PENYATUAN BANGSA MELALUI SATU BAHASA

Di Malaysia, terdapat lebih kurang 80 etnik atau suku kaum. Jika setiap etnik berkomunikasi dalam dialek masing-masing, maka interaksi dan komunikasi merentas pelbagai kaum itu sukar dijalinkan. Oleh hal yang demikian, perlu diangkat satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan untuk dijadikan bahasa pemersatu. Untuk itu, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa perpaduan, seperti yang terkandung dalam Penyata Razak 1956.

Apabila mengimbau sejarah yang lebih panjang, bahasa Melayu telah lama digunakan sebagai lingua franca, iaitu sejak lebih daripada 600 tahun dahulu. Dari sudut ekonomi, terdapat kenyataan bahawa kerajaan Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara penduduk di kepulauan Melayu dengan peniaga dari Eropah dan Asia Barat. Dari sudut peranannya sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah lama digunakan untuk mengajarkan ilmu mantik, matematik dan astronomi, iaitu sejak kurun ke-15 lagi.

Menurut Mat Rofa Ismail, pada kurun ke-16, Aceh mencapai kegemilangannya dengan menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang seperti perubatan, falsafah, falak dan usuluddin. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu tinggi. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermaksud bahawa penguasaan bahasa lain dipinggirkan. Kita boleh sahaja memperkukuh penguasaan bahasa lain, biarpun kita mampu menguasai sembilan bahasa, tetapi akhirnya bahasa Melayu tetap diutamakan.

Jelaslah bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan identity dan tunjang kekuatan negara serta menjadi wahana penting dalam pembinaan Negara bangsa. Selaras dengan tujuan tersebut, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah memperkenalkan gagasan Satu Malaysia pada 2 April 2009. Gagasan ini bertujuan mewujudkan satu bangsa tanpa mengira etnik dan budaya. Beliau menegaskan bahawa gagasan ini berteraskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan tidak seharusnya lari daripada apa-apa yang terkandung dalam perlembagaan. Gagasan ini juga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Kejayaan Gagasan Satu Malaysia ini hanya akan terhasil apabila semua rakyat tanpa mengira kaum menerima Satu Bahasa dan Satu Bangsa dengan sepenuh hati dan sebulat kata. Natijah daripada kejayaan gagasan ini ialah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, seperti yang impikan oleh kerajaan dan rakyat.

Oleh RAHEMAH AHMAD

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.


Leave a Reply