Semangat Juang Memperkasakan Bahasa Melayu

Oleh NUR ALWANI SHAFIE

Pada 14 Ogos 2012 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, telah berlangsung Majlis Memperkasakan Perjuangan Bahasa dan Persuratan Melayu. Sempena majlis tersebut, syarahan yang berkaitan dengan pemerkasaan bahasa dan persuratan Melayu telah disampaikan oleh Tuan Haji Yahaya Ismail.

Menurut Yahaya, semangat memperkasakan perjuangan bahasa Melayu bermula sejak terbitnya akhbar Jawi Peranakan di Singapura dan majalah Al-Ikhwan di Pulau Pinang. Malah akhbar Saudara turut menyemarakkan minat orang Melayu untuk melakukan transformasi minda bagi memperjuangkan nasib bangsa, bahasa, agama dan politik Melayu. Sebahagian besar majalah dan akhbar Melayu sebelum perang dunia kedua banyak mempersoalkan kepentingan Melayu, hak orang Melayu dan kebimbangan orang Melayu terhadap kebanjiran orang asing ke Tanah Melayu. Jelas beliau, penjajah British ketika itu tidak pernah menggalakkan kegiatan bahasa dan persuratanbMelayu kerana mereka tidak berniat untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Sekolah Melayu yang didirikan hanya untuk mengajar orang Melayu menulis, membuat kira-kira yang mudah dan membaca sesuai dengan taraf sebagai petani, penoreh getah dan nelayan.

Kata Yahaya lagi, dengan tertubuhnya Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1922, semangat nasionalisme Melayu semakin membara. Ditambah pula dengan penerbitan buku tentang tatabahasa bahasa Melayu dan rencana yang ditulis oleh Pendeta Za’ba semasa beliau bertugas di Jabatan Karang Mengarang MPSI ketika itu. Tulisan Za’ba telah membuka minda orang Melayu dan menyedarkan mereka daripada khayalan sebagai pewaris penanam padi, nelayan dan buruh di ladang. Semangat nasionalisme pelajar MPSI juga telah dipengaruhi oleh semangat kemerdekaan yang dicetuskan pejuang Indonesia. Perkembangan Sumpah Pemuda Indonesia pada tahun 1928 telah diikuti oleh pelajar MPSI melalui karya sastera yang sampai ke pesisir Tanah Melayu.

Golongan guru dan wartawan Melayu juga telah membakar semangat dan mencetuskan kesedaran orang Melayu untuk membela agama, bangsa dan negara melalui pelbagai rencana dalam majalah atau akhbar. Contohnya, novel Faridah Hanum karya Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi ialah novel pertama yang mencetuskan reformasi dalam agama dan pendidikan bagi kaum wanita. Begitu juga novel karya Ahmad Rashid Talu, Kawan Benar yang mempunyai watak dan latar belakang Tanah Melayu, dan Iakah Salmah, memperjuangkan hak dan kepentingan pendidikan wanita Melayu. Antara penulis lain yang sama-sama turut mencetuskan kesedaran orang Melayu ketika itu termasuklah Harun Aminurrashid, Ahmad Bakhtiar, Raja Mansor dan Ishak Haji Mohamad.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Leave a Reply