Keintelektualan Berbahasa Melayu Cerminan Cendekia Bangsa

Oleh Jeniri Amir

Kini, ada salah tanggapan dan kesendengan pandangan sesetengah pihak bahawa keintelektualan seseorang diukur dari segi keupayaannya menguasai bahasa kedua, terutama bahasa Inggeris. Bagai kurang cerdik seseorang itu jika hanya pandai dalam bahasa Melayu. Bagai tidak terpelajar seseorang itu jika tidak pandai mengungkapkan diri dalam bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris yang digunakannya ialah bahasa Inggeris yang terhad dan rendah mutunya. Mungkinkah itu sebabnya rakyat Malaysia tidak gemar berbahasa Melayu, malah lebih suka berbahasa Inggeris? Kalaupun mereka bertutur dalam bahasa Melayu, mereka cenderung menyelitkannya dengan kosa kata dan ungkapan dalam bahasa Inggeris.

       Persoalannya, adakah bahasa Melayu sudah mencapai tahap keintelektualan? Adakah menggunakan bahasa Melayu tidak menampakkan keintelektualan? Betulkah hanya dengan menggunakan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris seseorang itu akan kelihatan daya keintelektualan? Bahasa merupakan wadah penting bagi melahirkan insan yang bijaksana. Kearifan dan kebijaksanaan seseorang diukur bukan sahaja dari segi ketinggian ilmunya, tetapi keupayaan mengungkapkan ilmu yang kompleks dan sulit dengan bahasa yang berkesan. Bahasa sebagai wahana yang penting perlu dikuasai jika seseorang mahu muncul sebagai cendekiawan bangsa.

      Dalam dunia yang semakin mencabar, tahap keintelektualan diukur dari aspek kebolehan dan keberkesanan seseorang untuk berkomunikasi atau menyampaikan maklumat dan pandangan. Individu berkenaan bukan sahaja perlu memiliki ilmu yang luas dan mendalam dalam bidang yang diperkatakannya, tetapi juga berupaya menyampaikan idea dan pendapat dengan bahasa baku yang memancarkan keintelektualan bahasa. Maksudnya, ilmu yang mendalam dan tinggi perlu disampaikan dengan bahasa Melayu tinggi. Bahasa dan ilmu bergerak seiring. Tanpa penggunaan bahasa Melayu tinggi, walau setinggi mana pun ilmu seseorang itu, keintelektualannya tidak akan terserlah. Keintelektualan ilmu perlu bergandingan dengan keintelektualan bahasa.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Daya Fikir Berbahasa

 

Dimensi tradisi keilmuan dan keintelektualan berbahasa yang menjadi teras kepada pembentukan ketamadunan masyarakat sebenarnya bermula dari zaman kanak-kanak lagi. Paparan tradisi keilmuan ini jelas memperlihatkan kekreatifan minda dan keinteletualan pemikiran masyarakat yang diekspresikan dalam segenap bidang khazanah ilmu pada masa akan datang. Ketinggian daya fikir untuk menyampaikan sesuatu perkara memerlukan penggunaan bahasa yang betul dan menepati tradisi keilmuan tersebut.

      Secara ringkasnya, hal-hal yang berkaitan aspek kecemerlangan pendidikan merupakan mekanisme ampuh dalam usaha meningkatkan kualiti penggunaan yang lebih betul dan tepat. Daya fikir berbahasa menjana intelek seseorang sehingga mampu dipaparkan dan dipancarkan sama ada secara lisan mahupun tulisan. Oleh hal yang demikian, medium bahasa amat signifikan untuk menjelaskan kebijaksanaan dan ketajaman fikiran.

     Kesinambungannya, kempen Membaca Amalan Kita, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya dan banyak lagi usaha yang cuba diketengahkan oleh kerajaan untuk memakmurkan amalan membaca sekali gus memperkaya penggunaan bahasa Melayu. Amalan membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih belum berada pada tahap yang memberangsangkan. Budaya dan amalan membaca perlu ditingkatkan antara langkah yang dicadangkan oleh Datuk Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, iaitu dengan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sejam sehari untuk Malaysia muncul sebagai negara pembaca.

      Sehubungan dengan hal itu, pembaca boleh memilih strategi yang sesuai dengan keperluan semasa membaca. Dalam usaha untuk membudayakan membaca, pembaca perlulah memiliki strategi membaca yang sesuai agar tujuan membaca akan dapat dicapai dengan berkesan. Selanjutnya, tindakan ini akan melahirkan masyarakat yang peka terhadap isu semasa dan penggunaan bahasa yang tepat, di samping dapat mewujudkan masyarakat berpengetahuan, serta akan menggambarkan kematangan masyarakat tersebut.

     Sebagai kesimpulannya, proses membina daya fikir berbahasa sesungguhnya tidak ada titik nokhtah. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, usaha untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dilaksanakan secara berterusan dengan perancangan yang lebih agresif dan terarah. Maka, hasrat ini seharusnya menjadi unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia untuk membina satu tamadun dan bangsa yang tinggi. Keunggulan bahasa Melayu harus dipasak dengan semangat dalam jiwa bermula di bangku sekolah lagi.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar