Bahasa Melayu dalam Transformasi Pendidikan Malaysia

Oleh Dilah Tuah

Pendidikan merupakan wadah terpenting dalam membentuk
rupa, wajah dan identiti nasional, yang akhirnya akan melahirkan konsep satu bangsa, satu negara dan satu bahasa. Di Malaysia, bahasa Melayu telah diangkat martabatnya, menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, sejak awal kemerdekaan lagi. Pemilihan bahasa Melayu amat bertepatan dalam memenuhi keperluan bernegara, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum. Kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan turut diperakui oleh L.J Barnes dalam laporan beliau yang dikemukakan kepada Kerajaan Inggeris pada tahun 1951. Hal ini demikian kerana sebagai sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk, Malaysia memerlukan sebuah sistem pendidikan yang menyeluruh, serta berteraskan falsafah pendidikan kebangsaan, yang dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran negara. Dalam konteks keharmonian, bahasa Melayu sudah diperakui sebagai bahasa pemersatu dan bahasa perpaduan yang dapat menjadi tali pengikat antara kaum yang pelbagai di Malaysia.

         Dari sudut sejarah dasar pendidikan kebangsaan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah diperakui dan diiktiraf oleh Penyata Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Dalam usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di sekolah, pada awal tahun 1957, bahasa Melayu telah menjadi mata pelajaran wajib di sekolah rendah dan menengah.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Menghakis Taasub, Mengurai Keliru

 

Tahun 2016 melakarkan satu lagi perkembangan yang mengelirukan
dalam sistem pendidikan negara apabila dasar program dwibahasa
mula dilaksanakan sebagai projek perintis di 300 buah sekolah di
seluruh negara dalam usaha untuk memperkasakan penguasaan
bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

        Pelaksanaan dasar yang dibuat secara tergesa-gesa dengan mengambil kira respons daripada kaji selidik yang dilakukan melalui kaedah dalam talian tidak kurang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, terutama sekali dalam golongan pencinta dan pejuang bahasa Melayu yang melihat dasar ini akan menjejaskan usaha pemartabatan dan pemasyarakatan bahasa Melayu berlandaskan semangat dan roh Perlembangaan Persekutuan. Namun, bermodalkan hujah kepentingan negara dalam konteks lonjakan ekonomi negara dan penyemaian daya saing modal insan dalam arena pasaran kerja global, isu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pelajaran 1966 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, diketepikan. Pengorbanan harus dibuat bagi menjamin negara mampu kembali ke landasan yang betul dalam rangka pembangunan ekonomi. Dalam hal ini bahasa Melayu yang merupakan jiwa sebuah bangsa yang merdeka menjadi taruhannya.

         Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi utama dunia, namun untuk mengatakan bahasa pembangunan negara bergantung secara total terhadap kefasihan berbahasa Inggeris bukanlah seratus peratus benar. Banyak faktor serta nilai tambah lain yang perlu diambil kira dalam penarafan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Namun, dalam konteks ini, ketaasuban sesetengah golongan yang dielitkan oleh pemikiran ala Barat, lebih senang mengembar-gemburkan isu bahasa sebagai komponen utama. Fasih mana sekalipun berbahasa Inggeris, malah mengatasi kefasihan penutur aslinya, andai negara kekontangan hasil mahsul, celaru iklim politiknya, serta tidak memiliki prasarana yang kondusif bagi melonjakkan pelaburan asing, pembangunan dan kemajuan yang diimpi-impikan tidak akan menjadi kenyataan.

Mohidin Haji Malek