Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2015 June.

Kempen Bahasa

Dunia Bahasa

Oleh: Zulkifli Salleh

Semasa pilihan raya umum di United Kingdom pada Mei lalu, seperti lazim, parti-parti yang bertanding memperkenalkan manifesto masing-masing. Parti Konservatif yang berjaya membentuk kerajaan pada tahun 2010, di bawah pimpinan David Cameron, tertumpu pada kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, penjagaan kanak-kanak, cukai, pencen, imigresen, budaya, Kesatuan Eropah, dan keselamatan negara. Parti Buruh pimpinan Ed Miliband tertumpu pada ekonomi, kesihatan dan pendidikan, keluarga dan komuniti, pembaharuan kerajaan, dan kepentingan Britain di dunia. Parti Demokrat Liberal pimpinan Nick Clegg, yang menubuhkan kerajaan pakatan dengan Parti Konservatif sejak lima tahun lalu, tertumpu pada ekonomi, alam sekitar, pengangkutan, cukai, penjagaan kanak-kanak, faedah, pekerjaan, kebebasan maklumat, pendidikan, kesihatan, perumahan, hak sama, dan demokrasi. Tidak ketinggalan parti kecil, seperti Parti Bebas United Kingdom (UKIP) dan Parti Hijau

            Ketika kempen rancak dengan pelbagai isu dan janji, tidak ketinggalan tinjauan pendapat yang meramalkan parti yang akan menang, bahasa walaupun tidak dinyatakan secara khusus dalam manifesto, turut mendapat perhatian. Dalam usaha untuk menunjukkan bahawa ketegasan Parti Buruh terhadap imigresen menjelang pilihan raya, Ed Miliband dipetik sebagai berkata, “Semua kaum pendatang baharu ke Britain sepatutnya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.” Beliau juga berkata bahawa penting, terutamanya bagi doktor, jururawat, dan paramedik yang berkhidmat dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) mampu berkomunikasi secara betul dengan pesakit.

            “Kerajaan Buruh masa depan akan meluluskan undang-undang untuk memastikan semua pekerja kesihatan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan sebaik-baiknya untuk menjaga pesakit sebelum mereka mula bekerja,” tegas Miliband, “dan pengawal selia akan diberikan kuasa untuk menguatkuasakan peraturan itu.”

Kekuatan Bahasa Figuratif Dalam Memanifestasikan Amalan Hidup

Agenda Bahasa

Oleh:  Sara Beden

           Awg Kasmurie Awg Kitot

Figuratif dalam Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada penggunaan kata, frasa dan ayat yang lebih abstrak dan imaginatif daripada makna biasa dan bersifat kiasan atau lambang.Bahasa figuratif termasuklah penggunaan metafora, peribahasa, ironi, simile dan personifikasi serta ungkapan-ungkapan yang menyimpang daripada makna literal atau harfiah. Penggunaan bahasa figuratif atau bahasa kiasan dapat menimbulkan efek rasa dan jiwa apabila digunakan dalam persuratan, kewartawanan, konteks formal atau tidak formal. Zurinah Hassan dalam makalah yang bertajuk Bahasa Figuratif dalam Tulisan Kewartawanan,Dewan Sastera keluaran Oktober 2011 berpandangan bahawa bahasa figuratif sentiasa diperlukan untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan.

             Bahasa figuratif biasanya diasosiasikan dengan puisi tradisional dan moden, meluas penggunaannya dalam bidang persuratan. Walau bagaimanapun, didapati penggunaan bahasa ini juga dapat memanifestasikan amalan hidup yang menjadi kepercayaan sesebuah masyarakat.Masyarakat Melayu pada zaman tradisi amat memaknakan penggunaan bahasa figuratif apabila menasihat dan mengkritik kerana penggunaan bahasa ini lebih sopan dan lebih bersifat halus.Bahasa kiasan ini juga digunakan untuk mencerminkan amalan yang menjadi budaya sesebuah masyarakat kerana sifat relevannya yang dapat mencitrakan corak kehidupan masyarakat.Penggunaan bahasa kiasan yang dihasilkan oleh nenek moyang orang Melayu pada zaman dahulu sangat indah dan puitis kerana idea yang hendak diekspresikan itu disalurkan secara tidak berterus terang ekoran daripada sikap orang Melayu yang sangat mementingkan maruah orang lain dan kaedah berbicara yang halus. Bahasa ini amat signifikan dan selaras dengan arus zaman sebagai suatu mekanisme untuk mengungkapkan pemikiran dan idea sesuatu bangsa yang dapat mencitrakan amalan dalam kehidupan selain memperlihatkan keluhuran sistem nilainya.

            Masyarakat Melayu Sarawak juga sinonim dengan masyarakat Melayu di kawasan yang lain kerana turut menggunakan bahasa figuratif dalam menjalani kehidupan seharian sehingga menjadi dogma yang mengikat corak dan cara mereka berfikir tentang kehidupan. Fenomena inilah yang dikritik oleh Abang Yusuf Puteh, iaitu seorang tokoh nasionalis negeri Sarawak dalam karya beliau yang bertajuk The Malay Mind (1996).Berdasarkan pemerhatian dan pengamatan beliau yang tajam, sekitar tahun 1985-1995, didapati orang Melayu Sarawak khususnya yang menghuni kawasan persisiran daerah Kalaka, