Permata Bahasa Dalam Jenama

OLEH: Prof. Madya Dr. Ghazali Bin Daimin

DB: Jati diri dan martabat sebuah negara bergantung kepada bahasanya, tidak terkecuali Malaysia. Realitinya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara nampaknya dipandang remeh oleh sesetengah pihak. Tambahan pula penggunaan bahasa Melayu kini semakin menguncup dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai seorang ahli akademik yang pernah menerbitkan pelbagai tulisan dan buku ilmiah dalam bahasa Melayu, bagaimanakah tanggapan Dr. terhadap perkara ini?

Permasalahan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukanlah is u baru, malah perkara tersebut sudah lama berlaku. Suasana ini berlaku sama ada melalui pertuturan atau penulisan. Bahasa jiwa bangsa bermaksud sesuatu bahasa itu menjadi milik mutlak sesuatu bangsa selain menjadi identiti kebangsaan mereka. Mereka menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi dan berperanan sebagai alat perpaduan. Dalam isu penggunaan bahasa Melayu yang semakin menguncup dalam kalangan rakyat Malaysia, secara peribadi saya merasakan fenomena tersebut sememangnya kian serius. Contohnya, bagi golongan remaja, kewujudan peralatan komunikasi “gadget” (alatan) yang sememangnya menggunakan bahasa Inggeris telah mempengaruhi golongan tersebut sama ada daripada segi pertuturan atau penulisan.

Secara khususnya, kesalahan ini dapat dikategori kepada tiga, iaitu kesalahan ejaan, kesalahan tatabahasa dan mengutamakan bahasa asing serta mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing. Contohnya, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) banyak menyumbang kepada kesalahan ejaan, perkataan singkatan dan penggunaan simbol semasa perbualan dalam kalangan masyarakat. Perkataan kenapa diringkaskan menjadi “nape”, macam mana diringkaskan menjadi “camne” serta perkataan tidak sekadar ditulis “X”. Selain itu, perkataan campuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti terima kasih cuma ditulis “TQ”. Kesemua perkataan yang dinyatakan tersebut telah menjadi gaya baru dalam perbualan, khususnya dalam kalangan golongan remaja. Selain itu, di pusat pengajian tinggi awam atau swasta, terdapat juga kurikulum akademik yang mewajibkan pensyarah dan pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris. Fenomena tersebut menjadi lebih parah apabila terdapat pelajar, malah pensyarah yang kurang mahir berbahasa Inggeris, maka mereka akan mencampuradukkan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu di dalam kelas.

 

 DB: Dr. telah lama terlibat dalam dunia akademik dan turut sama menyumbang baik secara teori mahupun praktikal mengenai penjenamaan. Boleh Dr. terangkan secara ringkas sejarah penjenamaan negara kita?

Sejarah penjenamaan di sesebuah negara sebenarnya amat berkait rapat dengan industri periklanan. Industri periklanan bermula apabila wujudnya revolusi perindustrian yang menghasilkan banyak barangan oleh pengusaha untuk dipasarkan. Sememangnya di negara-negara baratlah bermulanya jenama, penjenamaan atau penjenamaan semula kerana mereka memerlukan nama, identiti produk atau barangan mereka dikenali dalam pasaran. Sebagai contoh, pada era 60-an, “Nike” muncul sebagai satu jenama kasut sukan larian dan jenama tersebut telah berjaya mendapat tempat di serata dunia sehingga ke hari ini. Namun begitu, di Malaysia, sejarah penjenamaan sebenarnya masih baru jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah.

