Gemerlap Sulalatus Salatin

Oleh Ahmad Sayuti Mohd Yusob

Siri Wacana Sulalatus Salatin merupakan hasil resolusi Seminar 400 tahun Sulalatus Salatin yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2013. Justeru, DBP, melalui Bahagian Penyelidikan Sastera dan Pusat Dokumentasi Melayu telah mengambil langkah yang proaktif untuk bekerjasama dengan rakan sinergi daripada pelbagai institusi pengajian tinggi sebagai penganjur bersama.

      Antara bidang yang dikaji berkenaan karya agung tersebut
termasuklah budaya dan sumptuary law, kearifan Melayu, hubungan diplomatik, edisi kritikan Sulalatus Salatin, paparan metafora emosi, pewarisan Institusi Kesultanan Melayu, etnosentris wibawa Melayu, perkapalan dan perdagangan maritim, kebudayaan Islam serta melihat Sulalatus Salatin melalui bacaan hermenuetika dekonstruktif. Kajian yang dihasilkan oleh kalangan sarjana dan peneliti sastera dalam pelbagai latar disiplin ilmu memberikan natijah yang berguna terhadap pemartabatan teks Sulalatus Salatin sebagai kanun susastera Melayu. Selain itu, hasil kajian tersebut juga dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas dan mendalam kepada masyarakat, terutamanya generasi muda yang berkemungkinan tidak mengetahui wujudnya naskhah agung tersebut.

Berita ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Kisah Penjejak Tamadun

 

Di Malaysia tidak terdapat banyak pertubuhan yang sendi dan asasnya berpaksikan keilmuan, apatah lagi yang didasarkan kepada konsep pengembaraan. Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) merupakan salah sebuah pertubuhan NGO yang meraikan wacana keilmuan dan berfokuskan kegemilangan tamadun lampau dalam meneruskan legasi tamadun tersebut untuk manfaat bersama.”Perigi” sejarah, budaya dan tradisi tamadun lampau digali semula demi mencari”permata ilmu” yang lama terpendam.

      Hasil penemuan ilmu tersebut bukan sahaja menjadi bahan sejarah yang bernilai, malah boleh diambil “madu” faedahnya untuk kelangsungan dan kebaikan masyarakat dan negara. Kumpulan GPTD yang kebanyakan ahlinya merupakan golongan belia bawah umur 40 tahun ini bukan sahaja gigih dalam menjejaki tamadun silam, malah meraikan kepelbagaian pendapat dan pandangan demi sebuah wacana keilmuan yang jitu dan utuh. Untuk itu, Dewan Bahasa mewawancarai Presiden GPTD, Encik Abdul Hakim Shahbuddin, bagi mendapat pandangan dan perspektif beliau mengenai gerak kerja, persoalan bahasa Melayu dan isu yang berlegar dalam kalangan generasi muda.

DB: Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) merupakan sebuah kumpulan berdaftar yang sering menggerakkan aktiviti keilmuan dan ketamadunan. Sebagai Presiden GPTD, boleh tuan jelaskan secara ringkas asas, misi, objektif serta perancangan masa hadapan GPTD?

Secara asasnya, GPTD ditubuhkan pada tahun 2001 dan berdaftar secara rasmi pada tahun 2010 di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Kumpulan ini diasaskan oleh Tuan Haji Ahman Azam. Ketika itu, beliau baru sahaja pulang dari Sepanyol dan melihat satu tamadun yang hebat di Andalusia. Beliau merasakan bahawa di Malaysia patut ada sebuah kumpulan anak muda yang boleh menjejaki dan mencari sejarah serta tamadun yang berada di seluruh dunia. Jadi, beliau mengumpulkan beberapa orang anak muda dan wujudlah GPTD.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Mampu Menongkah Arus

Oleh Lutfi Zahid

     Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Manusia (MAMPU) merupakan peneraju transformasi penyampaian perkhidmatan awam yang terbilang. MAMPU juga bertanggungjawab dalam memperkaya transformasi penyampaian perkhidmatan awam melalui pengurusan organisasi dan Teknologi Informasi Maklumat atau ICT yang inovatif dan strategik ke arah negara maju. Untuk melihat bagaimana MAMPU melaksanakan gerak kerja dan perancangan masa hadapan, Siri Wacana Fikrah Ummah 9 / 2015 bertajuk “Transformasi Pengurusan dalam Perkhidmatan Awam” yang berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP pada 12 Oktober 2015 lalu, menampilkan Dato’ Seri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah MAMPU bagi menjelaskan peranan dan transformasi yang telah dan akan dilakukan oleh MAMPU.

