tabu

Tabu dalam Bahasa Melayu

Oleh ROZALI RAJAB

tabu

Bahasa berfungsi untuk menyatakan maksud. Bahasa dapat dimanipulasikan mengikut keperluan dan fungsi dalam komunikasi sosial. Tidak dapat dinafikan bahawa wujud larangan tertentu terhadap penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Larangan ini biasanya merujuk amalan, perbuatan, pakaian dan lain-lain.

       Dalam hal ini, kata atau ungkapan yang merujuk hal yang kurang sopan, yang mempunyai konotasi negatif, akan dielakkan untuk digunakan dalam komunikasi seharian. Larangan tertentu dalam penggunaan bahasa dikenali sebagai tabu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tabu ialah sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali; iaitu yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah daripada. Sementara S. Nathesan dalam buku beliau, Makna dalam Bahasa Melayu mentakrifkan tabu sebagai larangan.

      Dalam rencana ini, penulis akan membincangkan asal usul tabu, sebab kata tabu diperkenalkan dalam masyarakat dan kesan penggunaan kata tabu dalam kehidupan masyarakat. Penulis akan menumpukan konsep tabu dalam bahasa dan pemikiran Melayu. Bagi tujuan ini, penulis merujuk beberapa buah buku, jurnal, artikel, dan maklumat yang diperoleh secara dalam talian. Segala bahan yang diperoleh daripada pelbagai sumber ini dianalisis dan disusun atur mengikut kesusaian.

     Hakikatnya, terdapat pelbagai pendapat dan pandangan berkenaan asal usul kata “tabu”. Jika dikaji secara mendalam, hampir keseluruhan kata tabu mempunyai perssamaan. S. Nathesan dalam buku beliau, Makna dalam Bahasa Melayu menjelaskan kata “tabu” berasal daripada Polinesia, kata “tabu” dikenali sebagai tapu. Tapu ialah sesuatu yang dilarang untuk digunakan, dan sesuatu yang kudus.

     Menurut Stephen Ullamann dalam Semantics: An introduction to the science of meaning, kata tapu digunakan oleh Kapten Cook setelah beliau mengenal kata tersebut yang digunakan oleh orang Polinesia di Kepulauan Polinesia. Kata tapu kemudiannya tersebar luas dan meresap masuk ke dalam bahasa Eropah dan bahasa lain hingga masuk ke dalam bahasa Melayu. Kata “tabu” menjadi sebahagian daripada perkataan dalam bahasa Melayu dan diamalkan dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Petikan ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa Mei