Etimologi Jepun dalam Khazanah Melayu/Indonesia

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Jepun menjadi negara maju sejak zaman pemodenan Meiji, iaitu pada separuh kedua abad ke-19. Jepun merupakan antara negara Asia yang memahami erti pemodenan sebenar yang dapat memisahkan antara konsep pemodenan dan pembaratan. Negara maju ini masih kekal dengan tradisi budaya tinggi meskipun kemajuan mengatasi negara di Eropah mahupun di Amerika Syarikat. Di sinilah kita dapat melihat “kabuki”, iaitu teater tradisional Jepun yang masih segar dalam kehidupan moden Jepun dan dikembangkan di serata dunia. Kemajuan Jepun juga dikaitkan dengan bahasanya.

Politik Jepun matang sejak sebelum perang dunia pertama lagi apabila negara itu menolak cadangan menggantikan bahasa Jepun dengan bahasa Inggeris yang diusulkan oleh Arinori Mori pada tahun 1872. Rakyat Jepun sudah sedar sejak dahulu lagi bahawa penggunaan bahasa asing akan menggugat kestabilan masyarakat terutamanya dari segi pendidikan, perpaduan rakyat dan budaya ilmu tempatan. Pada masa yang sama, Jepun mengatasi tantangan bahasa Inggeris dengan menggiatkan industri terjemahan daripada bahasa asing ke bahasa Jepun. Kenyataan ini dapat dilihat melalui pasaran industri di Jepun yang dianggarkan bernilai 200 bilion yen pada tahun 2006. Di samping itu, terdapat dua ribu syarikat terlibat dalam industri terjemahan melalui media massa serta mempunyai lebih 30 ribu penterjemah bebas di Jepun.

Penyebaran bahasa Jepun berlaku secara lebih jelas selepas perang dunia kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat hanya 65 penduduk Amerika yang boleh membaca dan menulis dalam bahasa tersebut sebelum perang dunia kedua. Di kepulauan Melayu, penyebaran bahasa Jepun dapat dikesan apabila berlakunya pendudukan Jepun. Sebelum itu, pengaruh bahasa Jepun sukar ditemui. Menurut Masanori Sato, daripada sejumlah 40 buah kamus dalam dunia Melayu, hanya lima kata pinjaman daripada bahasa Jepun ditemui sehinggalah perang dunia kedua. Profesor dari Kyoto Sangyo University ini mempunyai kepakaran dalam kajian pinjaman perkataan bahasa Melayu/Indonesia daripada bahasa Jepun. Daripada penelitian beliau terhadap 300 buah kamus Indonesia, didapati hanya 180 perkataan dalam bahasa Indonesia yang dipinjam daripada bahasa Jepun. Kajian beliau terhadap 50 buah buku teks pula, terdapat sebanyak 320 kata pinjaman daripada bahasa Jepun manakala dalam kajian karya sastera Indonesia, terdapat 200 perkataan. Kebanyakan perkataan tersebut sudah sebati atau diterima oleh kelompok pengguna perkataan atau frasa bahasa Jepun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Leave a Reply