Tuhan, Izinkan Aku Menjadi Penulis

OLEH: JENIRI AMIR

Anda mahu menjadi penulis? Berangan-angan mahu menjadi pengarang? Berdoalah kepada Tuhan: Tuhan, izinkan aku menjadi penulis. Menulis bukan hanya memerlukan bakat, tetapi juga kemahiran dan ilmu pengetahuan. Bakat dan pengalaman sahaja tidak mencukupi. Dalam dunia penulisan yang semakin sengit persaingannya, dan ketika khalayak semakin banyak pilihan dan kritis terhadap karya yang dibaca, kemahiran dan ilmu pengetahuan penting untuk disemai dan diamalkan. Kedua-duanya perlu dituntut, termasuk dengan mengikuti bengkel, berbincang dengan pakar, dan menelaah buku berkaitan. Perjalanan menjadi penulis bukannya seperti acara larian 100 meter, tetapi suatu maraton panjang, berliku-liku, dan sarat dengan cabaran dan dugaan. Hanya yang nekad, beriltizam dan memiliki kesungguhan mempunyai harapan untuk sampai di penghujung. Sesiapa yang tidak mempunyai komitmen dan mudah patah semangat akan kecundang di pertengahan jalan. Hal inilah yang menyebabkan banyak yang berangan-angan untuk menjadi penulis, tetapi hanya sedikit yang dapat merealisasikan impian dan hasrat tersebut. Cabarannya besar dan tuntutannya luar biasa. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Menulis tentang penulisan merupakan suatu perkara yang khusus. Penulis percaya memang ada yang berbakat besar tanpa memerlukan pembacaan yang banyak dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi untuk menjadi penulis yang hebat, tetapi penulis juga yakin bahawa sebahagian besar memerlukan tunjuk ajar dan penguasaan kemahiran melalui pelbagai cara, termasuk dengan membaca buku tentang penulisan.

Menulis menuntut komitmen dan disiplin yang jitu. Terdapat penulis yang menulis dengan rutin yang tertentu. Issac Asimov, yang menulis pelbagai jenis buku, termasuk tentang Shakespeare, Bible dan fiksyen sains, bangun seawal pukul 6.00 pagi, dan sudah berdepan dengan mesin taipnya pada pukul 7.30 pagi. Beliau terus menulis hingga pukul 10 malam. Asimov sepanjang hayatnya menulis 500 buah buku. Demikian juga Anthony Trollope, novelis Inggeris abad ke-19, biasanya mula menghadapi mesin taipnya pada pukul 5.30 pagi, dan terus menulis selama dua jam setengah, dengan berjaya menulis sehingga 250 perkataan setiap 15 minit. Ada penulis yang tidak mempunyai rutin tertentu. Kegiatan menulis bergantung pada keselesaan dan kesesuaian masa. Penulis tidak dapat menulis dengan baik pada waktu dinihari dan terlalu awal pagi. Momentum dan kecerdasan saya hanya meningkat mulai jam 8.00 pagi, dan boleh berlarutan sehingga pukul 12.00 tengah malam. Yang penting, pilih waktu yang paling sesuai dan selesa mengikut kecenderungan anda. Kadar kecepatan seseorang menulis juga bergantung kepada kemahiran dan kekerapan menulis. Kadar kecepatan penulis ialah sekitar 1,000 perkataan sejam dan pernah mencatatkan rekod lebih daripada 85 halaman dalam sehari. Tanpa komitmen dan sasaran, impian hanya akan tinggal impian dan angan-angan.

Menterjemahkan Madah Si Penutur

OELH: ANIS SHAHIRAH ABDUL SUKUR

Setiap kali membeli akhbar, kita pasti akan dihidangkan dengan pelbagai rencah kehidupan masyarakat dalam bentuk laporan berita. Di samping menulis berita dalam format laporan kejadian berdasarkan sumber bertulis, wartawan juga mendapatkan bahan berita daripada sumber lisan seperti ucapan, wawancara, perbualan telefon dan temu bual.

Kepentingan sumber lisan dijelaskan oleh Cappon (2000) apabila sarjana berkenaan mengaitkan berita dengan “apa-apa yang diperkatakan manusia dan cara mereka menyatakannya”. Laporan berita mengandungi pelbagai ucapan individu, sama ada tokoh politik, artis, polis, saksi kejadian kemalangan, mangsa banjir, dan sebagainya.

Istilah petikan digunakan dalam penerbitan berita tempatan bagi merujuk “ucapan penutur yang disalin dan ditulis semula dalam laporan berita”. Dalam konteks bahasa Inggeris, istilah quote sering digunakan. Penggunaan petikan mengekalkan makna penutur, emosi, malah melambangkan identiti penutur. Contohnya, perkataan “transformasi” dan “reformasi” sinonim dengan dua pemimpin tertinggi dalam parti politik yang berbeza di Malaysia.

