Bahasa Melayu Tonggak Unsur Tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan

Oleh AZIZUL HAJI ISMAIL
VIJAYALETCHUMY A/P SUBRAMANIAM

         Dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat,
perlembagaan merupakan elemen penting yang menjadi “pengikat” keseluruhan penduduk di negara tersebut, sama ada melibatkan pemimpin tertinggi negara, para pentadbir, badan kehakiman, hinggalah rakyat biasa. A.S. Hornby dalam Oxford Advanced Leaner’s Dictionary mendefinisikan perlembagaan sebagai satu sistem berkerajaan yang menyatakan bahawa undangundang dan prinsip-prinsip kerajaan tersebut yang dijadikan panduan dan asas bagaimanakah sesebuah negara itu diperintah, manakala menurut Md. Bohari Ahmad (1997), perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Keseluruhannya, perlembagaan ialah undang-undang tertinggi di
dalam negara yang mengandungi prinsip-prinsip asas yang menjadi “perjanjian suci” antara rakyat dengan kerajaan bagi memelihara “roh” pembentukan sebuah negara bangsa agar tidak lari daripada waad ataupun kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama. Dalam konteks pembentukan Perlembagaan Persekutuan, unsur tradisi amat penting bagi pembentukan negara bangsa berdasarkan identiti teras bangsa peribumi di negara Malaysia yang bertujuan memupuk persefahaman dan perpaduan rakyat Malaysia
yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

         Unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan juga telah menjadi teras utama kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh keseluruhan rakyat dengan rela hati untuk menjadi warganegara di negara ini apabila ingin mencapai kemerdekaan. Unsur tradisi tersebut meliputi empat elemen teras, iaitu institusi beraja, agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Keempat-empat unsur tradisi ini diserapkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membentuk kestabilan politik dan pengekalan status-quo unsur-unsur tersebut dalam negara sebelum terhasilnya Perlembagaan Persekutuan pada masa kemerdekaan negara. Dalam konteks penulisan ini, unsur tradisi berkaitan bahasa Melayu diulas bagi mengesahkan bahawa peranan bahasa Melayu sebagai tonggak bagi memastikan kelangsungan sebuah negara bangsa yang makmur dan progresif dikekalkan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei

Menjunjung Kebitaraan Silam

“Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan”. Demikian, antara
peribahasa lama yang menjelmakan kebitaraan masyarakat Melayu
dahulu. Peribahasa yang membawa maksud “adat yang tidak berubah, sesuatu yang tetap dan utuh” mencerminkan betapa masyarakat Melayu zaman dahulu memandang tinggi nilai adat dan budaya, serta pengekalan sesuatu unsur yang dilihat mampu memelihara kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Tidak hairanlah, masyarakat dahulu lebih tinggi nilai budi pekertinya biarpun hidup dalam kesederhanaan. Kebahagian dalam hidup bermasyarakat diukur bertunjangkan adat dan persefahaman tentang kontrak sosial yang tersirat dan tersurat. Demikian peri pentingnya pengekalan sesuatu unsur tradisi yang mampu menyejahterakan dan mengharmonikan kehidupan bermasyarakat, terutama sekali dalam konteks kepelbagaian kaum.

         Namun, kini senarionya berubah apabila meletakkan kemewahan dan kepentingan kebendaan mengatasi segala-galanya, waima agama sekali pun. Unsur tradisi yang telah lama bertahan kian robek temboknya akibat tusukan bertali arus musuh yang inginkan pembaharuan dan pembangunan. Amalan yang sudah tidak relevan dengan perkembangan dunia tanpa sempadan disarankan agar dinyahkan. Kebitaraan anak bangsa dalam forum antarabangsa berbekalkan senjata dan perisai yang dipinjam daripada pihak
musuh harus diperhebat agar seantero dunia tahu akan keupayaan anak bangsa mengangkat martabat negara. Untuk menzahirkan hasrat itu, anak bangsa perlu menguasai bahasa pertuturan sejagat yang dominan sifatnya. Dalam kerangka menzahirkan hasrat itu pula, unsur tradisi yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, menjadi galang gantinya.

Mohidin Haji Malek