       Beliau menjelaskan bahawa betapa pentingnya seseorang itu membuka cakupan dan lingkungan pemikirannya dalam menghadapi cabaran semasa. Hal ini berkait rapat dengan keperibadian dan sifat penjawat awam. “Kita mesti memiliki pemikiran yang luwes dan beranjak. Selain itu,kita mahu pemikiran itu boleh mengadaptasikan apa sahaja perubahan yang berlaku di luar bagi faedah perkembangan intelektual kita bersama. Untuk menjadi sebuah negara maju pada masa hadapan, bukannya hanya terletak pada sektor-sektor tertentu sahaja, tetapi bergantung pada sumbangan buah fikiran, tenaga, kreativiti dan inovasi yang datang daripada setiap individu,” ujar beliau.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2015

Oleh Mohamad Faizal Jamil

Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) telah dilancarkan sejak tahun 1999 sebagai acara tahunan yang dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia bagi menyemarakkan semangat, jati diri dan patriotisme terhadap negara melalui wahana, wacana dan prasarana bahasa dan sastera kebangsaan. Sehingga tahun 2009, BBSN telah melalui penjenamaan semula dan dikenali sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang disambut pada setiap bulan Oktober. Hal ini bermakna BBSN/BBK telah dianjurkan selama 16 tahun di negara kita. Semua pejabat DBP di seluruh negara menjadi paksi penganjuran pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di wilayah masing-masing bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan bahasa kebangsaan negara, iaitu bahasa Melayu.

     DBP Cawangan Sarawak yang diwujudkan pada tahun 1977 tidak terkecuali daripada menggalas amanah murni ini ke arah menyebarluaskan usaha pemartabatan bahasa Melayu kepada seluruh masyarakat berbilang kaum yang terdiri daripada 27 suku etnik. DBP Cawangan Sarawak sedar dan amat prihatin terhadap kepentingan, peranan dan fungsi dominan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai elemen fundamental dalam pembentukan bangsa dan negara bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Usaha BBK ini merupakan usaha memupuk dan menyuburkan perasaan cintakan bahasa kebangsaan di Malaysia, umumnya, dan Sarawak, khususnya.

Berita ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Keberkesanan Program Audit Bahasa Melayu Memartabatkan Bahasa Melayu

Oleh Khairol Anuar Hadith Fadzillah

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, perkataan “audit” didefinisikan sebagai pemeriksaan dan pengesahan kira-kira dalam konteks akaun. Perkara yang sentiasa menjadi perhatian untuk diaudit oleh pasukan juruaudit ialah hal yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dalam sesuatu jabatan. Pengauditan menitikberatkan soal integriti dan akauntabiliti sesebuah agensi kerajaan. Tegasnya, kemunculan program “audit bahasa” yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diharapkan dapat memberikan keberkesanan dalam memartabatkan kedaulatan bahasa Melayu.

Keberkesanan, seperti yang didefinisikan dalam Kamus
Dewan edisi keempat, bermaksud perihal berkesan atau
berkesannnya sesuatu tindakan, perubahan, dan sebagainya.
Justeru, apakah pula maksud keberkesanan dalam konteks
program audit bahasa, khususnya, dan konteks pemartabatan
bahasa amnya. Program Audit Bahasa Melayu (ABM) yang
telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’
Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Pendidikan pada ketika itu, bertujuan
untuk meningkatkan dan menggalakkan penggunaan bahasa
Melayu yang betul dalam kalangan penjawat awam di
Malaysia.

Program Audit Bahasa Melayu merupakan inisiatif terbaharu Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pelan strategik 2011-2015. Di bawah Program Audit Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahasa kebangsaan digunakan dengan sebaik-baiknya dalam urusan rasmi. Oleh hal yang demikian, Program Audit Bahasa Melayu akan meningkatkan lagi keberkesanan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam. Program pengauditan bahasa Melayu ini dimulakan dengan jabatan kerajaan dan kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Di samping itu, DBP akan terus membantu kementerian perumahan mengaudit papan iklan untuk memastikan ejaan yang terpapar pada papan-papan tanda menggunakan bahasa Melayu yang betul (Khairol Anuar Harith Fadzillah, 2013: 47-48).

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Resah Seorang Penulis

Oleh Mohd Razan

Judul : Monolog Kecil: Tahun-Tahun Gelora
Pengarang : Baha Zain
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan : 2015
Harga : RM 30.00

Jika bahasa dikatakan sebagai jiwa sesuatu bangsa, maka bahasa juga boleh dikatakan sebagai citra masyarakatnya. “Bahasa berumahkan masyarakat” sepertimana “masyarakat berumahkan bahasa”. Bahasa dibentuk oleh masyarakat begitu, juga hal yang sebaliknya. Hal inilah sedikit sebanyak tercermin melalui himpunan pojok Baha Zain yang dicantumkan dalam sebuah buku yang berjudul ‘Monolog Kecil: Tahun-Tahun Gelora’. Tulisan yang terkandung dalam buku ini merupakan hamparan buah fikiran Baha Zain dalam kolumnya yang diterbitkan oleh Dewan Sastera bermula Julai 2005 sehingga Disember 2011. 78 buah pojok ini dapat dilihat sebagai sebuah dokumentasi terhadap peristiwa-peristiwa signifikan yang berlaku sepanjang tahun tersebut yang sesuai diambil sebagai nasihat dan peringatan kepada kita dalam menghadapi ketidakpastian masa hadapan.

