Bahasa Nadi Bangsa

Oleh Mohidin Malek

Sejak mencapai kemerdekaan, sistem pentadbiran negara telah melalui fasa perkembangan yang positif, baik dari segi penggubalan, penterjemahan mahupun pelaksanaan dasar dan objektif kerajaan ke arah memacu pembangunan negara. Hal yang sedemikian ini tidak akan dapat dizahirkan tanpa persefahaman, persetujuan, dan penerimaan yang total daripada pihak yang memerintah dan mentadbir dengan golongan rakyat atau masyarakat umum. Tanpanya, apa-apa juga dasar yang diperkenalkan akan menmbulkan kekeliruan di samping menyukarkan pelaksanaannya.

Lantaran itu, penterjemahan dan pemahaman yang meluas tentang apa-apa juga perkara amat penting. Dengan hal yang demikian, medium penyampaian yang berkesan sudah pasti menjadi faktor utama yang perlu diberi perhatian. Dalam konteks negara ini, sudah pastinya medium penyampaian berkenaan merujuk bahasa yang disepakati dan difahami oleh semua pihak, iaitu bahasa Melayu.

Di Malaysia, sistem pentadbiran negara berasaskan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Hal yang sedemikian ini merujuk sistem yang memperlihatkan kerajaannya dipilih oleh rakyat untuk rakyat. Rakyat dapat melibatkan diri dalam sistem pentadbiran negara. Rakyat juga berpeluang untuk melakukan pemilihan bagi membentuk kerajaan melalui proses pilihan raya. Pengenalan dasar ini bertujuan untuk memperlihatkan landasan pemerintahan sesebuah negara yang berteraskan kebenaran dan keadilan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Jun

Bahasa Melayu Bahasa Pentadbiran Negara

Kursus bahasa Melayu itu berlangsung selama dua hari. Kursus itu dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pihak yang berwenang tentang bahasa negara. Peserta kursus terdiri daripada penjawat awam, terutama mereka yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan yang menjadi penganjur, dan mereka yang ingin terus mendalami bahasa itu setelah tamat pendidikan formal di sekolah.

     Peserta itu hanya menghadiri kursus bahasa tersebut pada hari kedua. Katanya, dia sibuk mengurus hal lain pada hari pertama. Dia berasa dukacita kerana hanya mampu untuk mengikuti sebahagian daripada kursus itu. Baginya, kursus bahasa itu amat bermanfaat kepada semua warga Malaysia dan sewajarnya mereka menghadirinya.

     “Semua orang mesti boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan. Tiap-tiap hari kita berurusan dengan pihak berkuasa tempatan yang menggunakan bahasa kebangsaan. Jadi kita mesti belajar bahasa kebangsaan untuk memudahkan urusan kita dengan mereka. Bahasa itu bahasa pentadbiran negara,” kata Yee Jee Kwong ketika kami menikmati sajian makan malam di restoran tersebut.

     Jee Kwong bukan penutur asli bahasa Melayu. Namun demikian, baginya, semua warganegara Malaysia mesti mampu untuk menuturkan bahasa Melayu kerana bahasa itu bahasa kebangsaan. Jika rakyat Malaysia tidak dapat berbahasa Melayu, mereka perlu menghadiri kursus, seperti yang dilakukannya, walaupun dia berupaya untuk menggunakan bahasa itu dengan baiknya.

     Mohd. Hariff Mohd. Eusoff berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada suatu ketika dahulu. Dia kini berusia 80 tahun dan banyak menghabiskan masa untuk menimba ilmu di masjid yang berhampiran dengan rumahnya. Sesekali apabila kami bertemu dimasjid, sambil menikmati jamuan ringan selepas mengecapi santapan minda tentang agama, kami berbincang tentang hal ehwal negara, termasuk isu bahasa.

Armin Azhari Saleh