Mampukah Bahasa Melayu menjadi BAHASA RASMI ASEAN?

Oleh RAJA MASITTAH RAJA ARIFFIN
NORAZLINA HAJI MOHD KIRAM

Kesanggupan dan keupayaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN merupakan isu pokok yang perlu dilihat dari sudut sejarah perkembangan bahasanya, geografi, sosial, politik, ekonomi dan budaya. Dalam konteks sejarah, bahasa Melayu berkembang pesat sejak zaman Srivijaya dan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, Aceh dan Johor-Riau. Arus perkembangan dan kegemilangan bahasa Melayu telah terpancar di segenap pelosok gugusan pulau di Asia Tenggara, dan merangsang untuk digunakan sebagai bahasa perhubungan. Faktor geografi dan sosial memainkan peranan penting dalam perkembangan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dalam urusan seharian dan urusan perdagangan dalam kalangan penutur Melayu yang tinggal di kawasan sepanjang Selat Melaka, yang pada suatu ketika dahulu menjadi sebuah kawasan lalu lintas bukan sahaja para pedagang dari India, China, Kepulauan Maluku, Makasar, Ternate, pulau Jawa dan sebagainya, tetapi juga mubaligh agama dari arah timur, barat, utara dan selatan Selat Melaka. Mulai abad ke-13 dan ke-14, bahasa Melayu sudah pun berfungsi sebagai lingua franca, iaitu sebagai bahasa perdagangan, bahasa penyebaran dan bahasa pendidikan agama Islam. Sebagai bahasa yang pernah menjadi lingua franca kepada rakyat di rantau ini, kegemilangan tersebut harus dikembalikan semula.

         Usaha mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi ASEAN telah lama diperkatakan, diperdebatkan dan dicadangkan oleh pelbagai pihak. Seawal tahun 1970-an (setelah tertubuhnya ASEAN pada 8 Ogos 1967), Universiti Malaya telah mengambil inisiatif mewujudkan Rancangan Pengajian Asia Tenggara (RAPAT), mulai sesi 1976/1977; saranan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN turut dikemukakan pada tahun 1980 (Awang Sariyan, 1982:25); demikian juga dalam rumusan Pertemuan Sasterawan Nusantara Ketiga pada 5-6 Disember 1981 di Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan bahawa bahasa Melayu perlu dipertingkatkan sebagai bahasa Nusantara. Perkara yang sama juga pernah dibicarakan dalam Pertemuan Pakar Sastera Rakyat di Filipina pada 27 September 1991 yang menjelaskan bahawa bahasa yang dituturkan dalam kebanyakan cerita sastera rakyat ialah bahasa Melayu (Aripin Said, 1991), dan ini bermakna bahasa Melayu telah dijiwai rakyat di rantau ini. Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) telah mengusulkan penggunaan bahasa Melayu pada peringkat ASEAN (Aripin Said, 1992:17), dan dari semasa ke semasa, perkara ini kerap dibicarakan. Bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN sebenarnya sudah lama wujud, malah sebelum ASEAN diberikan nama ASEAN pada kadar yang terbatas (Amdun, 1992:20).

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Bahasa Melayu dan Semangat Keserantauan

 

Dengan slogan “Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti”, ASEAN atau penuhnya Kesatuan Negara-negara Asia Tenggara yang pembentukannya bertitik tolak daripada Deklarasi Bangkok pada tahun 1967 dengan keanggotaan lima buah negara pada ketika itu, telah menongkah arus cabaran sebagai kesatuan yang berteraskan matlamat mencapai satu visi, keamanan, kestabilan, dan kemakmuran serantau dalam ikatan perkongsian untuk mencapai pembangunan yang dinamik. Melalui Deklarasi Cebu pada tahun 2015, termeterai satu kesepakatan untuk mewujudkan satu komuniti ASEAN yang merangkumi tiga tiang seri utama, iaitu Komuniti Keselamatan Politik ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN. Setiap satu tonggak ini mempunyai rangka tindakan tersendiri dan digabungkan dengan Rangka Strategik Inisiatif Integrasi ASEAN dan Pelan Kerja Fasa II Inisiatif Integrasi ASEAN (2009 – 2015) hingga terbentuklah Hala Tuju Komuniti ASEAN 2009 – 2015.

        Dengan pertambahan jumlah keanggotaannya kepada 10 buah negara hingga kini, ASEAN dilihat sebagai satu kesatuan padu dan utuh untuk menjamin keamanan, kestabilan, dan kemakmuran rantau Asia Tenggara yang mampu menganjak pembangunan negara anggota dalam bidang ekonomi, politik, sains dan teknologi, dan sosiobudaya. Namun demikian, aspek kesepaduan dan kesepakatan yang diimpikan terencat dalam konteks bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa penyatuan dan bahasa rasmi kesatuan ini.

Mohidin Haji Malek