Dasar Bahasa Kebangsaan Asas Pembinaan Negara

Oleh AWANG SARIYAN

Pada zaman pascamerdeka, bahasa Melayu mengalami peluasan peranan, bukan sahaja sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Melayu, tetapi juga sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Malaysia. Peranannya telah merentas etnik. Konsep yang menjadi salah satu ideologi negara ialah “negara bangsa”. Istilah “bangsa” (nation) dalam konteks ini merujuk makna yang lebih luas daripada istilah “ras” (race). Dengan mengambil inti pati takrif “bangsa” dalam Webster’s Twentieth Century Dictionary Unabdrigded (1983), bangsa berkaitan dengan wilayah tertentu, khususnya negara yang ditadbirkan oleh sebuah kerajaan, sementara ras lebih berkaitan dengan kelompok yang ditandai oleh hubungan biologi dan ciri-ciri persamaan yang berkaitan dengan hubungan keturunan. Maka itu, “negara bangsa” dalam konteks Malaysia merujuk bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ras (dengan ras yang utamanya ialah Melayu  sekitar 60 peratus, Cina  sekitar 25 peratus, India  sekitar lapan peratus, kumpulan etnik seperti Orang Asli, lebih 50 kumpulan etnik peribumi di Sabah dan lebih 30 kumpulan etnik peribumi di Sarawak.

        Konsep “pembinaan negara bangsa” yang menjadi cita-cita utama itu bererti pembinaan negara yang berasaskan semua ras yang ada, dengan bertunjangkan beberapa dasar, antaranya termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan, selain Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam kaitannya dengan Dasar Bahasa Kebangsaan itulah relevannya kita membincangkan usaha “memartabatkan bahasa” untuk membina negara bangsa, dan bahasa yang perlu dimartabatkan itu ialah bahasa yang menjadi asas pembinaan negara yang terdiri daripada pelbagai ras itu, iaitu bahasa Melayu, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

      Upaya meneliti jejak pemartabatan bahasa Melayu selama setengah abad yang silam, iaitu dengan bertitik tolak dari tahun kemerdekaan Malaysia (yang sebelum 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Hilang Bahasa, Lenyap Bangsa

Dua belas tahun yang lalu, dalam Bicara Bahasa (halaman editorial), Dewan Bahasa (DB) Ogos yang bertajuk “Jiwa Bahasa Bangsa Merdeka” penulis pernah menulis seperti yang berikut:

Kamus Dewan, Edisi Keempat mendefinisikan “sedar” sebagai tahu dan ingat, insaf, mengerti. Sementara, “kesedaran” ialah sedar (akan sesuatu), keinsafan, ingatan. Kendatipun demikian, tahu dan ingat belum mencukupi andai kata tidak insaf dan mengerti. Tahu, ingat, insaf, dan mengerti akan sesuatu perkara itu pula, tidak membawa apa-apa makna seandainya tidak terbit daripada nurani yang luhur.

      Hatta, kesedaran daripada nurani yang luhur itulah juga yang telah meniupkan semangat kebangsaan dan menggerakkan perjuangan nasionalisme di Tanah Melayu untuk bebas daripada cengkaman British, 49 tahun yang lalu. Serentak dengan itu juga, obor nasionalisme linguistik yang berpaksikan gerakan bahasa melalui pelbagai pertubuhan bahasa dan persuratan, turut dinyalakan oleh golongan cendekiawan, sasterawan dan wartawan yang menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang merdeka pada bulan Ogos 1957.

      Malaysia yang merdeka harus diisi dengan jiwa kemerdekaan manusianya. Jiwa kemerdekaan harus diisi dengan kesedaran. Kesedaran patriotisme dan nasionalisme untuk memperkukuh jati diri dan perpaduan bangsa melalui kesedaran berbahasa, kesedaran “Bahasa Jiwa Bangsa”; juga kesedaran yang mendalam untuk menjadi insan yang seimbang rohani dan jasmaninya dengan buah fikiran, buah pembicaraan, emosi dan tindakan yang bijaksana; insan yang berpengetahuan, berdaya saing dari segi ekonomi, berketerampilan positif, bernilai murni, dan berbudaya positif yang menjadi teras Misi Nasional ke arah pencapaian Wawasan 2020, iaitu Malaysia sebagai negara maju berasaskan acuan sendiri dengan pengisian modal insan yang memiliki minda kelas pertama.

RITAH YAHAYA