DBP Bestari: Menangani Masa Kini, Mendepani Masa Muka

Oleh Haji Abdul Adzis Abas
Ketua Pengarah DBP

Sebagai institusi yang lahir daripada perjuangan luhur dan semangat waja rakyat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus melangkah maju untuk melaksanakan kebertanggungjawaban dan peranannya membina, memajukan, serta memantapkan bahasa Melayu agar bahasa itu berkeupayaan menjadi bahasa moden yang dapat memainkan fungsinya sebagai bahasa pengantar pendidikan, ilmu, persuratan, urus tadbir negara, komunikasi, pengucapan budaya tinggi, serta bahasa penyatuan kaum-kaum di Malaysia.

Sepanjang 60 tahun kewujudannya, DBP telah berkembang pesat, daripada bangunan enam tingkat, kini bangunan 31 tingkat tersergam indah dan megah di tengah-tengah kota Kuala Lumpur – daripada dua pejabat cawangan, DBP terus menapak maju dengan tertubuhnya empat pejabat wilayah, yakni Selatan, Utara, Timur dan Tengah.

       DBP juga kini, sejauh yang berkaitan dengan bidang kebahasaan dan kesusasteraan Melayu, tekal menjadi institusi yang berintegriti, dan diiktiraf oleh pelbagai pihak berwenang, bukan sahaja di dalam negara, bahkan pada peringkat serantau serta antarabangsa. Lebih membanggakan, DBP kekal menjadi penerbit dalam bahasa Melayu yang terbesar, dan berwibawa.

          Seperti juga institusi-institusi kerajaan yang lain, kendati DBP harus berbangga dengan perkembangan dan kemajuan yang sudah dicapainya, namun DBP juga cukup berhati-hati tentang masa mukanya. Banyak cabaran yang harus didepani olehnya. Antara cabaran masa kini yang sedang DBP hadapi, sekali gus tangani dengan bijaksana termasuklah perubahan demografi rakyat Malaysia yang kian rencam, kemajuan teknologi informasi dan komunikasi yang semakin pantas dan canggih, perkembangan pendidikan semakin berorientasikan e-pengetahuan, keperluan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk e-buku dan i-buku, pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu, serta perubahan dasar-dasar kerajaan, di samping kehendak pelanggan yang kian pelbagai.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Jun

60 Tahun: Bahasa Melayu Memimpin, Dipimpin Atau Terpimpin?

Dewan Bahasa kau obor kebangsaan
Restu dari jiwa pahlawan
Nyala membakar semangat rakyat
Kau abadi dan keramat

Demikian antara seni kata lagu Dewan Bahasa yang diilhamkan oleh
Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang dan liriknya digubah
oleh Saudara Saiful Bahari, pencitraan penubuhan sebuah organisasi
yang menegakkan kedaulatan bahasa sebuah bangsa yang merdeka.
Tidak ramai yang mengetahui seni kata dan lirik lagu ini kerana jarang-jarang berkumandang di media elektornik apatah lagi menghuni carta lagu-lagu popular. Namun demikian, setelah 60 tahun usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), lagu itu tetap malar segar, dengan nafas baharu, meniupkan semangat juang demi memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.

         Enam puluh tahun bukanlah jangka masa yang pendek. Dalam tempoh yang sedemikian panjang, DBP telah mengharungi pengalaman perit getir dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi, dan bahasa pelbagai bidang dalam ranah pendidikan, pentadbiran, perundangan, ekonomi, dan sebagainya. Cabaran bertali arus ada ketikanya mengundang “ombak tsunami” yang menggoncang bahtera perjuangan dan menguji ketabahan dan kebitaraan nakhoda yang mengemudinya.

Mohidin Haji Malek