Pengalaman Bahasa Yunani Sebagai Bahasa Eropah Klasik

OLEH: AWANG AZMAN AWANG PAWI

Dalam konteks dunia alam Melayu, perkataan Yunani merujuk kepada negara Greece. Perkataan Yunani ini sebenarnya berasal daripada bahasa Aran, iaitu al-yunaan. Ia merupakan sebutan nama Arab bagi merujuk negara Greece. Perkataan al-yunaan ini pula berasal daripada perkataan lonia, yang merupakan salah sebuah wilayah dalam kumpulan bangsa Greece Purba. Bahasa Yunani sendiri berkaitan rapat dengan bahasa Macedonia klasik yang mempunyai unsur dialek Yunani. Malah ada juga pendapat yang menyatakan bahawa bahasa Yunani berkaitan rapat dengan bahasa Armenia atau menghampiri rumpun bahasa Indo-Irani dan hal ini masih lagi diperdebatkan. Kini bahasa ini masih dituturkan di Cyprus, negara bekas Yugoslavia, Russia, khususnya Macedonia, Bulgaria, Bulgaria, Albania dan Turki.

Bahasa Yunani ini merupakan salah satu cabang bahasa Indo-Eropah tertua yang bersifat bebas sejak 1400 SM yang terkandung dalam dokumen Yunani Mycenaea. Bahasa ini dikenali sebagai bahasa Greek dalam bahasa Inggeris. Ia menggunakan istilah Graeci, iaitu kata panggilan yang digunakan oleh orang Rom bagi merujuk kepada kesemua orang Yunani walaupun nama tersebut merujuk khusus kepada satu kaum di barat laut Yunani. Bahasa ini juga dikenali sebagai Hellenic yang digunakan dalam karya Iliad untuk merujuk kaum Thessalia. Terdapat hubungan sejarah Yunani dengan dengan empayar Rom Timur yang berpusat di Constantinople.

Bahasa Yunani awal dapat dilihat dalam penghasilan karya epic Homer dan hal ini penting dalam sejarah Eropah untuk memahami pemikiran, falsafah bahasa dan budaya Indo-Eropah Purba. Tradisi tatabahasa Yunani asli dihasilkan oleh penduduk Iskandariah pada zaman Helenistik. Dalam sejarah bahasa, bahasa Yunani ini penting bagi melihat perspektif perubahan dan dinamika antara bahasa yang awal di dunia ini. Berdasarkan perkembangan sejarah dan politik, perkembangan bahasa Yunani dapat dibahagikan kepada 5 peringkat, iaitu bahasa Yunani Mycenaea (sekitar 1500-1150), Yunani klasik (800-300 SM), Yunani Helenistik termasuk Yunani Kitab Baru (300 SM-200 M), Yunani Pertengahan yang terdiri daripada Yunani Byzantine (300-1100 M) dan Yunani Zaman Pertengahan (1100-1600 M) dan Yunani Moden (1600 hingga kini).

Bahasa dan Pandangan Dunia

Oleh: Zulkifli Salleh

“Setiap bahasa mengandungi unsur tanggapan dunia,” kata Antonio Gramsci, intelektual Itali yang memperkenalkan istilah hegemoni. Beliau menambah, “jika benar bahawa setiap bahasa mengandungi unsur tanggapan dunia dan budaya, benarlah bahawa daripada bahasa seseorang, kita dapat menilai tahap kompleksiti tanggapan individu berkenaan tentang dunia.” Dalam pada itu, Gramsci mengingatkan bahawa “meskipun tidak mudah untuk mempelajari beberapa bahasa asing bagi membolehkan seseorang itu menjalin hubungan dengan budaya lain, sekurang-kurangnya wujud keperluan untuk mempelajari bahasa kebangsaan dengan betul.” (The Antonio Gramsci Reader: Selected Writings 1916 – 1935, diedit oleh David Forgacs.).

