Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2015 September.

Kita Dan Bahasa (Bahagian Pertama)

Darihal Bahasa

OLEH: MOHD TARMIZI HASRAH

 Manusia merupakan “haiwan yang berkata-kata”. Dengan berkata-kata, manusia unik, lantas menjarakkan mereka daripada mahkluk lain. Benar, makhluk lain juga boleh “berkata-kata”, namun haiwan berkata-kata dalam bahasanya sendiri. Bagaimanakah rupa bahasanya, tiadalah kita pasti.

        Memang ada percubaan bagi merungkai bahasa lebah, ikan lumba-lumba, atau cimpanzi. Akan tetapi, walau segagah mana pun keringat dicurahkan, ternyata usaha tersebut tetap menemui jalan buntu. Hal ini demikian kerana walaupun dikatakan bahawa haiwan tersebut “berbahasa”, namun, realiti psikologi dan wahana keupayaan berbahasanya masih belum diketahui secara tuntas. Sehingga kini, kita tidak mengetahui apakah yang muncul dalam otak lebah ketika “berbahasa”. Kita juga tidak tahu sama ada bahasa lebah merupakan bahasa berlambang sebagaimana bahasa manusia.

        Keunikan manusia berkata-kata telah banyak dikemukakan oleh ahli falsafah dan ahli bahasa. Jadi, pemaparan satu bukti sahaja pun sudah mencukupi. Barangkali bukti ini agak terkenal, terutamanya dalam tradisi Cartesian, iaitu, kata-kata manusia dijana melalui “keterhinggaan” perkataan yang berupaya menjana ayat yang tidak terhingga.

Tiga Zaman, Satu Prinsip

Pustaka Bahasa, Ulasan Buku

OLEH: MOHD RAZAN

Buku Sastera, Politik dan Masyarakat menghimpunkan esei nukilan Abdul Rahman Embong sekitar tahun 1960-an, 1990-an, dan 2000 yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui penerbitan majalahnya, iaitu Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, dan Dewan Sastera. Bertepatan dengan judulnya yang bersifat umum esei-esei yang termuat dalam buku ini memiliki tema yang pelbagai dan hampir setiap kali, tema-tema yang disentuh itu tidak terlepas daripada berkaitan antara satu dengan yang lainnya. Antara tema utama yang dapat dikesan termasuklah persoalan sosiobudaya, politik, sosioekonomi, falsafah, dan kesusasteraan. Sungguhpun tema-tema ini tidak diikat dalam sebuah perbahasan panjang yang lebih komprehensif, namun, pancaran idea yang dapat ditemukan dalam kesemua esei tersebut membentuk suatu keharmonian sepanjang pembacaan.

            Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian pertama lebih tertumpu kepada persoalan yang bersifat tempatan, iaitu sekitar dinamika kesusasteraan, suasana dan masalah masyarakat sekitar tahun tersebut, dan cita-cita pembentukan bangsa. Kebanyakan esei dalam bahagian ini ditulis ketika penulis bergelar mahasiswa sekitar pertengahan 1960-an. Sesuai dengan umurnya pada ketika itu, gaya penulisan diterjemahkan dalam esei-esei era 1960-an ini bersifat lebih lantang dan bersemangat. Misalnya dalam esei “Hubungan Gejala Masyarakat dengan Ciptaan dan Perkembangan Sastera” yang pernah diterbitkan pada April 1967, penulis sedikit sebanyak membahaskan dinamika kesusasteraan dan sifatnya melalui sudut pandang dialektik. Dalam hal ini, seseorang pengkarya dilihat sebagai individu yang turut serta dalam pergolakan masyarakat serta memahami keadaan masyarakat di sekelilingnya. Penulis menganggap karya sebagai “pencerminan masyarakat zamannya; satu kelahiran masalah-masalah manusia, penderitaan, persoalan peribadi yang rumit, harapan dan cita-cita.” Ringkasnya, melalui kaca mata penulis, seorang pengkarya mempunyai tanggungjawab untuk mengungkapkan permasalahan masyarakat melalui karya-karya yang disandarkan kepada keghairahan terhadap kesenian itu sendiri.

Apabila Dua Huruf Alif Bertemu

Khas

OLEH: MUNSYI JAWI

Secara amnya, kata-kata bebas yang membentuk rangkai kata umum, termasuk rangkai kata khusus dan kata majmuk, ditulis terpisah. Hal ini dapat dilihat pada contoh perkataan seperti “terima kasih” dan “tengah hari”. Begitu juga halnya dengan perkataan seperti “ibu bapa” dan “miskin kaya” yang dikategorikan sebagai rangkai kata setara. Kedua-dua perkataan ini ditulis terpisah sebagaimana perkataan yang membentuk simpulan bahasa. Antara contoh kata-kata yang membentuk simpulan bahasa ini termasuklah “makan angin” dan “pilih kasih”. Bagaimanakah pula halnya dengan kata-kata yang dieja serangkai sebagai bentuk yang telah mantap seperti “antarabangsa” dan “setiausaha”? Inilah antara persoalan yang bakal dibincangkan dalam keluaran ini dengan tumpuan kepada kes yang melibatkan pertemuan dua huruf alif.

Pembentukan kata menerusi proses pemajmukan pada dasarnya tidak mengubah ejaan perkataan asal yang membentuknya. Contohnya, perkataan “tengah hari” dieja ta-nga-ha ha-alif-ra-ya dan perkataan “ibu bapa” dieja alif-ya-ba-wau ba-alif-pa. Demikianlah juga dengan perkataan “antarabangsa” yang dieja alif-nun-ta-alif-ra-alif-ba-nga-sin-alif biarpun perkataan ini dieja serangkai.

Kualiti Terjemahan Berdasarkan Aspek Linguistik Dalam Filem

Penterjemahan

OLEH: CORETTA HERLIANA ANAK KURA

Perkembangan penterjemahan sari kata di Malaysia sama ada dalam kaca televisyen atau di pawagam dilihat semakin memberangsangkan. Terdapat penonton yang berpendapat mereka lebih suka menonton program asing yang mempunyai sari kata berbanding program yang dialih bahasa kerana mereka berpeluang secara tidak langsung mengenali bahasa asing tersebut dan mempelajari frasa ringkas dalam bahasa tersebut.

         Menurut Diaz Cintas (2008), penterjemahan audio visual memerlukan kemahiran yang seimbang daripada seseorang penterjemah dalam aspek teori dan aplikasi kerana tingkat kefahaman penonton menjadi kayu ukur untuk memastikan terjemahan tersebut berjaya mencapai matlamat. Masalah utama berkaitan penilaian kualiti terjemahan adalah disebabkan ketiadaan garis panduan yang khusus bagi menentukan kualiti terjemahan. Terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh penterjemah semasa menterjemah sari kata daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran dari segi aspek linguistik.

        Karl Buhler (1990) mentakrifkan penterjemahan audio visual sebagai bahasa yang digunakan secara serentak untuk melambangkan sesuatu perkara secara objektif. Keperluan penterjemah perlu mematuhi standard tatabahasa, gaya bahasa, serta norma leksikal dan semantik dalam bahasa sasaran menjadi salah satu syarat utama untuk digandingkan secara koheren dalam penilaian kualiti terjemahan dari segi aspek linguistik.

Bahasa Sanskrit Dalam Dunia Melayu

Iktibar Bahasa

OLEH: AWANG AZMAN AWANG PAWI

Sumber Cina pada tahun 132 Masihi memberikan perspektif yang meluas tentang pengaruh bahasa Sanskrit dalam alam Melayu. Menurut sumber tersebut, seorang raja bernama Yetiao telah mengirimkan duta kepada maharaja Cina dan menyerahkan ufti. Sumber tersebut menyatakan Yetiao ialah nama bagi Jawadvipa dan nama rajanya pula ialah Dewawarman atau dalam teks Cina ditulis sebagai Tiao-pien.

         Dalam bahasa Sanskrit Jawadwipa bermakna Pulau Padi dan ini pernah disebut dalam epik Hindu Ramayana. Menurut epik tersebut, Jawadvipa menaungi tujuh kerajaan, Pulau Emas dan Perak yang merupakan salah satu tempat yang jauh dan kaya dengan emas. Di pulau Jawa itu terdapat gunung Cicira yang pernah dikunjungi dewa dan raksasa. Ahli geografi Yunani bernama Ptolemeus mengenali Pulau Jawa sebagai Labadiu yang bermaksud Pulau Padi berdasarkan versi Prakrit (Vlekke, 1961). Ptolemues dari Alexandria ialah orang Barat pertama mencatatkan keadaan kepulauan dunia Melayu.

         Prasasti tertua di Indonesia ditemui pada awal abad kelima, di Muara Kaman yang tidak jauh dari Sungai Mahakam, Kalimantan Timur. Prasasti itu merupakan suatu peninggalan kerajaan lama yang menggunakan bahasa Sanskrit. Prasasti ini ditulis atas arahan Raja Mulawarman yang menyebut nama bapanya sebagai Asvavarman dan datuknya bernama Kundungga (Vlekke, 1961). Berdasarkan nama yang dicatatkan pada prasasti itu, didapati bahawa nama berkenaan merupakan gabungan nama daripada bahasa Sankrit dan Indonesia. Kudungga bukanlah nama daripada bahasa Sanskrit manakala Mulawarman mewakili nama daripada bahasa Sanskrit. Di sinilah dapat dilihat unsur-unsur asimilasi mula berlaku dalam sejarah sejak sekitar 400 Masihi dan dinasti itu berasal dari Indonesia.

Menanti Kedatangan Bulan Bahasa Kebangsaan

Agenda Bahasa, Fokus

OLEH: HASAN BASERI BUDIMAN

Bermula dengan nama Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sekitar dekad 60-an, gerakan memartabatkan bahasa Melayu terus dipertingkatkan dengan pelbagai kempen, antaranya termasuklah Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Akhirnya gerakan ini diubah namanya kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1999 oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

            Sepuluh tahun kemudian, pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat barunya, BBSN telah ditukar namanya menjadi Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Tujuannya tidak lain hanya:

• untuk terus memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia;

• menguatkan rasa megah rakyat Malaysia terhadap bahasa kebangsaan;

• mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan;

• menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

           Apapun, dalam sepanjang tempoh usaha memartabat serta menjaga mutu bahasa kebangsaan ini telah dilakukan, keseluruhan rakyat Malaysia nampaknya hanya menyerahkan tugas dan tanggungjawab itu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata. Pada hal tugas berkenaan merupakan tugas bersama, yang sepatutnya tanggungjawab itu dipikul bersama oleh setiap orang warga yang mengaku dirinya rakyat negara ini.

Mendepani Cabaran Pemartabatan Bahasa Melayu di Sarawak

Agenda Bahasa, Fokus

OLEH: DR. HAZAMI JAHARI

Sejarah dan latar belakang negeri Sarawak agak berbeza daripada Semenanjung Malaysia. Negeri yang terbesar di Malaysia ini pernah tercatat dalam sejarah sebagai sebahagian daripada wilayah Kesultanan Brunei sekitar abad ke-14 sehingga tahun 1900. Kedatangan James Brooke ke Sarawak pada tahun 1840 dengan tujuan membantu mengamankan Sarawak daripada ancaman pemberontak atau lanun mengakibatkan penyerahan satu persatu daerah naungan Kesultanan Brunei kepada pengembara Inggeris ini. Apabila Limbang diserahkan kepada pentadbiran dinasti Brooke menjelang tahun 1905, kesemua wilayah di Sarawak menjadi negeri pentadbiran keluarga James Brooke.

         Apabila meletus Perang Dunia Kedua, Jepun mula menakluki Sarawak pada tahun 1942 hingga 1945. Kekalahan Jepun kepada kuasa Berikat memberikan kesan kepada suasana politik Sarawak. Pentadbiran Sarawak diambil alih seketika oleh tentera British. Anthony Brooke kembali sebagai rajah Sarawak dalam keadaan tidak bersedia sepenuhnya untuk mentadbir semula negeri yang luas dan terjejas kesan daripada pendudukan Jepun. Akhirnya, pada tahun 1948, Sarawak diserahkan kepada Kerajaan British sebagai tanah jajahan. Penyerahan Sarawak kepada British menimbulkan gerakan antipenyerahan, terutamanya di Kuching dan Sibu. Kesan daripada itu, gabenor British pertama, iaitu Sir Duncan Stewart telah dibunuh oleh Rosly Dhoby semasa melawat Sibu pada tahun 1949.

         Walau bagaimanapun, peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart itu tidak menjejaskan pengambilalihan Sarawak oleh British. Sarawak kekal di bawah penjajahan British sehingga 22 Julai 1963 apabila Sarawak mencapai status berkerajaan sendiri. Namun begitu, pemimpin Sarawak masih lagi tertakluk kepada arahan dan kuasa penjajah. Hanya pada pagi 16 September 1963, Datuk Abang Openg Sapie (Allayarham Tun) diisytiharkan sebagai gabenor Sarawak yang pertama oleh gabenor British Sir Alexander Waddel serentak dengan tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia. Detik itu, barulah Sarawak secara mutlak bebas daripada penjajahan.

         Pembentukan Malaysia memberikan peluang kepada Sarawak mentadbir negeri secara bebas sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Secara langsung, semua perkara berkaitan dengan pentadbiran dan pembangunan diatur dan diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri. Sementara gabenor (kemudian Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri) merupakan ketua negeri bagi negeri Sarawak

         Oleh hal yang demikian, dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ini, sebahagian daripada undang-undang, peraturan dan tatacara kerja masih lagi menggunakan dan meneruskan apa yang terpakai semasa pemerintahan keluarga Brooke dan British. Beberapa undang-undang atau ordinan seperti hal yang berkaitan dengan tanah, perniagaan, buruh, kastam dan imigresen, sebahagiannya merupakan lanjutan daripada undang-undang dan peraturan yang terpakai sebelum kemerdekaan Sarawak. Dengan kata lain, sebahagian daripada undang-undang, ordinan dan peraturan dalam pentadbiran kerajaan negeri Sarawak masih lagi menggunakan undang-undang dan ordinan British.