Roh Bahasa dalam Perlembagaan

Oleh Ahmad Sayuti Mohd Yusob

       Bagaimanakah Perlembagaan Malaysia boleh bertahan dalam keadaan politik dan suasana sosial yang kacau-bilau? Hal yang lebih penting lagi, adakah bahasa Melayu benar-benar dipraktikkan secara ikhlas dan murni dari segala sudut menurut perlembagaan? Jika bahasa Melayu dipermainkan dan diperlakukan dengan cara dan amalan yang bercanggah dengan perlembagaan, adakah rakyat Malaysia, dan masyarakat Melayu, khususnya, yang sanggup mempertahan dan mengembalikan maruah bahasa Melayu? Atas dasar semangat perjuangan demi kelangsungan bahasa Melayu, Siri Wacana Fikrah Ummah 7/2015 bertajuk “Peranan Institusi Parlimen dalam Menjaga Kepentingan Melayu Menerusi Perlembagaan” yang berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP pada 17 September 2015 lalu, menampilkan Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang, Yang Dipertua Dewan Negara, bagi menjelaskan peri pentingnya perlembagaan dalam konteks masa kini.

     Beliau mengimbau masa lampau dengan mengingatkan bahawa Malaysia, dengan kemajmukan masyarakatnya, telah dapat bertahan dengan mengamalkan acuan demokrasi berperlembagaan. Kejayaan Malaysia dalam mentadbir urus negaranya sendiri tanpa terjadinya pergolakan atau perpecahan yang mampu meruntuhkan tiang dan sendi negara pada hari ini turut mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

      Perlembagaan persekutuan merupakan panduan yang mengandungi beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan, seperti agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, soal kerakyatan dan keistimewaan orang Melayu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Kita dan Bahasa (Bahagian Ketiga)

Oleh Mohd Tarmizi Hasrah

       Tidak dinafikan yang kedua-dua kesendengan ada kritikannya. Kesendengan yang pertama dikritik hebat, misalnya oleh Jacques Derrida. Kedua-dua tahap awal, pada Derrida, terlalu bersifat fonosentrik dan logosentrik (pada mulanya ialah Logos, kata). Dengan fonosentrik dan logosentrik, hanya ada sebuah pusat kebenaran, yakni subjek atau aku yang berbahasa. Ketika subjek berbahasa, kehadirannya dimanifestasikan melalui bunyi-bunyi yang keluar daripada alat ujarannya. Ketika ujaran yang berupa bunyi-bunyi dihasilkan, ujaran tersebut turut disertai oleh rangsangan lain seperti mimik muka, nada suara, gerak badan dan lirikan mata. Gabungan bunyi ujaran dengan rangsangan luaran menandakan sebuah keadaan mutlak yang turut meletakkan subjek, waktu, ruang, suara, makna atau kebenaran dalam suatu kesatuan.

      Dalam keadaan tersebut, suara subjek menjadi penanda makna dan gagasan yang merupakan manisfestasi langsung antara fikiran dengan fizikal, badan dengan jiwa, empirik dengan transenden. Disebabkan sifat fonosentrik dan logosentrik yang ada pada kedua-dua tahap bahasa yang awal membuatkan Derrida beranjak setapak lalu berhenti pada bahasa tulisan, bahasa tahap ketiga. Menurutnya, bahasa tulisan bebas daripada sifat fonosentrik dan logosentrik, yakni tidak ada satu pusat kebenaran, semua berhujung pada pentafsiran. Jesteru kebenaran ialah tafsiran.

       Manusia, walaupun berupa entiti yang tidak terpisah dengan bahasa, adakalanya tersesat dalam bahasa lisan, dan lebih-lebih lagi bahasa tulisan iaitu tersesat dalam aksara. Kita seringkali meminta orang yang berkata-kata sesuatu kepada kita agar mengulangi semula kata-katanya. Pengulangan tiada tujuan lain, melainkan menginginkan ketepatan dalam memahami makna yang cuba disampaikannya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Landskap Bahasa dalam Dunia Ilmiah

Profesor Dato’ Dr. Roslan Abd Shukor
Pengerusi Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

DB: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan antara watak penting dalam menggerakkan penerbitan ilmiah. Keaktifan Penerbit UKM menjadi bukti bahawa masih ada penerbit buku ilmiah yang masih menerbitkan dan memasarkan penerbitan ilmiah dalam bahasa Melayu. Boleh Prof. jelaskan serba sedikit latar belakang, objektif serta misi Penerbit UKM?

