Pemerkasaan Bahasa dan Persuratan Melayu Tonggak Pemartabatan Bangsa Bertamadun Tinggi

Oleh Azizul Haji Ismail

Salah satu penanda aras menjadi bangsa yang bertamadun dan berperadaban tinggi ialah sesuatu bangsa itu perlu mempunyai budaya penggunaan bahasa tinggi dan sejarah persuratan yang “besar” untuk menjadi rujukan serta kebanggaan sehingga generasi pada masa kini. Dalam konteks peradaban dan ketamadunan bangsa Melayu, bahasa dan persuratan Melayu telah berkembang maju selari dengan sejarah keagungan bangsa tersebut melalui pembinaan kerajaan, wilayah, dan empayar yang ersifat kerajaan maritim di alam atau Kepulauan Melayu. Bahasa dan persuratan Melayu sebenarnya mendapat kedudukan tinggi dalam pelbagai ranah semenjak 2000 tahun dahulu apabila tertubuhnya kerajaan Melayu awal, iaitu Funan, Campa, Kesultanan Melayu Melaka, Pasai, Johor-Riau, Patani, Brunei dan Aceh.

     Pada masa tersebut, bahasa Melayu digunakan hampir dalam segala lapangan kehidupan masyarakat yang merangkumi pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, keagamaan, dan ilmu serta pendidikan. Bahasa Melayu juga telah menjadi lingua franca bukan sahaja di alam Melayu, malahan melangkaui di luar alam tersebut, khususnya dalam bidang perdagangan dan penyebaran agama Islam. Sifat bahasa Melayu yang “liberal” dan keterbukaan membolehkan bahasa tersebut tidak “mati”, malahan semakin berkembang sehingga pada hari ini.

     Bahasa dan persuratan Melayu pada masa dahulu telah memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pandangan hidup para pemerintah serta masyarakat secara keseluruhannya bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian hubungan golongan pemerintah dengan rakyat terpelihara. Hal ini disebabkan hubungan orang Melayu dengan rajanya amat rapat dan saling bergantungan dari zaman dahulu sehingga sekarang, selaras dengan ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”. Bagi tujuan itu, penghasilan karya agung dalam persuratan Melayu telah dijadikan asas bagi memastikan bangsa Melayu mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan tamadun besar bangsa lain.

Petikan rencana dipetik dari majalah Dewan Bahasa keluaran Mac

Keteguhan Bahasa Melayu Sepanjang Zaman

 

Perkaitan antara bahasa dengan persuratan sentiasa berkait rapat. Melalui bahasa, terluah pemikiran yang kemudiannya dirakam dalam bentuk penulisan. Perkara ini boleh dilihat melalui pembentukan idea, gagasan, ilmu, sejarah, siasah, ekonomi, perundangan, agama, teknologi, sains dan seumpamanya dicatat dalam bentuk tulisan sebagai dokumen sahih dan berwibawa untuk pelbagai tujuan.

      Keupayaan menguasai sesuatu yang mampu menerbitkan pengaruh menyerlahkan keintelektualan sesuatu tulisan bergantung pada bahasa yang digunakan. Keindahan dan roh sesuatu bahasa pula tercitra melalui kepersisan bahasa berkenaan dalam apa-apa juga maklumat, di samping menonjolkan ketinggian dan kehalusan budi bahasa penulis dan masyarakat sekelilingnya. Dalam alam Melayu, ketinggian nilai bahasa sebagai wahana penyampaian ilmu dapat ditelusuri berdasarkandokumen persuratan Melayu lama seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut, Hikayat Raja Pasai, dan sebagainya. Dokumen ini menjadi contoh bahasa Melayu mampu berkembang mengikut peredaran zaman.

     Kewibawaan dan kecendekiaan bangsa Melayu dibuktikan melalui penerimaan bukan sahaja masyarakat dalam negara, malah masyarakat antarabangsa yang mengkaji hasil tulisan dan pemikiran di sebalik bahan tulisan berkenaan. Tambahan pula, sesetengah dokumen dijadikan tesis untuk memperoleh kesarjanaan dalam bidang akademik. Tidak terbatas setakat itu, Hukum Kanun Melaka dijadikan asas pendrafan kanun antarabangsa. Hal yang sedemikian ini jarang-jarang dilihat dan dibincangkan dalam ranah ilmu.

     Demikianlah bahasa dan persuratan berperanan menganjak tahap keintelektualan sesuatu bangsa kepada tahap yang lebih maju dan berdaya saing mengikut peredaran zaman. Bahasa yang maju seiring dengan era globalisasi turut menuntut perubahan dinamik dan mampu berinovasi dipersada antarabangsa.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar