Perkamusan dan Perkataan

Oleh S. NATHESAN

Ilmu leksikologi ialah kajian tentang kosa kata. Kamus pula merupakan catatan tentang kosa kata tersebut. Kamus dan tesaurus merupakan buku yang memuatkan beratus-ratus perkataan yang disusun mengikut abjad. Kamus dan tesaurus juga memuatkan beberapa keterangan mengenai perkataan dan frasa yang terdapat dalam bahasa. Apakah kaitan kamus dengan leksikologi?

Konsep kamus dan thesaurus hendaklah difahami terlebih dahulu. Menurut R.R. Hartmann dan James Gregory, kamus ialah sejenis rujukan yang menerangkan makna perkataan dan frasa tertentu melalui definisinya. Kini, kamus merupakan rujukan yang paling umum yang terdapat dalam bahasa, dan digunakan secara meluas oleh pengguna bahasa.

Tesaurus pula dapat dijelaskan sebagai buku yang mengandungi senarai perkataan seerti dan perkataan yang berkaitan maknanya yang disusun mengikut sistem atau olahan tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat. David Crystal dalam The Cambridge Encyclopedia of the English Language menerangkan tesaurus sebagai sebuah buku tentang perkataan atau frasa yang dikumpulkan berdasarkan maknanya.

Kedua-dua dokumen tersebut, iaitu kamus dan thesaurus memuatkan pelbagai maklumat penting tentang makna perkataan. Ahli leksikologi memanfaatkan maklumat yang diperoleh daripada kamus dan tesaurus dalam kerja mereka. Dalam hal pemerolehan perbendaharaan kata, kedua-dua dokumen ini didapati saling melengkapi, walaupun thesaurus didapati kurang dimanfaatkan oleh pengguna bahasa.

Bo Sevensén dalam Practical Lexicography: Principles and Methods of Making Dictionary menjelaskan beberapa hal tentang kamus. Kamus menghuraikan cirri umum tentang perkataan. Antara yang diperihalkan termasuklah ejaannya, sebutannya, kata yang diterbitkan daripadanya dangolongan perkataan tersebut. Selepas diberikan maklumat asas ini barulah makna dan penggunaan perkataan tersebut dinyatakan dalam kamus.

R. R. Hartmann dan Gregory James dalam Dictionary of Lexicography berpendapat bahawa leksikologi sebagai cabang linguistik relevan dalam beberapa hal berhubung dengan binaan kamus, seperti menerangkan cara perkataan dan frasa dijana, digabung, diubah suai dan didefinisikan. Kamus juga menjelaskan cara penggunaan perkataan yang berubah-ubah dalam bahasa berdasarkan parameter, seperti dialek, aspek keformalan dan peraturan. Perihal tersebut ada hubung kait dengan bidang perkamusan, iaitu ilmu mengenai penyusunan kamus.

M. A. K. Halliday dalam Lexicology and Corpus Linguistics menyatakan bahawa terdapat dua kaedah utama untuk menghuraikan perkataan. Yang pertama melalui kamus dan yang kedua melalui tesaurus. Jelas beliau, sumber maklumat yang terbaik bagi ilmu leksikologi ialah kamus atau tesaurus. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kajian leksikologi, kamus dan thesaurus tidak boleh dikesampingkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

One thought on “Perkamusan dan Perkataan”

Leave a Reply