Para penutur dwibahasa dikatakan memiliki banyak kelebihan, iaitu prospek pekerjaan yang lebih baik, rangsangan kognitif, bahkan melindungi mereka daripada demensia. Kajian terbaharu menunjukkan bahawa manusia melihat dunia dalam perspektif berbeza bergantung pada bahasa pertuturan mereka. Panos Athanasopoulos yang menulis dalam The Independent pada akhir April, menyatakan bahawa 15 tahun lalu menyaksikan sejumlah besar penyelidikan tentang minda penutur dwibahasa, dengan majoriti bukti menunjukkan kelebihan ketara bagi mereka yang menggunakan lebih daripada satu bahasa. Penggunaan bahasa secara silih berganti umpama latihan otak yang mendorongnya menjadi fleksibel.

Dalam makalah “How the Language You Speak Changes Your View of the World,” Athanasopoulos menegaskan bahawa sebagaimana senaman mendatangkan faedah biologi, keupayaan menguasai dua atau lebih bahasa mendatangkan faedah kognitif kepada otak. Keluwesan mental ini memberikan faedah besar, terutamanya pada penghujung kehidupan. Dalam kalangan penutur dwibahasa tanda tipikal penuaan dan gejala penyakit seperti demensia atau Alzheimer berlaku lewat .

Ibn Khaldun: Pencetus Dekonstruktif

OLEH: MOHAMAD ALINOR ABDUL KADIR

Minat untuk membicarakan tajuk ini terbit daripada penelaahan terhadap Derrida sekitar lebih 10 tahun lepas. Penelaahan tersebut amat mengujakan kerana Garver (penterjemah buku Derrida) menyatakan bahawa segala perbincangan yang dibawakan oleh Derrida sebenarnya telah dibahaskan oleh Ibn Khaldun, 600 tahun yang lalu. Menurut Ibn Khaldun, sesuatu bahasa yang dituturkan oleh sesebuah masyarakat ditakrifkan sebagai ‘kelakuan berkaedah” atau “malaka sina’iyya”. Ibn Khaldun juga menganggap bahawa tatabahasa dan mantik atau logik adalah penghalusan daripada retorik. Pandangan ini dirasakan tepat, sebab logik menganggap bahawa huruf atau perkataan membentuk nama atau ayat yang membawa makna seperti yang terakam, dan kebenarannya tidak boleh dipertikaikan. Hal inilah yang disanggah oleh Wittgenstein, pada awalnya terhadap pandangan logikisme Frege-Russell dalam falsafah matematik, dan kemudiannya terhadap masalah tatabahasa dan logik secara umum. Perbincangan tentang Wittgenstein akan disentuh kemudian. Garver tidak mengkaji bagaimanakah konsep “malaka sina’iyya” tersebut berkembang dalam tamadun Islam, apatah lagi tamadun Melayu. Apakah fahaman yang ditakrifkan oleh Ibn Khaldun ini diasaskan oleh Sekolah Basrah atau Sekolah Baghdad yang berdebat panjang tentang falsafah bahasa Arab? Debat antara Abu Sa’id al-Sirafi dengan Abi Bishr Matta (Margoliouth) menunjukkan betapa lemahnya logik Greek tatkala diusahakan untuk diterima pakai dalam tatabahasa Arab. Unsur-unsur seperti yang disebut Ibn Khaldun itu banyak kali muncul dalam debat ini.

