Merdeka Bangsa Merdeka Bahasa

Oleh Dilah Tuah

Pada 31 Ogos 2016, genap 59 tahun Malaysia terlepas daripada belenggu penjajahan British. Sepanjang tempoh tersebut, bahasa Melayu telah menjadi wadah terpenting untuk menyemarakkan semangat patriotisme orang Melayu, iaitu menuntut, memperoleh, dan mengisi kemerdekaan itu sendiri. Perjalanan panjang bahasa Melayu, bukan hanya bermula pada tahun 1957, tetapi telah diwarisi daripada peradaban Melayu yang unggul, sejak abad ketujuh Masihi. Selepas kemerdekaan Malaysia, bahasa Melayu telah diberikan fungsi yang cukup istimewa, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Di samping itu, bahasa Melayu turut berperanan sebagai alat perpaduan dalam pembentukan negara bangsa Malaysia yang diwarnai oleh kepelbagaian kaum dan budaya. Penerimaan kaum lain terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia merupakan salah satu kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama sejak enam dekad yang lalu.

           Namun begitu, sejak kebelakangan ini, kedudukan bahasa Melayu di Malaysia dilihat mengalami perubahan status yang cukup ketara. Peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu mula dipersoalkan oleh generasi muda yang tidak pernah kenal erti kemerdekaan yang sebenar. Fungsi bahasa Melayu sedikit demi sedikit telah diambil oleh bahasa Inggeris atas tiket pembangunan dan kemajuan bangsa. Malah,beberapa dasar baharu kerajaan yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan turut tidak memberikan kelebihan kepada bahasa Melayu, sebagai bahasa yang mendapat pengiktirafan dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Hal ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu
kerana dari dahulu lagi, suara-suara antagonis bahasa Melayu telah mula mencari ruang dan peluang untuk melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Ogos

Logamaya Jiwa Merdeka

 

Ogos menjengah lagi dan semangat patriotisme kembali menghuni
sejenak jiwa rakyat, umpama hadirnya Aidilfitri. Ruapan dan gejolak
rasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara diterjemahkan
lewat kibaran Jalur Gemilang pada premis kediaman, pejabat,
kilang, tempat ibadat, pagar, tiang, kenderaan, dan tempat-tempat lain. Gema lagu patriotik berkumandang melalui media elektronik bagi menyuburkan jiwa yang kering dan kontang semangat kebangsaannya. Kemuncaknya, pengiraan detik tengah malam, konsert ambang merdeka, serta permainan bunga api. Siangnya pula perbarisan raksasa yang penuh gilang-gemilang.

         Memadaikah terjemahan semangat patriotisme melalui sambutan yang sedemikian sifatnya? Tekalkah semarak api nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan bangsa Malaysia, khususnya golongan generasi muda, ataupun kobar semangat itu umpama gah dan gemilangnya acara sambutan yang pada penghujungnya menghadirkan sampah sarap untuk dikutip dan dibersihkan oleh pekerja-pekerja pihak berkuasa tempatan? Apakah erti kemerdekaan dan harga itu difahami sepenuhnya oleh setiap warga? Atau mungkin perkataan “merdeka” bersinonim dengan bulan Ogos atau tidak ubah umpama kata pikat (punch line) yang ditautkan dengan iklan sesuatu produk atau perkhidmatan?

         Merdeka terlalu luas cakupannya dan bukan sekadar bermaksud bebas daripada belenggu penjajahan kuasa asing. Merdeka turut menyentuh aspek pemikiran, tindakan, amalan, anutan, kepercayaan, kesetiaan, kehormatan, keluhuran, kecintaan, dan sebagainya. Apakah maknanya sambutan kemerdekaan setiap tahun andai kata erti kemerdekaan itu tidak dijiwai sepenuhnya dan akhirnya menghadirkan warga sebuah negara merdeka yang masih terjajah intelek, emosi dan spiritualnya akibat virus taasub dan pengagungan terhadap “kelebihan dan keistimewaan” warisan penjajah?

Mohidin Haji Malek