ILMU SAINS MENURUT ACUAN SENDIRI

Dewan Bahasa membuka lembaran tahun 2013 dengan mengemukakan fokus Bahasa Melayu Wahana Sains. Dewan Bahasa kali ini menjemput beberapa tokoh sains untuk merakamkan pengalaman dan melontarkan pandangan mereka terhadap usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Sebenarnya, banyak orang yang tidak mengetahui bahawa ahli sains telah sekian lama gigih memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sejak sebelum merdeka lagi. Mereka membuktikan bahawa bahasa dan ilmu berkembang secara simbiosis. Menelusuri sejarah, mulai tahun 1957, perjuangan penubuhan universiti kebangsaan menjadi semakin bersemarak demi memenuhi tuntutan dan semangat kemerdekaan bangsa dan negara. Banyak tokoh dan ahli akademik daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan fahaman politik bergabung untuk mewujudkan penubuhan universiti keilmuan unggul ini yang lahir daripada aspirasi rakyat. Ahli sains juga tidak terkecuali dalam perjuangan ini. Hasil usaha gigih tersebut, lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970. UKM merupakan universiti pertama di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan antara fakulti pertama yang ditubuhkan ialah Fakulti Sains.

Dalam keluaran ini, Shaharir Mohamad Zain menyentuh gagasan pemeribumian sains. Aspek pemeribumian sains seperti yang ditegaskan oleh beliau ialah ilmu perlu dinilai mengikut acuan masyarakat sendiri. Sementara itu, untuk mengisi pemeribumian sains, khazanah ilmu Melayu purba perlu digali. Hal ini dilakukan dengan mengkaji dan menganalisis kitab dan manuskrip Melayu lama. Antara ahli sains yang gigih mengkaji khazanah ilmu ini termasuklah Mat Rofa Ismail dan Mohammad Alinor Abdul Kadir yang melihatnya dari sorotan etnomatematik. Mohd. Yusof Othman, Mohd. Hazim Shah Abdul Murad dan Khalijah Mohd. Salleh pula antara ahli sains yang mengemukakan sains tauhidik, iaitu sains yang berteraskan konsep Islam. Dalam hal ini, sains tidak dapat dipisahkan daripada konsep ketuhanan.

Antara kejayaan Malaysia dalam pendidikan sains aliran Melayu pada peringkat antarabangsa termasuklah usaha melahirkan ahli sains yang berfikiran nasional tetapi berjaya mengantarabangsakan bahasa Melayu menerusi istilah baharu dalam bidang sains, seperti Podontia jalur dan Sarawakiola ajaib. Sudah tiba masanya golongan ahli sains ini turut diberi pengiktirafan sebagai “Tokoh Pejuang Bahasa” kerana peranan yang dimainkan oleh mereka. Sekurang-kurangnya pengiktirafan ini akan membuka minda dan mengubah tanggapan masyarakat terhadap keupayaan bahasa Melayu dalam mengangkat martabat sains mengikut acuan sendiri.

___

Dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Leave a Reply