangat luar biasa. Kejayaan Ombak Rindu barangkali sesuai dan elok dijadikan rujukannya, ketika ia meledak di pasaran dan seolah-olah menandakan titik tolak kebangkitan yang baharu untuk dunia perfileman tempatan.

Akan tetapi tulisan ini bukan tertumpu pada bidang perfileman. Saranan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim itu jelas ditujukan kepada filem tempatan yang pastinya dihasilkan dengan menggunakan medium bahasa Melayu. Jika filem Sepanyol atau Korea Selatan mengekalkan bahasa asal masing-masing, hal ini tidak terkecuali dapat dilakukan terhadap filem tempatan. Tentunya filem tersebut disertakan dengan sari kata dalam bahasa asing, sesuai dengan keperluan pasaran di luar yang nyata amat luas seandainya filem Malaysia berupaya mengekalkan kualitinya di tahap tertinggi. Melalui medium bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang indah dan santun pada pendengaran, sudah tentu filem tersebut akan disambut baik. Sekali gus membuktikan keyakinan Yang Berhormat Menteri bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa yang keempat paling besar jumlah penggunanya di dunia. Khalayak filem seharusnya mengambil peluang ini untuk menghayati sosok bahasa kita yang kaya estetik apabila filem ditonton.

Tanpa disedari, melalui muatan tema yang bagus, filem tempatan menjadi duta kecil kepada perkembangan bahasa Melayu di luar. Hal ini sejajar dengan pandangan beberapa pengkaji bahasa Melayu yang terkenal di peringkat antarabangsa peri bahasa Melayu kini menjadi mata pelajaran atau kursus popular yang ditawarkan di universiti, kolej dan sekolah di Korea dan Jepun. Yang terbaharu, Profesor Dr. James T. Collins (Utusan Malaysia, 21 Disember 2012) menyatakan bahawa masyarakat Amerika Syarikat dan Eropah kini semakin galak mempelajari bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa pilihan di pusat pengajian. Antara lain, Collins memberi alasan faktor kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara menjadi faktor utama rakyat Amerika Syarikat dan penduduk Eropah berminat mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Baginya, sehingga kini bahasa Melayu sudah merentasi dunia sebagai bahasa komunikasi dan bahasa penulisan yang penting dalam sektor perdagangan, diplomatik, pelancongan dan kajian kebudayaan. Ertinya, telah wujud rasa hormat dan yakin akan kuasa yang ada dalam bahasa Melayu, khususnya untuk tujuan diplomatik dan perdagangan. Yang jelas, nilai ekonomi bahasa Melayu telah diakui di peringkat antarabangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Leave a Reply