Aksara Merdeka: Terbela atau Terbiar

Oleh DILAH TUAH

Perdebatan tentang isu bahasa kebangsaan di kebanyakan negara bekas tanah jajahan tidak pernah selesai sehingga hari ini. Di India misalnya, isu bahasa kebangsaan telah menjadi polemik politik yang berpanjangan, khususnya antara bahasa Hindi, Inggeris dan bahasa peribumi yang lain. Menurut Vijay Jaiswal (2013) dalam Language Issues in India, ketika gerakan pembebasan India, terdapat persetujuan dalam kalangan pemimpin untuk menggantikan bahasa Inggeris dengan bahasa India sebagai bahasa kebangsaan. Namun begitu, sehingga hari ini, masih tidak ada kata sepakat yang dicapai untuk memilih salah satu daripada 22 bahasa rasmi yang terdapat di India menjadi bahasa kebangsaan tunggal. Walaupun bahasa Hindi termaktub dalam Perlembagaan India sebagai bahasa kebangsaan, namun begitu, bukan mudah bagi bahasa Hindi untuk menjadi bahasa utama di negara kedua paling ramai penduduk di dunia itu.

       Di samping itu, hal yang sama juga berlaku di New Zealand. Terdapat pertembungan antara bahasa Te Reo Maori dengan New Zealand Sign Language yang menjadi bahasa rasmi, dengan bahasa Inggeris yang bukan bahasa rasmi di negara Kiwi itu. Menurut Amber-Leigh Woolf (1015) dalam petisyen beliau Make English an Official Language in New Zealand, isu bahasa rasmi di New Zealand telah menarik perhatian Robin Bishop, untuk mengemukakan petisyen bagi menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di New Zealand. Petisyen ini dikemukakan berasaskan kedudukan bahasa Inggeris yang sangat meluas penggunaannya dalam semua bidang di New Zealand. Di samping itu, pengukuhan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan di New Zealand dapat dilihat dalam The New Zealand Curriculum Framework atau dikenali sebagai Te Anga Matauranga o Aotearoa (1993). Pertembungan ini sudah tentu memberikan impak yang cukup besar kepada bahasa Maori yang pernah dilarang penggunaanya oleh Inggeris pada abad ke-19.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Ogos

Kemerdekaan Nan Terbelenggu

 

Kobar semangat kembali membara menjelang Bulan Kemerdekaan. Imbasan perjuangan generasi silam untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah kembali berlegar dalam ingatan. Begitu juga laungan keramat Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang melambangkan terurainya rantai belenggu kuasa asing dan bermulanya lembaran baharu yang menyaksikan anak watan memegang tampuk kerajaan yang berlandaskan prinsip demokrasi berparlimen. Saat itulah titik permulaan yang menyaksikan termeterainya konsensus dalam kalangan masyarakat berbilang kaum untuk mencapai kesepakatan demi menjamin pengekalan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian.

       Tempoh 60 tahun mengecapi sari kemerdekaan menyaksikan negara beranjak dari satu tahap ke satu tahap pencapaian yang membanggakan sehingga dunia mula membuka mata akan keberadaan negara kecil bernama Malaysia dalam kancah politik dunia. Suara lantang pemimpin negara ada ketikanya menyentak kuasa-kuasa besar dunia di samping menyisip kebimbangan dalam kalangan kuasa tertentu akan kebangkitan negara dalam kancah politik dunia yang penuh sandiwara. Hal yang sedemikian ini memperlihatkan bahawa negara kita bukanlah negara kecil yang boleh dikotak-katikkan.

        Namun, dalam keterujaan kita untuk membina nama dan kedudukan dalam kancah politik antarabangsa, beberapa perkara yang telah disepakati sejak tercapainya kemerdekaan semakin terabai dan disisihkan. Kontrak sosial yang dipersetujui secara konsensus, sama ada secara sedar atau tidak, dicemari. Hal yang sedemikian ini berlaku disebabkan wujudnya perasaan taasub yang kian menebal akibat kepercayaan dan keyakinan sesetengah golongan bahawa apa-apa juga unsur yang datang dari luar dianggap lebih baik dan berprestij.

Mohidin Haji Malek