cpurob

Bahasa, Manusia dan Mesin

Oleh Norhafizah Mohamed Husin

cpurob

Penulis atau wartawan robot (robowriter/robojournalist) Quill ciptaan Syarikat Narative Science di Amerika Syarikat mula menghasilkan berita mudah dengan kebolehan menganalisis secara automatik laporan sukan dan laporan kewangan. Kini, syarikat itu menjanakan keuntungan yang besar dengan perkhidmatannya membekalkan berita daripada Quill kepada syarikat terkemuka seperti Forbes, Deloitte, Credit Suisse, dan MasterCard.

      The Washington Post pula mengumumkan bahawa robot penulisnya Heliograph telah mengeluarkan 850 artikel sepanjang tahun 2016, khususnya laporan berita Sukan Olimpik Rio dan berita sepanjang pilihan raya presiden. Associated Press (AP) juga menggunakan wartawan robot dalam menghasilkan laporan, dan jangkaan pasaran dan kewangan yang mampu mengeluarkan 2000 artikel sesaat.

     Dalam kejadian gempa bumi di Los Angeles pada tahun 2014, wartawan robot AP mampu mengeluarkan berita lengkap seawal lapan minit selepas kejadian.

     Perisian lain seperti Wordsmith, Scoop.it, Canva, Article Forge, dan seumpamanya, telah digunakan secara meluas untuk menyediakan kandungan atau artikel secara automatik. Baru-baru ini, Syarikat Open AI yang membina GPT2 mendapati program itu mampu menulis fakta sendiri dalam penulisan. Lebih maju lagi, GPT2 dapat menjangkakan perkataan yang seterusnya daripada sampel perkataan yang diberikan dan jangkaanya sama sperti jangkaan dalam minda manusia

Petikan ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa keluaran April

Bahasa Ibu dan Cerita Bongsuk

Oleh Mahat Anak China (Akiya)

52-55-1

Penulis tertarik dengan kata-kata dalam buku Pura Taman: Warisan Penglipur Lara Jakun oleh Mohamad Lufti Abdul Rahman, iaitu “Dunia penglipur lara ialah dunia kata-kata”. Di sebalik amalan dan tradisi bercerita, penglipur lara dalam masyarakat orang Melayu dan Orang Asli berperanan sebagai penghibur kepada masyarakatnya yang ingin melepaskan lelah selepas bekerja seharian.

      Penulis ingin bercerita tentang pengalaman peribadi penulis tentang tradisi sastera lisan atau sastera rakyat Orang Asli, khususnya cara kaum Semai melayan kehendak aliran tradisi sastera lisan. Bagi penulis, tradisi sastera lisan amat mengasyikkan sekiranya seseorang penglipur lara itu tahu bercerita.

     Tradisi sastera lisan berkembang dalam masyarakat yang buta huruf. Namun begitu, tradisi sastera lisan wujud dalam masayarakat kini yang celik huruf dan celik teknologi maklumat dan komunikasi.

      Penulis gemar dan ketagih mendengar cerita arwah ibu penulis. (bercemoor). Arwah ibu penulis memang pandai bercermoor. Kami adik beradik, pasti terlelap mendengar ceritanya itu. Hanyut dalam mimpi kecil anak-anak kampungan. Antara cerita yang sering diceritakan oleh arwah ibu penulis termasuklah Mamak Bongsuk dan Inak Bongsuk, Bah Luj dan Wah Luj, Yok Luj dan Han Luj, cerita mitos, dan cerita dongeng.

     Dahulu kami mendengar, menikmati dan mengkagumi cerita secara santai. Beginilah caranya kami mengisi masa lapang dengan mendengar cerita lisan. Hal ini berbeza daripada cara hidup anak-anak pada hari ini. Mereka leka dibuai oleh telefon pintar, komputer dan peranti elektronik. Masing-masing menyendiri di dalam bilik; menyediri di anjung rumah, leka melayari Facebook, menonton Youtube dan sebagainya.

Petikan ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa keluaran April

lagu asli

Lagu Rakyat Orang Asli dan Literasi

Oleh Siti Nor Khalis Harun Narasid dan Mohd Nazri Abdul Rahman

lagu asli

      Era globalisasi meletakkan Malaysia dengan pelbagai cabaran. Untuk menjadi sebuah negara membangun, rakyat Malaysia perlu meningkatkan daya saing dan meningkatkan kualiti pendidikan negara bertaraf dunia. Kanak-kanak prasekolah sering berdepan dengan masalah menguasai kemahiran membaca pada peringkat awal. Kanak-kanak di pedalaman juga, khususnya Orang Asli mengalami masalah yang sama dalam menguasai kemahiran literasi awal.

      Orang Asli hidup dalam masyarakat yang terasing. Kedudukan geografi yang terletak jauh di pedalaman, mengukuhkan tanggapan masyarakat Orang Asli bahawa tiada faedah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Berdasarkan perangkaan yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia, Mei 2007, terdapat lebih kurang 80 peratus kanak-kanak Orang Asli yang itidak pernah menamatkan persekolahan pada peringkat sekolah menengah (data ini mungkin berubah, kini).

       Bagi mengubah senario ini, isu pendidikan kanak-kanak Orang Asli dan menarik minat mereka untuk belajar dan ke sekolah perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Usaha untuk membangunkan penggunaan bahan sumber berasaskan tradisi masyarakat Orang Asli sebagai sumber pembelajaran kanak-kanak Orang Asli perlu dipergiat sebagai satu cara untuk menarik minat kanak-kanak Orang Asli ke sekolah.

