Cabaran Bahasa Negara dalam Pendidikan

Oleh Hamdan Azmi Abd. Aziz

      Sejarah pembangunan negara maju di dunia telah membuktikan keupayaan bahasa sendiri bagi memacu kemajuan negara itu. Misalnya, Jerman, yang dahulunya terlalu yakin dengan penggunaan bahasa asing bagi memacu pembangunan negara itu, menjadi tidak maju seperti yang diharapkan apabila menggunakan bahasa tersebut. Jerman kembali menggunakan bahasa sendiri dalam aspek pendidikan, terutamanya. Akhirnya Jerman maju setanding dengan Perancis dan negara Eropah yang lain.

     Menurut tokoh bahasa, Hassan Ahmad, terdapat tiga tujuan utama pelaksanaan daar bahasa dalam sistem pendidikan sesebuah negara. Yang pertama, sebagai alat perpaduan antara kaum dan lambang jati diri negara itu. Yang kedua ialah untuk menyelesaikan masalah kecekapan komunikasi pada peringkat yang mempunyai pelbagai bahasa, dan yang ketiga, sebagai nadi penting untuk membangunkan negara dalam bidang pendidikan, ekonomi, teknologi dan budaya. Hal ini bermakna bahawa dasar bahasa bukan sahaja tertumpu pada fungsi bahasa itu semata-matanya, sebaliknya dasar ini penting untuk membantu negara itu dalam aspek perpaduan dan kemajuan, di samping menjadi bahasa utama pertuturan dalam masyarakat berbilang kaum.

      Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, kerajaan sedar bahawa sedar bahawa usaha untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum merupakan cabaran yang amat besar. Oleh itu, pemimpin negara pada waktu itu telah mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini melalui sistem pendidikan kebangsaan. Sistem pendidikan kebangsaan merujuk satu sistem yang seragam dengan menggunakan satu bahasa pengantar sahaja, iaitu bahasa Melayu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei

Bersahabat dengan Buku

Oleh Ramli Abdul Halim

Dengan rakyat Malaysia secara puratanya membaca dua halaman buku atau hanya dua judul buku setahun, tentulah hal ini menjadi persoalan pelbagai pihak, sama ada industri penerbitan dan pengedaran buku berpotensi untuk menjadikan pemainnya sebagai jutawan atapun sebaliknya. Statistik daripada pelbagai pihak, termasuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), menunjukkan bahawa tidak banyak perubahan berlaku terhadap kecenderungan membaca buku dalam kalangan rakyat Malaysia dari dahulu sehingga sekarang.

     Walaupun sekitar 10 ribu sebingga 14 ribu judul buku diterbitkan setahun dan jumlah ini agak besar, jumlah naskah yang dicetak untuk setiap judul terlalu kecil, kecuali buku yang dikategorikan sebagai novel popular. Penerbit besar pun, terutama pada waktu ini, menerbitkan satu-satu judul buku dengan jumlah cetakan hanya 1000 naskhah atau dalam jumlah yang lebih kecil lagi. Yang paling besar pun jumlah cetakannya hanyalah 5000 naskhah sahaja.

      Kalau purata setiap judul buku dicetak hanya 1000 naskhah, hal ini bermakna bahawa daripada 10 ribu sehingga 14 ribu naskhah yang dicetak, jumlah keseluruhannya hanya sejuta atau 1.4 juta naskhah sahaja. Daripada jumlah itu, yang dibeli dan dibaca sekitar 50 peratus atau lebih kecil lagi jumlahnya. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap judul buku yang diterbitkan hanya dapat dipasarkan dengan harga oenuh pada kadar tidak lebih daripada 50 peratus daripada jumlah yang dicetak. Yang selebihnya teroaksa dijual dengan potongan harga atau dilelong. Hal ini bermakna bahawa paling tinggi pun sekitar 500 ribu sehingga 14 ribu judul buku yang diterbitkan.

     Dengan hal yang demikian, untuk negara yang jumlah penduduknya sebanyak 30 juta orang dan seandainya hanya 10 peratus daripada jumlah itu yang membeli setiap judul buku yang sepatutnya terjual ialah tiga juta naskhah atau 3.4 juta naskhah, bukannya 500 ribu sehingga 540 ribu naskhah.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei

Peranti Moden Membantu Usaha Melestarikan Bahasa

Oleh Abdullah Awang

Bahasa ialah kayu ukur sesuatu bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa. Dua ungkapan ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa pentingnya bahasa kepada manusia. Setiap manusia di dunia ini mempunyai bahasa pengucapan tersendiri. Mereka memartabatkan bahasa ibunda masing-masing untuk dilihat sebagai bangsa terunggul dan bertamadun. Jika hilang ghaibnya bahasa, maka hilanglah maruah, identiti, dan jati diri sesuatu bangsa. Inilah gambaran awal betapa pentingnya untuk kita melestarikan bahasa pengucapan kita.

