Gagasan Satu Malaysia Berteraskan Satu Bahasa

Oleh SIDANG EDITOR

Bahasa dapat memainkan peranan sebagai wadah untuk menyatupadukan masyarakat. Dalam hal ini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadikan bahasa Melayu asas persefahaman dan perpaduan melalui penggunaannya dalam kalangan rakyat pelbagai keturunan dan bangsa. Demikianlah caranya bahasa Melayu menjadi unsur penyatuan dan perpaduan kebangsaan dalam membentuk satu rupa bangsa bagi negara ini. Editor Dewan Bahasa berkesempatan untuk menemu bual Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar untuk meminta pandangan beliau tentang bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Beliau kini Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Ketua Satu Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional).

“Antara halangan atau cabaran dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan termasuklah terdapatnya golongan yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini berlaku adanya kelonggaran dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ada pula golongan yang menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bukan bahasa komersial. Pemikiran demikian merupakan pemikiran yang kolot dan negatif. Sikap negatif ini merupakan sikap rakyat yang tidak setia sebagai warganegara. Sebagai warganegara Malaysia, setiap orang perlu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Golongan yang tidak menghormati bahasa kebangsaan tidak mencerminkan semangat patriotik dan akan merencatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sistem pendidikan negara mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Perkara 152 – Bahasa Kebangsaan, Akta 32 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 1961, Akta 550 Akta Pendidikan 1996 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Leave a Reply