Arca yang Molek

 

Selamat menyambut Tahun Baharu 2019 kepada pembaca Dewan Bahasa (DB) yang budiman. Kami membuka tirai DB, Januari 2019 ini dengan memfokuskan bahasa Melayu, kuasa dan ideologi. Kami memilih tema ini sebagai kesinambungan terhadap tema DB, DIsember 2018, iaitu iltizam dan tekad bahasa kebangsaan.

       Memperkatakan iltizam dan tekad pada tahun 2019 ini, kedudukan bahasa Melayu akan lebih terbela seandainya semua pihak bersatu padu untuk mengangkat martabatnya yang berlandaskan semangat “Bahasa Jiwa Bangsa” demi pembangunan dan pembinaan tamadun Malaysia.

      Iltizam dan tekad untuk memajukan dan memperkasakan bahasa kebangsaan perlu direalisaskan melalui kuasa. Dalam konteks ini, kuasa yang dimaksudkan ialah peranan yang perlu dimainkan oleh pemimpin.

     Pemimpin merupakan suri teladan kepada rakyat. Rakyat menjadikan pemimpin sebagai cermin yang menjelmakan arca yang molek.

      Dalam konteks Malaysia, kuasa dan peranan pemimpin, merujuk barisan pemimpin yang mendapat mandat rakyat. Dalam hal ini, pemimpin yang menganggotai Dewan Rakyat, iaitu sebuah dewan yang mulia di sisi Dewan Negara di institusi keramat, Parlimen.

RITAH YAHAYA