Strategi Pembelajaran Bahasa

Oleh VIJAYALETCHUMY SUBRAMANIAM
SHOBEHAH

Belajar bahasa ialah proses penguasaan bahasa, sama ada dalam bahasa pertama ataupun bahasakedua. Proses penguasaan bahasa merangkumi penguasaan bahasa secara pemerolehan atau secara
pembelajaran (Pranowo,1996). Strategi pembelajaran bahasa asing merupakan segala tindakan atau perancangan yang diaplikasikan untuk mencapai tujuan, dan tujuan dalam konteks ini ialah aktiviti belajar sehingga menguasai sesuatu bahasa secara persendirian atau secara berkumpulan. Oleh sebab itu, pemilihan strategi pembelajaran yang akan digunakan dalam proses pembelajaran harus berorientasikan tujuan pembelajaran yang disasarkan, Hamzah (2010). Untuk mengaplikasikan strategi dalam proses pembelajaran bahasa, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah hakikat bahawa pelajar telah menetapkan tujuan belajar bahasa sasarannya. Semakin jelas tujuan pencapaian yang diingini, maka semakin efektiftindakan strategi yang dipilih dan dilaksanakannya. Pelajar juga berpotensi untuk mengembangkanstrategi yang sedia digunakan agar proses penguasaan bahasa asing menjadi lebih singkat dan mampu bertutur atau berkomunikasi dengan penutur natif secara lancar.

          Kebiasaannya, pelajar akan menyusun strategi pembelajaran
bahasa (SPB) yang sedia ada kemudian mengadaptasikannya agar mencapai tahap pembelajaran yang diharapkan. Dalam hal sedemikian, pelajar harus mengesan strategi baharu yang lebih efektif atau strategi sedia ada yang perlu digantikan serta mengawasi keberkesanannya supaya mencapai tahap penguasaan bahasa asing yang diingini. Jelas kelihatan, tindakan pengawalan dan pengubahsuaian strategi dari semasa ke semasa harus dilakukan secara persendirian. Setelah pelaksanaan atau pengaplikasian strategi pembelajaran, maka proses peninjauan dan evolusi keseluruhan boleh dijalankan melalui analisis tugasan, ujian, atau keberkesanan komunikasi.

Taksonomi Strategi Pembelajaran Bahasa Oxford (1990) dan Inventori Strategi Pembelajaran (SILL) Versi 7.0 Oxford (1989)

Perkataan strategi pembelajaran bermaksud sikap dan langkah yang diambil oleh seseorang untuk belajar (Oxford, 1989.) Semua
pelajar menggunakan strategi untuk membantu mereka mencapai kejayaan, tetapi tidak semua pelajar sedar akan strategi pembelajaran yang digunakan. Rebecca Oxford juga mengatakan : “… the most successful learners tend to use learning strategies that are appropriate to the material, to the task, and to their own goals, needs, and stage of learning”, (Oxford, 1989). Walaupun terdapat perbezaan pandangan, pendapat, dan cadangan para pengkaji tentang skema untuk mengklasifikasikan strategi pembelajaran, Oxford (1990) telah membuat penambahbaikan dan pemantapan maksud dan istilah strategi pembelajaran.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Usah Ditangisi Susu Nan Tumpah

 

Disember, bulan akhir tahun, muncul lagi. Masa berlalu teramat pantas dengan rencah peristiwa yang menghangatkan dan mengocakkan kolam kehidupan masyarakat. Pastinya ketika ini kehangatan isu pembentangan belanjawan 2017 masih menjadi tajuk bual bicara popular pelbagai lapisan masyarakat, dari yang serendah-rendah sehingga setinggi-tinggi darjatnya. Kegembiraan, kepuasan, kehampaan, kekecewaan, mahupun kedukaan terlakar pada wajah-wajah mereka yang sama ada secara langsung mendapat faedah, yang terpinggir dan tertinggal, atau mereka yang hanya sipi sipi tertempias habuan pembentangan belanjawan berkenaan.

           Usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar menyaksikan jumlah yang begitu besar diperuntukkan melalui pembentangan belanjawan berkenaan. Amat berbeza sekali berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu. Hal yang sedemikian ini merisaukan para pencinta dan pejuang bahasa Melayu yang melihat agihan ini menggambarkan ketidakseimbangan yang terlalu ketara, di samping tamsilan bahawa dasar kini menitikberatkan kepentingan bahasa Inggeris mengatasi bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu. Adakah hal yang sedemikian ini mengisyaratkan bahawa bahasa Melayu semakin tergugat kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara? Apakah bahasa Melayu dilihat tidak relevan dan tidak berkeupayaan untuk memacu pembangunan negara? Adakah peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara akan “dipintas” oleh bahasa Inggeris?

            Sememangnya hal yang sedemikian ini akan menimbulkan polemik berpanjangan yang pastinya akan membawa pergeseran pandangan yang kritikal. Hal yang sedemikian ini harus dilihat secara rasional dan memerlukan perencanaan langkah yang bijak. Berdasarkan agihan peruntukan yang dibentangkan dengan mengambil kira belanjawan berkenaan diluluskan tanpa sebarang pindaan, gerakan memperkasakan bahasa Melayu harus direncanakan secara strategik dan menyeluruh oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. Dalam hal yang sedemikian ini, soal kecil atau besar agihan peruntukan bukanlah soal utama. Telah terbukti dalam sejarah perperangan bahawa jumlah askar bukan penentu kemenangan, namun kebijaksanaan dan keberanian pemimpin perang merupakan inti pati yang mampu menghadirkan kejayaan. Berlandaskan hakikat ini, perencanaan dan pelaksanaan program yang bersepadu dan berkesan menjadi tonggak utama untuk memartabatkan bahasa Melayu. Jumlah agihan yang diperuntukkan, jika dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin, tidak mustahil impaknya akan lebih besar.

Mohidin Haji Malek