MENGHADAPI KRISIS KEYAKINAN NILAI BAHASA MELAYU

Oleh Rahemah Ahmad

Bahasa Melayu sering dianggap sebagai bahasa yang tiada nilai ekonomi dan tidak boleh dikomersialkan. Anggapan sedemikian perlulah ditangkis kerana bahasa Melayu terbukti menjadi lingua franca dan bahasa perantara yang digunakan sejak zaman dahulu. Menelusuri sejarah, Melaka yang menjadi pusat perdagangan sekitar abad ke-14 dan ke-15 membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan. Malahan, surat-menyurat antara raja Melayu dengan pemerintah di benua Eropah ketika itu menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Kini, bahasa Melayu berhadapan dengan cabaran keyakinan masyarakat terhadap nilai ekonominya. Seiring dengan kemajuan negara, sektor ekonominya turut berkembang merentas dunia. Daripada negara pertanian, Malaysia mengalami transformasi kepada negara perindustrian. Hubungan perdagangan dalam dan luar negara menyaksikan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantara dan seterusnya mengetepikan peranan bahasa Melayu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu mengambil langkah bagi mengatasi masalah tersebut. Antara usaha yang dilaksanakan oleh DBP termasuklah mengadakan Dialog Penggunaan Bahasa Kebangsaan antara DBP dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Dialog tersebut diadakan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat dan pihak yang berkaitan tentang dasar bahasa dalam sektor ekonomi di Malaysia. Dalam dialog tersebut juga dijelaskan tentang peranan DBP dan GLC dalam penggunaan bahasa kebangsaan. Hal ini penting kerana GLC merupakan medium utama bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perdagangan pada peringkat negara dan antarabangsa.

Semua pihak perlu terus berjuang untuk memartabatkan dan memperkukuh nilai ekonomi bahasa Melayu. Perjuangan tidak boleh dihentikan hanya kerana terdapat halangan dan cabaran. Seperti kata Ibnu Khaldun, “Bangsa yang ingin membina tamadunnya mesti berhadapan dengan cabaran dan bukannya lari daripada cabaran tersebut. Jika bangsa itu berhadapan dengan cabaran dan berusaha mengatasi halangan, maka asas pembinaan tamadun akan terbina.”

Sesungguhnya, banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk mengangkat nilai ekonomi bahasa Melayu. Peraturan dan undang-undang sudah sedia digubal. Terpulanglah kepada kesungguhan pihak kerajaan untuk bertegas melaksanakannya dan masyarakat pula perlu ikhlas dan telus menyambut usaha tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Leave a Reply