Bahasa Melayu Wahana Keintelektualan Bangsa

Oleh AZIZUL HAJI ISMAIL
VIJAYALETCHUMY a/p SUBRAMANIAM

Kemajuan dan kehebatan sesuatu bangsa tidak dapat dipisahkan
daripada bahasanya sendiri seperti hubungan roh dengan jasad seseorang. Tanpa salah satu elemen tersebut, pasti membawa kepincangan dan menafikan kewujudan manusia itu sendiri. Dalam konteks penulisan ini, kebijaksanaan ataupun hikmah merupakan anugerah Tuhan kepada manusia melalui pemikiran, perlakuan, dan sifat seseorang menyelesaikan sesuatu permasalahan untuk mengharungi pelbagai aspek kehidupan. Orang yang bijaksana juga dikatakan orang yang bijak menggunakan akalnya dalam pergaulan dan tingkah laku sehingga dapat menjauhkan diri mereka daripada kesalahan, kejahatan, dan kebatilan bagi mendapat keredaan Tuhan serta dapat diterima juga oleh kelompok manusia yang berakal. Allah SWT berfirman dalam Surah al- Baqarah, ayat (269) yang
bermaksud:

Allah memberikan hikmah kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa diberi hikmah, sungguh telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali kepada orang-orang yang berakal”.

         Bahasa merupakan wahana utama bagi melahirkan insan yang bijaksana disebabkan manusia amat memerlukan bahasa dalam keseluruhan kehidupan mereka dari awal manusia itu dicipta sehinggalah saat manusia menemui kembali Maha Pencipta. Dalam konteks negara kita yang sedang menuju pembentukan negara bangsa, maka bahasa Melayu merupakan tonggak ataupun tiang seri bagi melahirkan insan yang bijaksana dan masyarakat madani, yakni rakyat ataupun generasi yang maju dari segi pemikiran, kerohanian, serta pembangunan kebendaan dalam negara.

Bahasa Melayu Teras Pendidikan Bangsa

Pendidikan amat penting bagi melahirkan masyarakat yang bijaksana. Hal ini disebabkan antara sifat orang bijaksana ialah berilmu, pandai, cerdas, dan faham dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dilalui oleh mereka. Oleh sebab itu, dalam konteks negara kita, bahasa Melayu telah “dimuliakan” sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu, khususnya yang berbentuk bukan formal pada masa dahulu sehinggalah sistem persekolahan moden masa kini. Bahasa Melayu telah berkembang bersama-sama ranah kehidupan lain seperti urusan perdagangan, pentadbiran, termasuk hal yang berkaitan dengan penyebaran agama Islam di negeri-negeri Tanah Melayu serta kepulauan Melayu pada abad keempat belas. Pedagang Arab dan India beragama Islam yang datang ke kawasan Asia Tenggara telah menyebarkan Islam dan merupakan pelopor yang telah memulakan usaha pendidikan bukan formal dengan cara membina sekolah-sekolah pondok di Perlis, Kedah, Melaka, Terengganu, dan Kelantan. Peluasan empayar Kesultanan Melayu Melaka, Riau, dan Brunei pada kurun ke-15 telah turut mengembangkan agama Islam di negeri-negeri jajahan kesultanan tersebut.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Oktober

Serlahan Kebitaraan Bangsa

 

“Perkataan melangkau usia manusia, institusi dan ketamadunan. Kata-kata mampu membangkitkan citra, menjalinkan pertautan, mengimbau kenangan, menyuntik inspirasi dan memacu denyutan. Kata-kata menebarkan gema pemikiran merata-rata. Perkataan boleh menyakitkan, menenangkan, memberikan inspirasi, menjatuhkan martabat, menuntut, menghasut, meredakan, mengajar, romantis, memutarbelitkan, menyatukan, dan memisahkan. Kata-kata amat berkuasa”. Demikian petikan bicara Imago Muscio, penulis, pembicara, dan penyokong feminisme dari Amerika yang antara lain menulis buku Autobiography of a Blue Eyed Devil: My Life and Times in a Racist Imperialist Society, (Seal Press, 2005).

           Sememangnya kata-kata berperanan besar dalam kehidupan seharian manusia. Ujaran bicara yang terluah atau terakam berperanan besar bagi menentukan hala tuju, di samping menjadi aras penanda kearifan dan kegemilangan tamadun sesebuah bangsa. Memang bertepatanlah pepatah orang tua-tua yang berbunyi, bahasa melambangkan bangsa.

         Bangsa Melayu sememangnya memiliki seni berbahasa yang tinggi yang melambangkan kecendekiaan dan kearifan mereka dalam berkomunikasi. Ketinggian budi yang terserlah melalui bidalan, pantun, seloka, kiasan, peribahasa, dan gurindam mencitrakan sikap berhati-hati untuk menjaga perhubungan yang terjalin antara mereka. Hal yang sedemikian inilah antara faktor penyatuan yang menjadi tunjang kejayaan membangunkan sebuah tamadun yang begitu gemilang suatu masa dahulu.

         Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Melayu dahulu dan kini telah banyak berubah akibat proses pemodenan dan kemajuan dalam bidang teknologi. Sistem sosiobudaya dan amalan hidup mengalami transformasi yang menyaksikan kian terhakisnya budaya berbudi bahasa, khususnya dalam kalangan generasi era teknologi maklumat. Pengagungan terhadap bahasa, budaya, cara hidup, dan pemikiran asing yang didakwa lebih canggih dan beradaya saing, meminggirkan kearifan tempatan yang sekian lama menjadi penanda aras ketinggian tamadun bangsa.

Mohidin Haji Malek