Etimologi Sambal, Gratis, Korting, dan Tempe

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Beberapa anak muda kelihatan sibuk melayan pengunjung di sebuah gerai makanan. Seorang perempuan kelihatan mengipas sate manakala seorang lagi membungkus sate yang dipesan. Suasana ini bukanlah berlaku di kedai Haji Samuri di Kajang ataupun Sate Khas Senayan di Jakarta. Sebaliknya, suasana ini dilihat di sekitar jalan Niewe Beestenmarkt, Leiden, Belanda, ribuan kilometer jauhnya dari Asia Tenggara. Apabila didekati gerai makan tersebut, terpapar frasa “Kip Sate” pada lekatan kertas di depan gerai tersebut. Gerai tersebut bersifat sementara bagi meraikan kemenangan penduduk Leiden pada 3 Oktober 1754 yang dikenali sebagai Hari Pembebasan Leiden. Pada hari tersebut, berlakunya pengunduran kolonial Sepanyol secara memalukan sebagai akibat kegigihan penentangan oleh penduduk Leiden setelah 80 tahun berlakunya peperangan.

Di mana-mana sahaja di negara yang dikenali sebagai negara Kincir Angin ini, terdapat restoran yang menjual pelbagai jenis sate seperti sate ayam, kambing ataupun daging. Dari tempat seperti Restoran Surakarta, Noordeinde di Leiden, Den Haag, Utrecht, hingga Amsterdam, sate mudah didapati. Sate sering disinonimkan sebagai berasal dari Indonesia pada awal abad ke-19. Namun sejarah sate dapat dikesan daripada pedagang Arab yang datang ke kepulauan Melayu yang turut mempengaruhi pedagang India Muslim pada awal kedatangan pada era tersebut. Istilah sate berasal daripada variasi sebutan Arab dan India Muslim yang disesuaikan dengan teras sebutan Jawa. Cara membuat sate juga disesuaikan daripada berunsur Arab pada awal kedatangan Arab kepada cita rasa tempatan.

Sejarah sate di Afrika pula dapat dikaitkan dengan sejarah penempatan Belanda yang bermula pada tahun 1647. Sejak tahun 1660, mereka mulai membawa buruh luar masuk ke Afrika. Sebelum itu, pada tahun 1652, Cape Town diasaskan untuk perdagangan Eropah dan Asia. Di sinilah bermula migrasi penduduk dari kepulauan Melayu, termasuk Jawa, sama ada sebagai pedagang ataupun buruh atau hamba. Di sinilah sate diperkenalkan di Afrika Selatan hingga kini dikenali sebagai “sosatie”. Walaupun pada tahun 1794, Syarikat Hindia Timur Belanda bankrap dan Afrika Selatan diambil alih oleh Inggeris, sate atau “sosatie” sebagai makanan pengaruh Indonesia di Afrika masih wujud.

Tidak ada makanan di Indonesia seasli tempe sebagai salah satu budaya benda kategori makanan tradisional masyarakat Jawa. Tempe sebagai makanan orang Jawa dapat dikesan daripada manuskrip Serat Centhini yang diselenggarakan oleh Adipati Anom Amengkunegara III dengan tiga pembantu, iaitu Kiai Ngabei Ranggasutrasna, Kiai Ngabei Yasadipura, dan Kiai Ngabei Sastradipura pada Januari 1814 dan siap pada tahun 1823. Manuskrip itu mengandungi ajaran agama, senibina, ilmu hubungan seksual, sufisme dan resipi makanan. Antara lain, manuskrip tersebut menyebut tempe sebagai masakan tempe dengan santan atau dalam bahasa Jawa disebut “jae santen tempe”. Berdasarkan sumber ini, tempe dipercayai berasal dari desa di kepulauan Jawa yang sudah berkembang sebelum abad ke-16.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Leave a Reply