Mengangkat Nilai Ekonomi Bahasa Melayu di Sarawak

Oleh Dilah Tuah

Sejarah penglibatan orang Melayu dalam bidang perniagaan, sememangnya tidak dapat dinafikan. Pelabuhan Melaka, pernah mendapat julukan sebagai The Venice of the East pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, sehingga menarik minat Portugis untuk menawan kota tersebut. Hal ini banyak dipengaruhi, oleh kepesatan ekonomi orang Melayu di Melaka, yang semestinya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan utama di rantau tersebut. Pada ketika itu, bahasa Melayu menjadi bahasa utama atau lingua franca dalam semua urusan perniagaan di Kepulauan Melayu dan dikuasai dengan baik oleh pedagang-pedagang dari Timur dan Barat. Hal ini bermakna, setiap pedagang dari seluruh pelosok dunia yang berhajat untuk singgah di pelabuhan Melaka, atau menjalankan kegiatan perdagangan, mestilah pandai bertutur dalam bahasa Melayu.

        Di Sarawak, perkembangan ekonomi orang Melayu, tidak kurang hebatnya. Sejarah Sarawak yang bertalian dengan Kesultanan Melayu Brunei, sudah semestinya menggunakan bahasa Melayu sebagai medium perantara dalam urusan perdagangan, sama ada dengan masyarakat tempatan mahupun pihak luar. Penempatan awal masyarakat Melayu di Sarawak seperti di Lidah Tanah, Santubong, Kuching, Gedong, Kelaka, dan lain-lain, telah membuktikan komuniti Melayu telah berhubungan dengan bangsa luar, termasuk Cina dan bangsa Eropah. Malah, ketika pemerintahan James Brooke di Sarawak, bahasa Melayu masih menjadi medium utama dalam urusan perniagaan, khususnya yang melibatkan peniaga-peniaga Melayu dan Bumiputera. Namun, pada hari ini, ketika bahasa Melayu diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukannya dalam bidang ekonomi, dilihat semakin mengecil dan tersisih. Sehubungan dengan itu, penelitian ringkas ini akan cuba membongkar nilai ekonomi bahasa Melayu di Sarawak, yang dilihat kurang diberikan keutamaan dalam urusan perniagaan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Andai yang Ingin Membeli, Belilah Sekali Bahasanya

Perbahasan dan kajian tentang pertautan antara pembangunan
ekonomi dengan kefasihan menguasai bahasa yang dominan telah
berlegar sekian lama. Benarkah penguasaan bahasa yang dominan
merupakan elemen penting dalam menganjak perkembangan dan
pertumbuhan ekonomi sesebuah negara? Apakah rantaian pasaran ekonomi global berpaksikan satu bahasa yang dominan, dalam konteks global, bahasa Inggeris? Tanpa mengambil kira faktor lain, tanggapan bahawa bahasa amat signifikan dalam mencorakkan hala tuju ekonomi bukanlah faktor kukuh. Pertumbuhan ekonomi sesebuah negara tersirat oleh faktor lain, antaranya termasuklah, kestabilan politik, dasar dan perancangan ekonomi yang strategik dan bervisi, sumber tenaga manusia yang memiliki inovasi, kreativiti, kemahiran, dan kepakaran tinggi, kekayaan sumber asli, modal, penawaran dan permintaan.

         Keupayaan bahasa memacu pertumbuhan dan pembangunan sesebuah negara bergantung kepada jati diri yang menebal dan kemahuan yang mendalam. Penutur bahasalah yang meletakkan nilai ekonomi terhadap bahasa. Pengagungan terhadap bahasa kuasa asing yang dianggap dominan dan pernah menjadi “tuan” kepada sesuatu bangsa harus dikikis. Andai kata orang terlalu berkehendakkan barangan yang kita miliki, usaha akan dilakukan waima dengan mempelajari bahasa kita sekalipun.

         Makalah Language in Economic Development: Is English Special and is Linguistic Fragmentation Bad?” tulisan Jean-Louis Arcand, Pengarah Pusat Pembangunan Kewangan dan Profesor Ekonomi di Graduate Institute of International & Development Studies di Geneva dan Francois Grin, ahli ekonomi berbangsa Swiss yang terkenal dalam kajian tentang ekonomi bahasa, melihat pertalian antara bahasa dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Mohidin Haji Malek