Menadah Keringat Perjuangan

Oleh

 Keranda 152
Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen
Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

Usman Awang
1967

        Demikian bait-bait puisi Usman Awang yang melatari peristiwa Keranda 152, perarakan bantahan para pejuang bahasa Melayu, terutamanya warga penulis yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara tokoh penting di sebalik gerakan tersebut termasuklah Usman Awang yang ketika itu merupakan editor majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya terbitan DBP. Perarakan tersebut merupakan simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

       Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan kedudukan bahasa Melayu dinaikkan kedudukannya secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 ke tahap lebih baik 10 tahun kemudian, iaitu pada 1967. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan turut meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah salah satu daripada kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat pelbagai kaum, termasuk Cina, India dan kaum lain. Ketika Malaysia baru mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, parti pemerintah beranggapan bahawa bahasa Melayu belum bersedia untuk mengambil alih tugas bahasa Inggeris yang digunakan oleh pentadbiran penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mac

Nostalgia Oja Semangat Juang

 

Kemelut emelut yang menyelimuti ruang lingkup bahasa Melayu telah mengundang polemik yang hangat antara kumpulan pejuang dan pencinta bahasa Melayu dengan kumpulan yang memperjuangkan pangajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dalam kalangan generasi baharu, khususnya kalangan pelajar. Masing-masing mengemukakan hujah dan pandangan yang berpaksikan fakta bagi menegakkan tiang seri perjuangan. Bagi pejuang dan pencinta bahasa Melayu, perdebatan dipusatkan kepada peruntukan perundangan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Manakala, bagi kumpulan yang memperjuangkan agar penguasaan bahasa Inggeris perlu diberikan keutamaan, tonggak perdebatan disandarkan pada kedudukannya sebagai bahasa komunikasi global yang mampu menganjak pembangunan negara dari aspek daya saing ekonomi global.

         Fakta yang dikemukakan sememangnya tidak dapat disangkal akan kekuatan dan kebenarannya. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam bidang pendidikan tidak semudah itu dapat ditepis dan dikesampingkan berlandaskan kedudukannya seperti yang telah diabsahkan dalam dokumen undang-undang tertinggi negara. Tidak seorang pun boleh menafikan hal yang sedemikian ini dan tidak seorang pun boleh membakulsampahkan perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.

         Demikian juga halnya dengan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global. Namun, dalam konteks fungsi bahasa Inggeris dalam memacu ekonomi negara, sandaran secara total kepada keupayaan menguasai bahasa tersebut bukanlah seratus peratus benar. Bukanlah satu wajaran untuk memperlekehkan kedudukan bahasa ibunda semata-mata untuk mencapai hasrat agar generasi pelapis yang fasih berbahasa Inggeris mempunyai daya saing dalam pasaran pekerjaan. Dalam konteks ini, hal utama atau inti sari permasalahan ini bukan sepenuhnya berpusatkan kefasihan seseorang menguasai bahasa dunia berkenaan tetapi lebih kepada bahasa manakah yang lebih mudah diterima pakai sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan yang mampu menganjak kecendekiaan generasi akan datang.

Mohidin Haji Malek