Menenun Busana Bangsa

 

Sememangnya sukar untuk membaca dan mentafsir pemikiran masyarakat kita dalam era digital. Keterujaan dan ketaasuban terhadap sesuatu yang bukan menjati dalam diri dan jiwa membiaskan nilai-nilai tradisi yang selama ini mendarah daging dalam diri. Nilai yang memberikan tafsiran penampilan yang tersirat mempersalinkan masyarakat dengan busana yang amat indah dan berharga. Namun, kemasukan unsur-unsur dan nilai-nilai yang dianggap “terhangat di pasaran”, sedikit demi sedikit mencarikkan sutera halus busana bangsa dan mengakibatkan kebejatan yang sukar dibaiki.

    Apabila dilontarkan isu nilai tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ramai yang akan ambil endah. Malah, tidak kurang pula yang melihat hal yang sedemikian itu tidak membawa wajaran yang berat untuk diperkatakan. Pada pandangan sesetengah pihak pula, nilai-nilai berkenaan dirangka, dibincang, dipersetujui dan diterapkan dalam bentuk dokumen sebagai garis panduan pada masa dan ketika itu. Dalam era yang memperlihatkan perkembangan pesat dalam pelbagai ranah, ada agenda lain yang lebih primer dan perlu diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Antara isu penting termasuklah kaedah dan pendekatan untuk menganjak negara ke pentas dunia serta melahirkan generasi baharu yang, apabila berdiri di astaka antarabangsa, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan tokoh-tokoh lain seantero dunia. Untuk menzahirkan hasrat dan wawasan ini, generasi hari ini harus menguasai dan memahirkan diri dalam pelbagai bidang ilmu khususnya bidang sains dan teknologi. Untuk itu, pengetahuan dalam bahasa pengantar ilmu yang paling dominan, iaitu bahasa Inggeris perlu diperkukuh.

     Lantaran itu, kaedah yang dilihat paling relevan ialah, “menambah baik” atau “mentransformasikan” sistem pendidkan yang sedia ada dengan dasar memperkasakan bahasa Melayu  dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Sememangnya kaedah ini dilihat sebagai serampang dua mata. Di bawah dasar ini program dwibahasa (DLP) dirangka dan dilaksanakan, bertujuan untuk menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid melalui peningkatan masa pendedahan kepada bahasa Inggeris secara tidak tidak langsung. Dengan pengukuhan dwibahasa seseorang murid, DLP boleh memberikan peluang kepada murid untuk meningkatkan kebolehpasaran di alam pekerjaan.

Mohidin Haji Malek

Bahasa Busana Bangsa

Oleh DILAH TUAH

Sejak sekian lama, bahasa telah memainkan peranan yang cukup penting dalam penentuan identiti sesuatu bangsa. Keyakinan ini turut disandarkan melalui ungkapan seperti “bahasa jiwa bangsa”, “bahasa menunjukkan bangsa” dan “bahasa busana bangsa”. Hal yang sedemikian ini bertepatan dengan pandangan Clara Lee Brown (2009) dalam Heritage Language and Ethnic Identity: A Case Study of Korean-American College Student, yang mengatakan bahawa bahasa dan etnik merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Di samping itu, dalam konteks kajian sosiolinguistik, bahasa bukan sekadar dikaji daripada aspek bunyi sebutan dan ejaan semata-mata, tetapi turut mencakupi faktor budaya dan masyarakat yang memiliki bahasa tersebut. Hal ini dikatakan sedemikian kerana sesuatu bahasa yang wujud pada hari ini membawa bersama roh bangsa yang memilikinya.

     Kepentingan bahasa sebagai penentu identiti bangsa tidak dapat disangkal. Menurut Hassan Ahmad (2004) dalam Bahasa Melayu dan Minda Melayu: Satu Tinjauan Kritis, dalam ilmu antropologi, salah satu ciri yang membezakan satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain ialah bahasa. Justeru, tidak hairanlah dalam satu tinjauan yang dilaukan di 15 buah negara di Eropah pada tahun 2016 mendapati 10 buah negara amat bersetuju bahawa keupayan bertutur dalam bahasa kebangsaan merupakan penentu identiti seseorang. Selain itu, dalam tinjauan yang dilakukan oleh Pew Research Center pada April-Mei 2016, juga mendapati negara-negara seperti Netherland, Britain, Hungary, Amerika Syarikat, Itali dan Kanada, juga bersetuju bahawa identiti kebangsaan hanya dapat dilihat apabila seseorang berupaya bertutur dalam bahasa kebangsaan. Berdasarkan tinjauan tersebut, jelas membuktikan bahawa kedudukan bahasa sebagai penentu identiti bangsa tidak dapat diketepikan dengan sewenang-wenangnya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Februari