Pemeribumian Sains dan Teknologi: Bebaskan Jiwa Keinggerisan

Istilah pemeribumian sains mula diperkenalkan di Malaysia dalam dekad 1990-an oleh seorang tokoh sains tersohor. Editor Dewan Bahasa berpeluang untuk menemu bual pencetus gagasan pemeribumian ini, iaitu Profesor Dr. Shaharir Md. Zain, bagi mendapatkan pandangan beliau. Walaupun terlatih dalam bidang matematik tulen, khususnya fizik kuantum, beliau juga gigih memperjuangkan bahasa Melayu dan pengislaman ilmu. Beliau mahir dalam matematik pengurusan kewangan Islam, etnosains matematik Malayonesia, pengislaman sains matematik dan keterlestarian.

DB : Apakah langkah atau insentif yang boleh dilaksanakan untuk menggalakkan ahli sains dan ahli akademik menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

SMZ : Istilah ini saya perkenalkan khusus merujuk pemeribumian sains dan teknologi. Hal ini merupakan tindak balas saya terhadap ilmu yang terlalu berpusat ke Eropah. Bagaimanakah kita hendak menghakis tanggapan masyarakat dan pelajar bahawa ilmu sains dan matematik datang 100 peratus daripada bahasa Inggeris? Kita patut mencari jalan untuk membuat penyelidikan bagi menggali khazanah ilmu kita sendiri dalam bidang sains serta teknologi dan menggunakannya untuk menggantikan contoh dalam buku teks yang bersumberkan bahasa Inggeris.

Melalui pemeribumian ini, tujuan saya adalah untuk membebaskan jiwa keinggerisan umat Malaysia ini. Antara usaha yang dilakukan termasuklah menggali khazanah ilmu daripada batu bersurat serta manuskrip lama dan mencari unsur sains dalamnya. Jika dahulu, penyelidik mencari cerita penglipur lara untuk menilai dan menganalisisnya, tetapi biarlah orang sastera yang melakukannya.

Seperkara lagi yang saya tegaskan ialah ilmu yang ada sekarang perlu dinilai dengan menggunakan sistem nilai orang Melayu sekarang. Dahulu kita tidak pernah memikirkan konsep semua ilmu yang kita ambil itu sama ada sesuai dengan kita atau tidak. Kita perlu menilai ilmu dengan menggunakan apa-apa yang diajarkan oleh Islam dan menilainya menggunakan acuan budaya kita. Contohnya, dalam ekonomi sekarang, penilaian prestasi terbaik ialah penilaian dari segi kewangan yang paling tinggi, keuntungan yang paling hebat, atau kerugian yang paling sedikit. Hal ini merupakan konsep “baik” yang kita ambil dari Barat, iaitu yang terbaik ialah “yang paling”. Pepatah Melayu mengatakan “buat baik, berpada-pada” bukan “buat baik sebaik- baiknya”. Islam pula mengajarkan apa-apa yang terbaik ialah kesederhanaan. Umat Islam yang terbaik ialah golongan yang mengamalkan wasatiah atau kesederhanaan yang menjadi prinsip Islam. Proses menilai ilmu mestilah berasaskan ajaran peribumi. Oleh hal yang demikian, kita perlu menilai ilmu dalam acuan kita sendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Leave a Reply