Falsafah Penerbit UKM adalah untuk menerbitkan bahan ilmiah, terutamanya dalam bahasa Melayu, selain memperkaya khazanah ilmu. Saya tidak bersetuju jika ada golongan masyarakat yang berpandangan bahawa penerbitan bahasa Melayu berkemungkinan akan menyebabkan tidak wujudnya capaian terhadap penerbitan tersebut. Penerbit UKM bermula dengan jawatankuasa penerbitan universiti. Jawatankuasa tersebut
ditubuhkan pada tahun 1970. Dari tahun tersebut hinggalah sekarang, berlaku perubahan nama dan sekarang dikenali sebagai penerbit UKM. Boleh dikatakan bahawa usia penerbit UKM hampir sama usianya dengan UKM sendiri. Misi Penerbit UKM jelas, iaitu untuk memperkaya ilmu peribumi Malaysiana serta bahasa Melayu
melalui penerbitan ilmiah.

DB: Ramai yang beranggapan bahawa bahasa Melayu kini bukan lagi sebagai bahasa ilmu yang utama. Mereka, khususnya pensyarah dan mahasiswa, lebih gemar menggunakan bahan bacaan dan rujukan berbahasa Inggeris. Bagaimanakah tanggapan Prof. terhadap perkara ini?

Sebenarnya penggunaan bahasa Melayu dalam penerbitan ilmiah
merupakan satu aset penting, bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga untuk dunia. Pihak penerbitan antarabangsa seperti
Thomson Reuters, juga menyedari bahawa banyak ilmu di dunia ini yang perlu kekal diterbitkan dalam bahasa asalnya kerana hanya dengan ini sahaja makna sebenar sesebuah karya itu dapat dikekalkan. Penerbit UKM juga menerbitkan buku dalam bahasa lain, seperti bahasa Inggeris dan sebagainya.

Wawancara ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Tiada Hari Tanpa Menulis

Oleh Jeniri Amir

      Larry Brown pernah menulis dalam Publishers Weekly, bahawa tidak ada penulis yang dikatakan born writer. Penulis tidak dilahirkan. Penulis perlu dipupuk dan dilatih. Penulis perlu sentiasa mempertajam kemahiran dan memperkaya pengalamannya dalam bidang penulisan. Bakat semata-mata, tanpa digilap, tidak akan membawa penulis tersebut ke tahap yang lebih tinggi. Menulis memerlukan kemahiran yang perlu dipelajari, sebagaimana seseorang belajar menyusun bata dan menjadi tukang kayu. Anda perlu menulis beberapa perkataan sebelum dapat menghasilkan sesuatu yang dapat diterbitkan. Siapakah penulis atau pengarang? Penulis merupakan mereka yang menyusun gagasan, dan kemudiannya, dengan bantuan penerbit, menyebarkannya, sama ada dalam bentuk rencana, artikel ilmiah atau buku. Dari segi teori, apabila perjanjian atau kontrak ditandatangani atau karya berkenaan sudah diserahkan kepada editor, seperti dalam kes rencana untuk akhbar atau majalah, bermakna penulis telahmenyerahkan karya dan hak menerbitkan karya itu kepada penerbit.

      Buku yang laris jualannya di pasaran, atau penulis yang karyanya diminati pembaca akhbar, pasti membantu melonjakkan jualan buku atau akhbar terbitan organisasi media terbabit. Jika hal ini berlaku, maka hal ini menguntungkan penerbit, dan secara tidak langsung, turut memberikan sumbangan dari segi pendapatan kepada syarikat atau organisasi media yang terbabit. Dalam hubungan ini, penulis perlu mempunyai idea yang menarik dan terkini. Idea yang menarik wujud hasil kreativiti berfikir, sumbang saran, perbincangan dengan rakanrakan, menghadiri seminar, forum dan sebagainya. Idea juga tercetus hasil pembacaan yang luas tentang pelbagai isu dan bidang. Segala ilmu dan pengalaman terbabit diadunkan dan dicanaikan, tanpa kita ketahui bila ilmu itu bakal digunakan. Suatu ketika, pasti ilmu dan pengalaman tersebut dicanaikan dalam karya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Glosari Dialek Memperkayakan Khazanah Warisan Bangsa

Oleh Junawati Ab Hamid

Judul                   : Siri Glosari Dialek Melayu Semenanjung: Glosari Dialek Pulau Pinang

Penyelidik          : Abdul Jalil Anuar, Mohaini Saffar, Anuar Ahmad, Ahmad Salleh, Ahmad Zaki Md Taha, Ariffin Abdul Rahman dan Mohd Rosli Ismail

Penerbit             : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbitan  : 2015

Harga                 : RM 25.00

     Dialek atau nama lainnya loghat atau bahasa daerah merupakan kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri golongan tertentu dalam kalangan penutur sesuatu bahasa. Di Semenanjung Malaysia, terdapat pelbagai dialek yang dinamakan mengikut negeri.