      Seperti yang kita ketahui bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara Malaysia. Semua rakyat negara ini, tanpa mengira kaum, sepatutnya menyayangi bahasa itu dan sentiasa menggunakannya dalam kehidupan harian. Pada suatu masa dahulu, bahasa Melayu menjadi lingua franca yang terkenal di seluruh dunia kerana peranan penting pelabuhan Melaka dalam perdagangan antarabangsa.

     Apabila kita membicarakan bahasa dalam konteks dunia moden, perkara yang tidak boleh kita tinggalkan ialah peranan alam maya yang melibatkan internet dan komunitinya. Semua pihak perlu melihat perkara ini secara positif kerana alam maya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kini. Setiap individu perlu sedar bahawa alam maya menjadi satu daripada langkah yang dapat digunakan untuk melestarikan penggunaan bahasa kebangsaan dan tugas untuk melaksanakannya menjadi kewajipan masing-masing.

     Sehubungan dengan itu, apakah yang perlu dilakukan untuk melestarikan penggunaan bahasa yang baik dan betul? Sebagai permulaan, guru menjadi orang di baris hadapan. Guru boleh menerapkan penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam proses pengajaran dan pembelajaran penulisan, sebagai contohnya. Dengan hal yang demikian, kesalahan yang berhubung dengan mudahnya dan kesalahan itu, jika berlaku, tidak boleh dipandang mudah.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei

Di Tanjong Malim dan di Paris

 

Kelajuan pelumba itu mengemudikan basikalnya menyebabkan Yee Jee Kwong pantas menarik tangannya yang memegang telefon pintar agar tidak melepasi pagar mudah alih. Yee Jee Kwong antara ratusan penduduk berbilang kaum Tanjong Malim yang beratur di tepi jalan berhampiran dengan Balai Lintang Muallim untuk menyaksikan dan mengalu-alukan pelumba basikal Le Tour de Langkawi. Jee Kwong dan penonton lain dipisahkan daripada laluan pelumba oleh pagar mudah alih milik pihak berkuasa tempatan.

       “Selalunya pelumba hanya melalui Tanjong Malim dalam perjalanan ke destinasi lain, seperti Kuala Kubu Bahru. Namun demikian, pada kali ini, mereka menamatkan perlumbaan di sini,” kata Chai Loon Guan, sahabat Jee Kwong. Mereka menunggang motosikal untuk ke lokasi setelah jalan raya ditutup kepada kenderaan besar.

      Penulis ini turut berada di situ untuk menyaksikan perlumbaan basikal peringkat antarabangsa ini untuk kali ketiga – dua kali di Kuala Kangsar. Kata seorang penduduk bandar sempadan Perak-Selangor ini, “Saya meminati sukan lumba basikal. Kerana minat saya itu, saya berada di sini. Jika hanya hendak menonton acara ini, tontonlah sahaja siarannya melalui televisyen di rumah.”

      Kereta yang digunakan untuk Le Tour de Langkawi ini diletakkan di petak kereta dengan kemasnya. Kereta ini ditaja oleh syarikat pembuat kereta di Jerman. Mereka yang menggunakan kereta ini mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. DI badan kereta, dilekatkanlah tugas mereka yang telah ditetapkan itu. Maka terpampanglah perkataan official car, chief executive officer, chief operating officer, chief timekeeper, commisairre, event director dan race log – antara contohnya.

Armin Azhari Salleh

Bahasa Melayu Dahulu, Kini dan Akan Datang

Oleh Nor Hashimah Jalalluddin

Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Bahasa ini mempunyai fungsi sebagai alat perpaduan bagi rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Bahasa ini mempunyai fungsi sebagai alat perpaduan bagi rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Perpaduan dapat dicapai seharusnya melalui sistem pendidikan kebangsaan yang mampu untuk meletakkan semua bangsa di bawah satu bumbung yang sama. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah dibahaskan sebelum diluluskan mengikut perlembagaan. Bahasa Melayu termaktub dalam Perkara 152 yang menegaskan status bahasa ini.

      Dalam rangka Dasar Kebudayaan Kebangsaan, sekali lagi ditekankan tentang kepentingan bahasa Melayu. Perkara 152 menegaskan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen, dengan syarat bahawa:

  • tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
  • tiada apa-apa jua dalam fasal ini boleh menjejaskan hak kerajaan persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

      Perkara 152 hanya boleh dipinda dengan kuasa raja Melayu yang turut menjadi payung negara. Seharusnya dengan adanya kedudukan yang istimewa sebegini, bahasa Melayu dapat berdiri gah dan berprestij.

Petikan ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei