Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2018 December.

Iltizam dan Tekad Bahasa Kebangsaan

Agenda Bahasa

Oleh SARJIT S. GILL

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan  Persekutuan. Keperibadian warga Malaysia adalah berasaskan bahasa Melayu sebagai “Bahasa Jiwa Bangsa”.

       Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, perpaduan dan perniagaan. Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi semakin tercabar dengan pengaruh globalisasi yang lazimnya memberikan keutamaan kepada bahasa inggeris.

       Pelbagai persoalan timbul mengenai kedudukan dan masa depan bahasa Melayu di Malaysia. Sejauh manakah masyarakat Malaysia menghormati dan memandang tinggi kedudukan bahasa Melayu? Bagaimanakah pula peranan ahli politik sebagai penggubal dasar memartabatkan bahasa Melayu, khususnya di Parlimen? Apakah mereka masih gemar “menanam tebu di bibir” dalam usaha memartabatkan kedaulatan bahasa Melayu? Apakah kedudukan Bahasa Melayu pada tahun 2050 kelak? Apakah bahasa Melayu akan bertahan dalam konteks masyarakat Malaysia yang meraikan superdiversity dengan kemasukan imigran baharu yang pelbagai latar budaya?

      Sejak merdeka hingga kini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rami berdepan dengan pelbagai cabaran dan pasang surutnya. Usaha memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu bukan hanya memfokuskan peranan orang Melayu sahaja, tetapi juga meliputi segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Petikan dari majalah Dewan Bahasa keluaran Disember

Kalau Kurang, Ditambah…

Bicara Bahasa

Tidak berapa lama lagi, kita akan meninggalkan tahun 2018, dan melangkah ke tahun 2019. Setiap kali menjelangnya tahun baharu, kebanyakan kita akan memasang tekad atau azam bahaaru, tidak kiralah sama ada azam tahun lepas yang belum tercapai, yang dibawa ke tahun baharu ataupun azam baharu yang dicipta untuk tahun baharu. Apapun keadaannya, kedua-duanya masih boleh dianggap azam baharu.

        Merperkatakan tekad atau azam, Dewan Bahasa (DB), Disember 2018 mencuri perhatian pembaca dengan peringatan terhadap tekad dan iltizam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara kita, Malaysia.

       Dr. Sarjit S. Gill menerusi makalah beliau, “Iltizam dan Tekad Bahasa Kebangsaan” menyentuh aspirasi “Bahasa Jiwa Bangsa” yang perlu difahami oleh semua rakyat Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana “Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan iltizam, semangat, citra, dan tekad yang perlu disematkan serta dipraktikkan oleh masyarakat, dan usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diteruskan serta diteruskan serta diberikan sokongan oleh semua pihak dan semua lapisan masyarakat. “Bahasa Jiwa Bangsa” bersendikan perpaduan yang perlu kita lalui bersama-sama dengan harmoni.

      Menurut Sarjit, kedudukan bahasa Melayu akan lebih terbela sekiranya semua pihak bersatu padu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pembangunan demi pembinaan tamadun Malaysia. Bahasa Melayu boleh terus maju sekiranya semua pihak memainkan peranan dan bukannya meremehkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pembangunan di Malaysia.

Ritah Yahaya

Petikan dari Bicara Bahasa dalam majalah Dewan Bahasa Disember