      Walaupun penamaan dialek tersebut tidak mengikut amalan linguistik umum, namun, penamaan tersebut adalah untuk memudahkan semua pihak. Kini, terdapat pelbagai dialek yang dikenali umum, seperti dialek Kelantan, dialek Terengganu, dialek Pahang, dialek Johor, dialek Melaka, dialek Negeri Sembilan, dialek Perak, dialek Kedah dan dialek Pulau Pinang. Setiap dialek
mempunyai ciri sistem bunyi (fonologi) dan perbendaharaan kata (leksikal) yang tersendiri. Kewujudan dialek ini memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu dan menambah khazanah persuratan Melayu.

     Dialek yang pelbagai tersebut merupakan khazanah bahasa Melayu yang amat bernilai dan perlu dipelihara. Petanda pelupusan dialek ini dapat dilihat dengan berkurangnya penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam kalangan golongan muda. Penghasilan buku Glosari Dialek Pulau Pinang merupakan usaha yang dilakukan untuk mengumpul dan mendokumentasikan kosa kata dialek yang terdapat di Semenanjung Malaysia supaya dapat dijadikan rujukan oleh pengguna bahasa Melayu, khususnya pengkaji bahasa dan budaya Melayu.

Ulasan ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Akronim dalam Tulisan Jawi

Oleh Munsyi Jawi

     Bagaimanakah ejaan akronim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu PBB dalam tulisan Jawi? Adakah pa-ya-baya- ba-ya atau pa-ba-ba? Untuk mendapatkan jawapannya, bacalah tulisan ini hingga akhir kerana aspek inilah yang akan menjadi fokus perbincangan ruangan ini pada bulan ini.

      Apakah akronim? Menurut Kamus Dewan edisi keempat, akronim bermaksud kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan. Perkataan DBP misalnya, merupakan kependekan hasil gabungan huruf-huruf pertama perkataan Dewan Bahasa dan Pustaka. Contoh akronim yang terhasil daripada gabungan suku kata pula ialah MARA kerana perkataan ini terbentuk daripada perkataan Majlis Amanah Rakyat. Dalam sistem tulisan Jawi, terdapat kaedah tertentu untuk mengeja akronim. Bagi akronim yang terbentuk daripada gabungan perkataan bahasa Melayu yang dilafazkan huruf demi huruf seperti DBP, perkataan ini hendaklah ditulis dengan menggunakan huruf dalam abjad Jawi dan dibubuh tanda titik selepas setiap huruf tersebut. Oleh itu, DBP dieja dal-ba-pa dan bukannya dal-ya-ba-ya-pa-ya. Dengan ini terjawablah persoalan tentang kaedah mengeja akronim bagi perkataan “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” yang dibangkitkan pada permulaan tulisan ini. Kaedah pengejaan ini terpakai pada nama jabatan, organisasi, pertubuhan, syarikat dan seumpamanya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Penerbitan dan Penterjemahan

Oleh Datuk Dr. Awang Sariyan

      Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai perintis dalam dunia penerbitan buku di Malaysia bertolak daripada penggubalan Akta DBP 1959 (Pindaan 1978) yang memperuntukkan mandata kepada DBP untuk “mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk persuratan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasabahasa lain”. Buku terjemahan yang pertama, Anak Raja dengan Anak Papa (1958, terjemahan Za’ba), selain penerbitan majalah sulung, Dewan Bahasa (1957), yang diterbitkan ketika DBP masih beroperasi di Jalan Young, Kuala Lumpur, menjadi asas yang signifikan untuk DBP melunaskan amanah yang dipertanggungjawabkan, sekali gus menyediakan rintisan untuk mencorakkan dunia penerbitan di Malaysia bagi membangunkan tamadun bangsa.

     Kerajaan Malaysia amat menyokong perkembangan industri buku dan undangundang yang berkaitan dengan penerbitan bahan bercetak yang sedia ada di negara ini. Dasar kerajaan Malaysia, khususnya yang berkaitan dengan prinsip dan pendekatan Samudera Biru yang menggalakkan perkembangan kreativiti dan inovasi dalam kalangan masyarakat, secara tidak langsung dapat memantapkan industri penerbitan buku di Malaysia.

       Malaysia sentiasa berusaha menobatkan industri penerbitan buku dengan kesedaran bahawa industri buku perlu diberikan perhatian yang utama memandangkan peranannya sebagai asas perkembangan dalam bidang literasi dan pendidikan, yakni bidang yang mampu mengangkat pemerkasaan dan pengupayaan ilmu pengetahuan sesebuah masyarakat. Pada masa yang sama, industri buku amat signifikan kepada kemajuan dan pertumbuhan negara, seiring dengan dasar kerajaan Malaysia untuk mentransformasikan Malaysia secara komprehensif menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November