Pemartabatan Bahasa Melayu: Pelaksanaan dan Pengisian

Oleh SIDANG EDITOR

Profesor Emeritus Abdullah Hassan merupakan antara sarjana yang gigih memperjuangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan demi memandaikan rakyat. Beliau terlibat dalam aktiviti kebahasaan yang membawa impak secara langsung atau tidak langsung kepada pembinaan atau pengembangan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat dan negara. Beliau antara tokoh bahasa yang turut berjuang menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bagi mendapatkan pandangan beliau tentang martabat bahasa kebangsaan, baru-baru ini Sidang Editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual beliau.


“Apabila kita berbicara tentang perancangan bahasa, kita perlu memahami dua isu. Pertama berkaitan taraf bahasa yang telah diletakkan di bawah Akta 152 Perlembagaan Persekutuan serta konsep mekanik yang wujud dalam bahasa tersebut. Taraf bahasa Melayu yang telah ditetapkan dalam perlembagaan tidak akan berubah malah akan terus kekal dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Konsep teknikal dalam bahasa Melayu, seperti ejaan, sebutan, kosa kata, istilah dan tatabahasa telah sedia ada sebelum DBP ditubuhkan lagi. Walau bagaimanapun, DBP telah melaksanakan tugasnya dengan membuat pembaikan dalam setiap konsep teknikal bahasa tersebut, bermula dengan ejaan sehinggalah penghasilan kamus yang merakamkan pelbagai kosa kata bahasa Melayu di dalamnya.

Isu kedua pada tahap perancangan bahasa ialah pengisian. Kita perlu mengisi ruangan yang telah sedia ada itu untuk mengekalkan kewujudan bahasa Melayu dalam sejarah yang agung. Kita perlu membuat pengisian ini untuk menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat. Kemajuan sesuatu bangsa itu berdasarkan ilmu dan teknologinya. Penghasilan buku atau hasil terjemahan amat penting untuk mengukur tahap kemajuan minda dan intelektual bangsa dalam sesebuah negara. Jika tiada buku yang dihasilkan oleh para cendekiawan dan golongan cerdik pandai, bagaimanakah kita dapat melahirkan bangsa berilmu? Tambahan lagi, buku yang kita perkatakan ini bukanlah buku cerita mahupun novel. Sebaliknya, buku yang terkandung di dalamnya pelbagai bidang ilmu yang ada di dunia. Kita mendukung peranan untuk “memandaikan bangsa”. Oleh itu, pengisian ilmu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.”

– Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Leave a Reply