Isu ini pernah disentuh dahulu, namun menyimpang, seperti yang dinyatakan oleh Mohammad Alinor (2006), iaitu tentang bagaimana seorang sarjana Yahudi bernama Jehuda ben David Hayyuq menyedari bahawa akar kata Arab boleh dimanfaatkan untuk memahami akar kata Ibrani atau Hebrew. Sebelum beliau, sarjana-sarjana Yahudi tidak mengetahui (atau sengaja tidak peduli disebabkan permusuhan) bahawa bahasa Arab dan bahasa Ibrani mengikuti prinsip trilateral atau tiga-huruf. Kajian beliau disambung kemudiannya oleh Wilhelm Gesenius yang amat disanjung sekitar 1870-an. Pada tahun 1910, Noldeke menerbitkan teori ini melalui makalahnya yang tersiar dalam Beitrage zur semitischen Sprachwissenscaft (ms 109-207) dan Brockelmann dalam Grundrib der Verleichenden Grammatik der Semitsichen Sprachen. Kedua-dua kajian ini disambung oleh Delitzsch, Bloomfield, Bottcher, August, Muller, Stade, Phillipi, Dietrich, Furst, Kautzsch, Lambert, Maier, dan yang lain sehinggalah ke Chomsky (mulai 1951). Sukar untuk memastikan, tanpa usul periksa, bahawa teori tatabahasa terbitan atau generatif Chomsky merupakan bentuk yang maju bagi teori akar perkataan Arab/Ibrani, walaupun sejarah mengaitkannya. Teori Chomsky ini telah berkembang biak, dipakai kini oleh semua bahasa dunia termasuk tatabahasa Arab Moden. Dikesan sebanyak 16 tesis sarjana dan doktor falsafah dalam bidang bahasa atau linguistik memanfaatkan teori Chomsky untuk disesuaikan dengan bahasa Arab (data 1949- 1963 di Eropah). Dalam alam Melayu, teori Chomsky ini juga turut mempengaruhi tatabahasa Melayu. Namun, sesuatu yang patut diambil teladan ialah Za’ba pernah berusaha memanfaatkan teori akar perkataan Arab dalam pembangunan tatabahasa Melayu. Garver cuma melihat perkembangan konsep Ibn Khaldun tersebut kemudiannya dalam tamadun Barat moden. Bagi Garver, aliran Ibn Khaldun ini bertentangan dengan aliran Leibniz-Boole-Frege-Russell yang mengusulkan konsep simbol atau bahasa sejagat.

JENAMA TEMPATAN: MENYUAR ARENA PASARAN GLOBAL

OLEH: SHAHIR AIMAN

Penjenamaan (branding) merupakan salah satu aspek penting dalam dunia perniagaan, sama ada yang berskala besar, sederhana atau kecil. Strategi jenama berkesan memberikan nilai tambah pada produk, perkhidmatan atau perniagaan dalam rangka pasaran yang semakin kompetitif. Dalam erti kata lain, jenama produk, perkhidmatan atau perniagaan ialah aku janji syarikat kepada pengguna. Jenama mampu memberikan gambaran awal kepada pengguna tentang produk atau perkhidmatan, di samping bertindak sebagai penanda aras mutu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan berbanding pesaing lain di pasaran. Tuntasnya, penjenamaan ialah identiti bagi sesuatu produk, perkhidmatan atau perniagaan yang mampu melahirkan persepsi dan pengalaman yang tersendiri dan berterusan dalam minda pengguna.

Terdapat pelbagai kaedah penjenamaan. Antaranya termasuklah menggunakan nama seperti “Toyota”, istilah seperti “Corolla”, simbol seperti yang digunakan oleh jenama “Nike”, tanda campuran warna seperti TV3, dan slogan seperti “Das Auto”. Hal ini bergantung pada kehendak dan keperluan syarikat pengeluar berdasarkan cita rasa dan penerimaan semasa pengguna. Secara tersirat, melalui proses penjenamaan ini, pengeluar menyatakan bahawa “Belilah barangan keluaran kami.”

Dari segi etimologi, istilah branding berasal daripada perkataan brandr dalam bahasa Norse lama yang mendukung maksud, “menyelar tanda atau simbol pemilik pada, sama ada lembu, hamba abdi, balak atau pinggan mangkuk dengan menggunakan besi panas”. Konsep ini ialah sebagai pernyataan kepunyaan atau hak milik seseorang, terutama sekali bagi barangan yang mempunyai nilai. Amalan seumpama ini dikesan mula dipraktikkan sejak tahun 2000 sebelum masehi. Namun, pada sekitar abad ke-18, berlaku transisi takrifan pernyataan daripada “Jangan sentuh hak milik saya” kepada “Belilah barangan keluaran kami”.