Cabaran Bahasa Negara dalam Pendidikan

Oleh Hamdan Azmi Abd. Aziz

      Sejarah pembangunan negara maju di dunia telah membuktikan keupayaan bahasa sendiri bagi memacu kemajuan negara itu. Misalnya, Jerman, yang dahulunya terlalu yakin dengan penggunaan bahasa asing bagi memacu pembangunan negara itu, menjadi tidak maju seperti yang diharapkan apabila menggunakan bahasa tersebut. Jerman kembali menggunakan bahasa sendiri dalam aspek pendidikan, terutamanya. Akhirnya Jerman maju setanding dengan Perancis dan negara Eropah yang lain.

     Menurut tokoh bahasa, Hassan Ahmad, terdapat tiga tujuan utama pelaksanaan daar bahasa dalam sistem pendidikan sesebuah negara. Yang pertama, sebagai alat perpaduan antara kaum dan lambang jati diri negara itu. Yang kedua ialah untuk menyelesaikan masalah kecekapan komunikasi pada peringkat yang mempunyai pelbagai bahasa, dan yang ketiga, sebagai nadi penting untuk membangunkan negara dalam bidang pendidikan, ekonomi, teknologi dan budaya. Hal ini bermakna bahawa dasar bahasa bukan sahaja tertumpu pada fungsi bahasa itu semata-matanya, sebaliknya dasar ini penting untuk membantu negara itu dalam aspek perpaduan dan kemajuan, di samping menjadi bahasa utama pertuturan dalam masyarakat berbilang kaum.

      Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, kerajaan sedar bahawa sedar bahawa usaha untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum merupakan cabaran yang amat besar. Oleh itu, pemimpin negara pada waktu itu telah mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini melalui sistem pendidikan kebangsaan. Sistem pendidikan kebangsaan merujuk satu sistem yang seragam dengan menggunakan satu bahasa pengantar sahaja, iaitu bahasa Melayu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei

Bersahabat dengan Buku

Oleh Ramli Abdul Halim

Dengan rakyat Malaysia secara puratanya membaca dua halaman buku atau hanya dua judul buku setahun, tentulah hal ini menjadi persoalan pelbagai pihak, sama ada industri penerbitan dan pengedaran buku berpotensi untuk menjadikan pemainnya sebagai jutawan atapun sebaliknya. Statistik daripada pelbagai pihak, termasuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), menunjukkan bahawa tidak banyak perubahan berlaku terhadap kecenderungan membaca buku dalam kalangan rakyat Malaysia dari dahulu sehingga sekarang.

     Walaupun sekitar 10 ribu sebingga 14 ribu judul buku diterbitkan setahun dan jumlah ini agak besar, jumlah naskah yang dicetak untuk setiap judul terlalu kecil, kecuali buku yang dikategorikan sebagai novel popular. Penerbit besar pun, terutama pada waktu ini, menerbitkan satu-satu judul buku dengan jumlah cetakan hanya 1000 naskhah atau dalam jumlah yang lebih kecil lagi. Yang paling besar pun jumlah cetakannya hanyalah 5000 naskhah sahaja.

      Kalau purata setiap judul buku dicetak hanya 1000 naskhah, hal ini bermakna bahawa daripada 10 ribu sehingga 14 ribu naskhah yang dicetak, jumlah keseluruhannya hanya sejuta atau 1.4 juta naskhah sahaja. Daripada jumlah itu, yang dibeli dan dibaca sekitar 50 peratus atau lebih kecil lagi jumlahnya. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap judul buku yang diterbitkan hanya dapat dipasarkan dengan harga oenuh pada kadar tidak lebih daripada 50 peratus daripada jumlah yang dicetak. Yang selebihnya teroaksa dijual dengan potongan harga atau dilelong. Hal ini bermakna bahawa paling tinggi pun sekitar 500 ribu sehingga 14 ribu judul buku yang diterbitkan.

     Dengan hal yang demikian, untuk negara yang jumlah penduduknya sebanyak 30 juta orang dan seandainya hanya 10 peratus daripada jumlah itu yang membeli setiap judul buku yang sepatutnya terjual ialah tiga juta naskhah atau 3.4 juta naskhah, bukannya 500 ribu sehingga 540 ribu naskhah.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei