Bahasa dalam Zaman Pencerahan di Eropah

Oleh Mohd Tarmizi Hasrah

Bahasa, Perkembangan Akal dan Peradaban

“Tidak ada sebuah kota pun”, demikian Herder menulis, “yang terbangun di bawah alunan merdu Amphion, tidak ada sebarang tongkat sihir pun yang berdaya mengubah gurun yang gersang menjadi sebuah taman yang menghairahkan, akan tetapi bahasa, sang pembantu ulung manusia, telah melakukannya.”

Sambil memandang tepat ke arah jendela yang sedang luas terbuka, penulis pasti, kita akan berkatakata dengan perlahan, “sungguh, bahasalah yang melakukan segalagalanya!” Terhadap ungkapan ini, tentunya kita boleh bersetuju, tanpa sebarang bantahan pun, dengan Herder.

       Sememangnya bahasa ialah penjana peradaban. Bayangkanlah, tanpa bahasa, apakah yang akan terjadi kepada manusia keseluruhannya? Tanpa bahasa, bagaimanakah manusia membangunkan peradaban? Secara ringkasnya, tanpa bahasa, maka tiadalah pengungkapan sama ada hal-hal yang bersifat intelektual dan hal-hal keseharian. Jika difikirkan kesendengan ini, ternyata natijahnya menggetarkan sendi-sendi kita dan lemah longlai kita dibuatnya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Naratif Bahasa Melayu dalam Transformasi Negara

Oleh Ja’afar Hamdan

Hampir 60 tahun Malaysia menikmati kemerdekaan. Dalam tempoh yang menghampiri enam dasawarsa itu, Malaysia sewajarnya telah mempunyai wajahnya tersendiri sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya yang disatukan atas nama negara bangsa Malaysia yang perlu beridentitikan sebuah penyatuan rasa bangga dan kesamaan cita-cita.

        Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia ialah sebuah negara yang sedang pesat membangun dan terdiri daripada pelbagai etnik dengan hasrat penuh iltizam ke arah mewujudkan sebuah negara harmoni, mempunyai semangat perpaduan yang mantap dan ikatan integrasi yang erat antara etnik dan wilayah. Hal ini penting bagi menjamin kestabilan dan keamanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang etnik dan mempunyai wilayah yang terpisah seperti Sabah, dan Sarawak.

        Justeru, perkara-perkara yang menyentuh isu-isu bahasa, agama, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu atau dikenali juga sebagai unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi faktor penting untuk mewujudkan hubungan etnik yang erat dan utuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut Ratnam, dalam bukunya Faham Perkauman dan Proses Politik di Malaya, jelas menegaskan bahawa isu-isu ini akan menentukan suasana hubungan etnik pada masa hadapan dalam negara Malaysia.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Selangkah, Sederap Mendepani Cabaran

 

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2016

Belum pun selut kemelut sempat mendap di dasar sungai bahasa, arus dari hulu membawa pula sarap yang merebakkan tebingan. Pada masa yang sama, badai dari seberang Laut China Selatan mendamparkan bongkah balak di muara. Demikian, satu demi satu kemelut yang menyinggahi sanggar bahasa Melayu tanah air yang berdaulat ini.

       Kemelut bahasa yang direncanakan bukanlah agenda baharu dalam sejarah tanah air. Telah sekian lama, jemari nakal cuba menggugat kedudukan dan kedaulatan jiwa sebuah bangsa, iaitu bahasa Melayu. Namun, mutakhir, agenda ini semakin lantang disuarakan tanpa mengambil kira semangat Keluhuran Perlembagaan yang secara jelas meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara melalui peruntukan Perkara 152. Bagi golongan ini, bahasa Melayu bukan lagi agenda utama dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Bahasa Melayu tidak lagi relevan sebagai medium perpaduan. Demikian laung mereka yang mengaku bahawa mereka berbangga dilahirkan sebagai anak Malaysia!

       Benarkah bahasa Melayu tidak mampu memenuhi tuntutan sebagai bahasa ilmu? Benarkah hanya bahasa Inggeris yang mampu meletakkan siswazah tanah air setaraf dengan siswazah luar negara dalam pasaran pekerjaan? Benarkah sebuah negara yang tidak menguasai bahasa Inggeris akan jauh ketinggalan dari segi ekonomi, politik dan sosiobudayanya? Jawapan persoalan ini, biarpun jelas, akan dibakulsampahkan oleh mereka yang begitu taasub akan status bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia.

Mohidin Haji Malek