     Masyarakat Orang Asli mendiami kawasan pedalaman dan kawasan di pinggirannya di Semenanjung Malaysia. Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malasysia terdiri daripada kelompok utama , iaiatu Senoi, Negrito dan Melayu-Proto. Masyarakat Orang Asli kaya dengan pelbagai khazanah tradisi dan kreativiti tersendiri yang boleh dibangunkan sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Contohnya, sewang.

     Menurut Zakaria Khalid dalam kertas kerja beliau “Lagu-lagu Tarian Sewang di Kalangan Masyarakat Orang Asli: Tinjauan dari Aspek Intrinsik”, sewang merupakan persembahan berbentuk ritual yang merangkumi tarian, teater, memuja semangat dan roh dipercayai mempengaruhi kehidupan sesuatu suku kaum Orang Asli bagi memenuhi pelbagai 47 tujuan. Dalam hal ini sewang dapat disesuaikan dengan konteks pendidikan. Persoalannya, apakah bentuk lagu dan konsep muzik tradisional Orang Asli yang sesuai untuk dibangunkan sebagai bahan pembelajaran literasi kepada kanak-kanak Orang Asli?

Petikan ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa keluaran April

Sedikit tetapi Banyak

Menyedari tentang risiko bahasa peribumi yang terdedah kepada kepupusan, maka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan tahun 2019 sebagai Tahun Bahasa Peribumi.

     Pengisytiharan ini bertujuan menarik perhatian dan kesedaran dunia tentang kepentingan bahasa peribumi sebagai subjek global, yang melibatkan ancaman kepupusan bahasa peribumi dan keperluan penting serta mendesak untuk memulihara, menyuburkan serta mempromosikan bahasa peribumi.

    Berdasarkan kajian, kini terdapat 6809 bahasa peribumi yang masih hidup. Pengkaji bahasa peribumi mendedahkan bahawa sebanyak 90 peratus daripada jumlah tersebut mepunyai kurang daripada 100 000 orang penutur.

    Dapatan ini bermakna bahawa terdapat kira-kira 6100 bahasa peribumi yang diancam kepupusan. Dari segi jumlah penutur, didapati 46 bahasa mempunyai seorang penutur, manakala 357 bahasa mempunyai kurang daripada 50 orang penutur.

     Hal yang sama turut berlaku terhadap bahasa peribumi di Malaysia. Sebagaimana yang disentuh oleh Dr. Mohd Sharifudin Yusop dalam ruangan “Temu bual Bahasa” (halaman 30-33), berdasarkan dapatan kajian beliau terhadap 18 suku Orang Asli di Semenanjung Malaysia, kosa kata bahasa Orang Asli berjumlah 3000 hingga 5000 sahaja berbanding dengan bahasa Melayu yang mencecah sejuta lebih kosa kata.

    Dengan jumlah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang dianggarkan 200 000 orang, ada sesetengah orang bertanggapan sinis terhadap bahasa masyarakat peribumi.

    Dalam hal ini, dengan jumlah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang kecil ini, ada sesetengah orang yang berpendapat bahawa bahasa peribumi tidak signifikan dengan arus perdana kerana tidak mempunyai nilai ekonomi dan tidak komersial. Sedangkan bahasa peribumi mempunyai potensinya dan manfaatnya, khususnya yang berkaitan dengan kearifan tempatan.

    Dalam bahasa peribumi terkandung kesedaran kolektif masyarakat yang menyimpan warisan ilmu pengetahuan sejarah budaya, tradisi, jati diri dan kenangan unik manusia.

Asal ada, kecil pun pada.

Ritah Yahaya

asli

Bahasa Kentaq dan Pelestariannya

Oleh Noor Saadah Salleh dan Mohd Sharifudin Yusop

asli

       Istilah “bahasa ibunda” yang digunakan untuk menggambarkan bahasa utama seseorang penutur menunjukkan bahawa bahasa ibu ialah bahasa warisan utama kepada anak-anak. Pertembungan bahasa telah membuka ruang kepada kewujudan pemilihan bahasa yang disebabkan oleh keadaan atau situasi penggunaan sesuatu bahasa. Perbezaan latar belakang bahasa menyebabkan ada antara bahasa yang menjadi pilihan utama dan ada bahasa yang disishkan. Hal ini berkaitan rapat dengan sikap penutur bahasa.

     Menurut Noriah Mohamed dalam “Pelestarian Turunan, Penelusuran Moyang: Pengadunan Sosiolinguistik dan Linguistik Peribumi”, persekitaran mempengaruhi bahasa dan bahasa mempengaruhi tanggapan penuturnya terhadap persekitaran. Oleh hal yang demikian, kemusnahan ekologi, sama ada linguitik ataupun bukan linguistik merupakan bencana yang membawa kemusnahan kepada sistem linguistik itu.

    Pertembungan bahasa atau kontak bahasa telah mencetuskan situasi dwibahasa atau pelbagai bahasa dalam sesebuagh masyarakat. Bagi dwibahasa atau berbilang bahasa, domain merupakan penanda aras penting dalam menilai tingkah laku seseorang penutur. David Crystal dalam Language Death telah menghuraikan berkaitan kematian dan kelestarian bahasa.

     Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kematian kelestarian sesuatu bahasa. Bahasa boleh mati disebakan kematian penutur bahasa yang disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya termasuklah bencana alam, penyakit, peperangan kerana perbezaan etnik atau fahaman.

Petikan ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa terbitan April