Bahasa Melayu Merentas Ilmu dan Sempadan

Oleh ZAIDI ISMAIL

       Berdasarkan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Selain itu, bahasa Melayu turut berperanan sebagai bahasa ilmu.

       Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah menonjolkan kemampuannya sebagai wadah penyampai ilmu dalam pelbagai bidang dan sehingga peringkat tertinggi. Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku badan yang diberikan tanggungjawab untuk mengembangkan bahasa Melayu, turut memainkan peranannya. Peranannya bukan setakat dalam negara tetapi menjangkau peringkat serantau dan antarabangsa melalui  kerjasama dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

     MABBIM merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang  pada peringkat awalnya dianggotai oleh dua buah negara, iaitu Indonesia dan Malaysia yang membentuk Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) pada 29 Disember 1972. Penubuhannya bermula setelah satu Pernyataan Bersama ditandatangani oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Menteri Pendidikan Malaysia, dan Mashuri Saleh S.H., Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, pada 23 Mei 1972 di Jakarta. Seterusnya, MBIM menjadi MABBIM apabila Negara Brunei Darussalam menganggotai Majlis ini pada 4 November 1985, dan Singapura masih menjadi negara pemerhati sehingga kini.

      MABM pula merupakan sebuah majlis khas yang ditubuhkan untuk menyelaraskan aktivitiaktiviti kebahasaan yang menjurus kepada matlamat pengembangan bahasa pada peringkat antarabangsa. Kerajaan Malaysia sentiasa sedar dan amat prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu dan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh beberapa pihak di dalam dan luar negara berhubung dengan pengembangan bahasa ini pada peringkat antarabangsa. Sesudah beberapa buah pusat pengajian Melayu ditubuhkan di luar negara, maka dalam Mesyuarat Kabinet pada 2 Julai 1997, Kerajaan Malaysia telah meluluskan penubuhan sebuah majlis khas untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti kebahasaan yang menjurus kepada matlamat pengembangan bahasa pada peringkat antarabangsa ini. Majlis ini dinamakan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu atau singkatannya MABM.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran September

Ampuh Bahasa, Agunglah Bangsa

 

Tingkap papan kayu bersegi,

              Sampan sakat di Pulau Angsa;

Indah tampan kerana budi,

             Tinggi bangsa kerana bahasa.

    Dipetik pantun Melayu lama yang menyirat makna yang mendalam tentang ketinggian budi dan bahasa. Budi dan bahasa bertaut rapat umpama isi dan kuku. Keakraban itulah pula yang melahirkan istilah budi bahasa. Bahasa, baik secara lisan atau tulisan, menjadi kayu pengukur untuk menilai peribadi penutur atau penulisnya. Bahasa yang indah mencitrakan kehalusan budi pekerti seseorang, manakala bahasa yang kasar dan mencarut pula memperlihatkan kecelaruan atau ketidaktentuan pemikiran seseorang yang mempengaruhi perilakunya. Demikian pentingnya aspek bahasa dalam kehidupan, sama ada dalam komunikasi
formal ataupun tidak formal. Lantaran itu, seni berbahasa harus diserlahkan dan dipertingkatkan agar citra ketinggian martabat bangsa dapat ditonjolkan.

      Namun begitu, masyarakat Malaysia era ini tidak lagi melihat bahasa sebagai lambang pencitraan keagungan sebuah bangsa. Bahasa menjadi perlambangan status atau kedudukan serta keupayaan menjana keuntungan dan kelebihan biarpun harus mengorbankan aspek ketulusan, keikhlasan, adab dan budi. Hal yang penting, nilai ekonomi, nilai tambah, nilai keberadaan, dan nilai keutamaan dalam penganjakan status supaya dilihat lebih berwibawa mengatasi segala-galanya. Lantaran itu, dalam konteks berbahasa, penggunaan bahasa dalam apa-apa juga bidang, harus yang bersifat elit dan berstatus global. Akibatnya, bahasa Melayu disisihkan dan dipandang tidak relevan kerana tidak mampu menjadi bahasa yang mampu mengungkap secara tepat dan berkesan apabila digunakan dalam bidang-bidang tertentu.

        Benarkah hal yang sedemikian? Sukar untuk diterima dan diyakini pandangan terlancung ini. Hakikatnya, apa-apa juga bahasa di dunia ini mampu berperanan dalam apa-apa juga bidang sekiranya usaha ke arah hal yang sedemikian itu dipergiat dan disokong tanpa berbelah bahagi. Bahasa Inggeris dinobatkan sebagai bahasa utama dunia bukan kerana kehebatannya dalam pengungkapan dan pentakrifan istilah-istilah tertentu dalam pelbagai bidang. Sebaliknya, penobatan itu lahir daripada persepsi dan pengiktirafan masyarakat dunia terhadap kedudukan bahasa berkenaan. Bahasa Inggeris bukannya seratus peratus asli. Terdapat juga unsur peminjaman kata, pembentukan dan penggubalan istilah. Namun, hal yang sedemikian ini tanpa sedar disepakati tanpa sebarang persoalan atau sanggahan. Malah, lama-kelamaan, istilah yang dipinjam ini akhirnya diperakui sebagai hak milik kekal bahasa berkenaan.

Mohidin Haji Malek