      Tulisan tersebut lebih berupa refleksi atau muhasabah yang
disandarkan kepada pengalaman lepas beliau yang dituturkan dalam konteks peristiwa yang sedang berlaku ketika karya tersebut ditulis. Dalam hal ini, Baha Zain secara tepat mengungkapkan keperluan seseorang seniman atau karyawan untuk menghasilkan sebuah karya yang membumi serta lahir daripada kantung masyarakatnya sendiri. Tulis beliau, “Orang tidak menulis dengan memetik persoalan dari udara.” Kurang lebih, maksud beliau bahawa sebuah karya atau penulisan merupakan hasil cerapan dan renungan seorangkaryawan terhadap kemelut yang sedang dihadapi oleh masyarakat yang dihidupinya.

        “Masalah-masalah semasa yang menimbulkan keprihatinan,” tambah beliau, “menimbulkan beban fikiran serta perasaan bagi pengarang yang cinta akan rakyat dan tanah airnya.” Persoalan-persoalan ini tidak diada-adakan atau wujud secara terpisah melainkan bersinggung secara langsung dengan keadaan sebenar masyarakat.

      Citra masyarakat digambarkan oleh keperibadiannya dalam berbahasa, iaitu bagaimana ahli masyarakat dan pemimpin menyantuni bahasanya sendiri. Kegalauan Baha Zain berkenaan peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bagi masyarakat, terpapar dalam buku tersebut. Antara tulisan yang jelas menggambarkan kebimbangan, dan pada satu takah, kejelikan beliau terhadap keadaan tersebut ialah Rindu dan Patriotisme, Generasi Jambatan Bengkok: Reka Cipta Politik, dan yang terutama sekali Tahun-Tahun Sial.

Ulasan ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Penterjemahan: Kualiti Seiring Teknologi

Oleh Wan Halizawati Wan Mahmood

Penterjemahan bukan sekadar suatu kerja bersifat mekanikal. Hal ini memerlukan kemahiran dan menuntut pendekatan artistik. Seseorang penterjemah itu bukan sekadar mengetahui peraturan
menterjemah, tetapi juga perlu memiliki resepi tambahan untuk berjaya dalam kerja menterjemah ke arah menghasilkan output yang bagus dan berkesan.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, satu trend baharu telah muncul dalam kerjaya penterjemahan, iaitu kewujudan prosedur standard antara hubungan firma atau syarikat penterjemahan dengan pelanggan mereka. Apabila bercakap tentang hubungan ini, maka sudah tentu elemen kualiti menjadi teras yang sangat penting dalam kalangan penterjemah yang berkhidmat di firma tersebut. Kualiti yang dimaksudkan berpandukan dua prinsip asas, iaitu kualiti adalah bersifat relatif, bahawa kita menanggapi
tahap kualiti dengan cara berbeza untuk satu produk yang sama, manakala prinsip kedua ialah tahap kualiti itu tertakluk kepada kekangan keperluan kerja penterjemahan.

Makalah ini tidak bertujuan mengulas panjang lebar tentang prinsip kualiti, sebaliknya artikal ini merupakan garis panduan bagi penterjemah yang sentiasa mengejar masa dalam memenuhi tuntutan dan keperluan pelanggan. Yang berikut diperincikan langkah proaktif yang mungkin dapat membantu penterjemah menghasilkan tugasan mereka dengan lebih berkesan, terutama bagi mereka yang menggunakan komputer serta Microsoft Office.

Elakkan kerja dua kali

Sebaik-baik sahaja diberikan tugasan menterjemah, penterjemah sewajarnya melakukan kerja mereka dengan cermat dan teliti dengan kesilapan paling minimum, mungkin sedikit kesilapan ejaan sahaja, tanpa melibatkan unsur kesalahan makna atau maksud. Hal ini demikian kerana kerja penyuntingan dan penyemakan semula teks terjemahan itu amat memenatkan. Kerja ini juga memakan masa dan mungkin mengundang keadaan “pandangan kedua” yang bertentangan dengan hasil asal terjemahan tersebut, mengakibatkan risiko “kerja dua kali” atau rework. Justeru, sebaikbaik mungkin menterjemah seolah-olah bahan berkenaan akan diserahkan atau diterbitkan pada masa itu juga. Semakin minimum kesilapan, maka semakin rendah peluang kesilapan dikesan semasa proses penyuntingan dan baca pruf (sekiranya ada), dan keadaan ini sudah tentu akan menjimatkan masa.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember