2

“Bahasa Inggeris Tidak Menyumbang kepada Sains dan Teknologi.”

2

Profesor Dato’ IR. Dr. Wan Ramli bin Daud diiktirafkan “Minda Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia 2015“. Beliau merupakan mantan Pengarah Pengasas Institut Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2007-2014. Kini, beliau merupakan Profesor Kejuruteraan Kimia di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM dan Felo Penyelidikan (Lantikan Bersama) di Institut Sel Fuel, UKM.

     Baru-baru ini, Editor Dewan Bahasa (DB) Ritah Yahaya dan Penolong Editor, Siti Nur Hidayah Othman Bakar berpeluang menemu bual beliau mengenai bahasa Melayu dalam sains dan teknologi.

DB: Bolehkah Profesor Dato’ ceritakan secara belakang pendidikan Profesor Dato’?

PDW: Saya dilahirkan di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada tahun 1955. Bapa saya merupakan seorang anggota polis, ibu saya pula seorang suri rumah. Saya anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Sebagai keluarga polis pada Zaman Darurat, kami kerap berpindah-randah dari Gurun, Kedah, Ipoh dan Taiping, Perak.

      Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Connolly, Ipoh (1961-1965). Kemudian, saya belajar di Sekolah Kebangsaan Taiping (1966-1967). Pada tahun 1967, saya menduduki peperiksaan untuk ke sekolah berasrama penuh beraliran Inggeris, dan saya terpilih melanjutkan pelajaran di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) di Tanjung Malim, Perak (1968-1971), dan di SDAR, Seremban (1972-1973).

DB: Apakah faktor yang menarik minat Profesor Dato’ terhadap sains kejuruteraan?

PDW: Saya mula berminat dengan bidang sains ketika di sekolah menengah, iaitu di SDAR. Minat awal saya dalam sains bermula di Perpustakaan SDAR. Saya menghabiskan kelas persiapan petang dan malam saya di situ.

     Selain novel sains fiksyen klasik karya Jules Verne dan Edgar Rice Burrough, Siri McGraw-Hill Encyclopedia of Science and Technology dan Siri Science Time -Life telah membuka sebuah dunia baharu telah membuka sebuah dunia baharu sains yang mengagunkan. Saya juga aktif dalam Persatuan Sains SDAR (1972-1973), dan menjadi presiden persatuan tersebut pada tahun 1972.

     Saya sangat tertarik dengan teknologi roket selepas membaca risalah NASA mengenai misi angkasa lepas Amerika Syarikat yang dibekalkan oleh Lincoln Centre di Kuala Lumpur. Wira sains saya ketika itu ialah Dr. Werner von Braun, ahli sains roket Jerman yang membina roket, Saturn V. Roket tersebut membantu pendaratan angkasawan Amerika Syarikat yang pertama di bulan dalam projek Apolla. Saya cuba membina beberapa batang roket kecil daripada mercun di rumah, tetapi kurang berjaya dan nyaris membakar rumah.

    Saya juga berminat dengan teknologi sel fuel (bahan api fosil) yang menghasilkan tenaga elektrik daripada hidrogen yang pertama kali digunakan dalam kapsul angkasa lepas Amerika Syarikat, Gemini yang kini menjadi bidang utama penyelidikan saintifik saya.

Temu bual ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa bulan Mac

1

Teknologi Bahasa Data Raya Bahasa Melayu

Oleh NORHAFIZAH MOHAMED HUSIN

1

      Internet yang lahir pada 30 Ogos 1969 dengan nama asalnya ARPANET, menyediakan satu dunia baharu untuk manusia. Internet merupakan rangkaian yang menghubungkan semua komputer yang ada di dunia. Perangkaian ini dapat menyalurkan pelbagai maklumat antara komputer dengan komputer yang lain.

     Dengan adanya kemudahan ini, manusia meletakkan pelbagai data yang dipaparkan dalam bentuk teks, gambar, bunyi, dan video yang kesemuanya menggunakan bahasa tabii atau bahasa yang digunakan sehari-hari oleh manusia, yang boleh dicapai dari seluruh dunia menggunakan bahasa yang khusus.

     Bahasa khusus yang dikenali sebagai “protokol” ini membolehkan data dipindahkan melalui rangkaian Internet. Data tersebut akan diformatkan dalam bentuk paparan laman web dan membentuk jalinan maklumat yang embina World Wide Web (www/web), sesuai dengan sifatnya, languange is the fabrics of the web.

     Seiring dengan kemunculan web, timbul konsep K-Ekonomi atau Knowledge Economy yang dipopularkan oleh Peter Drucker pada tahun 1969. K-ekonomi merupakan satu konsep yang menggunakan data laman web, yang dipaparkan dan dipindahkan melalui Internet untuk membantu manusia membuat pelbagai keputusan yang memberikan nilai ekonomi. Semakin banyak data bernilai ekonomi kepada sesuatu pihak, maka semakin berkuasalah pihak tersebut dalam mendominasi kemajuan material.

     Teknologi berasaskan maklumat yang semakin giat, memerlukan kaedah pemindahan data yang lebih sifat menyeluruh. Oleh hal yang demikian, lahirlah bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang dipopularkan pada tahun 1997.

Petikan ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa bulan Mac

3

Bahasa Melayu dan Teknologi Pintar

3

Salam hormat pembaca Dewan Bahasa (DB) yang budiman. Dalam keluaran lepas, DB mengetengahkan tema abahasa Melayu melalui artikel “Bahaa Melayu dan Rekayasa Warisan Maritim Melayu”. Dalam artikel tersebut, penulisnya memperkatakan peristilahan bahasa Melayu dan kehebatan teknologi pembinaan kapal Melayu pada zaman silam.

      DB Mac ini pula menyentuh persoalan tentang potensi bahasa Melayu pada era Teknologi, Maklumat dan Komunikasi yang kini memasuki fasa Revolusi Industri Keempat (RI4).

     RI4 yang dikaitkan dengan elemen dan teknologi pintar, menjadikan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence sebagai teras utama. Selain itu, RI4 yang turut dikaitkan dengan Internet Pelbagai Perkara atau Internet of Things (IoT), Internet Kebendaan robotik, cyborg, dan Data Raya (Big Data), yang memainkan peranan penting dalam setiap aspek kehidupan seharian manusia. Kecerdasan Buatan ialah program komputer yang dirancang untuk memecahkan permasalahan rutin yang dikerjakan oleh manusia atau haiwan.

     Stephen Hawking, seorang ilmuwan fizik teori terkemuka mengatakan bahawa Kecerdasan Buatan akan melampaui kemampuan manusia yang akan menciptakan satu bentuk baharu kehidupan.

     Kecerdasan Buatan berupaya mengubah cara hidup, masyarakat, nilai, norma, dan persepsi mengenai manusia, yakni mencabar kesemulajadian. Sementara, Kai Fu Lee, pakar Kecerdasan Buatan China dalam CBS News pada 11 Januari 2019, engatakan bahawa sebanyak 40 peratus pekerjaan yang ada di dunia ini, dapat dilakukan oleh mesin dalam tempoh 15 hingga 25 tahun mendatang.

RITAH YAHAYA