Penyatuan Sosial melalui Ketulenan Bahasa

Oleh TEO KOK SEONG

Pelbagai takrif diajukan untuk menjelaskan fenomena ketulenan bahasa. Bahasa itu disifatkan tulen apabila kebanyakan kosa katanya dibentuk daripada akarnya sendiri. Sebagai contoh, akar kata “baharu” boleh menerbitkan sebilangan kata lain, iaitu membaharui, diperbaharui, memperbaharu, kebaharuan, pembaharuan dan pembaharu. Takrif ini, seperti kebanyakan yang lain pada awal penelitian fenomena ini, rata-ratanya memberikan tumpuan hanya kepada kata, yakni ketiadaan kata dalam bentuk asli atau sebaliknya, yang merupakan syarat penting apabila membicarakan ketulenan bahasa.

Takrif yang kemudian, iaitu ketulenan bahasa, ialah percubaan untuk mengeluarkan unsur asing daripada sesebuah bahasa itu, dan menggantikannya dengan bentuk asli atau bentuk yang dapat memberikan perwatakan kebangsaan kepada bahasa berkenaan. Hal ini memperlihatkan penggarapan persoalan dan permasalahan ketulenan bahasa mula melibatkan semua peringkat bahasa, dan tidak lagi tertumpu semata-mata pada kata sahaja.

Ketulenan bahasa boleh dikaitkan dengan perjuangan untuk menentang penggunaan, peminjaman dan penyerapan unsur asing, sama ada kata, ungkapan atau peraturan tatabahasa, secara berwenang. Tujuan utamanya adalah untuk melindungi sesebuah bahasa itu daripada dikuasai oleh pengaruh asing agar bahasa berkenaan seboleh-bolehnya terus wujud dalam keadaan asalnya, tanpa banyak dipengaruhi oleh unsur luar, khususnya pada tahap kata dan ungkapan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Leave a Reply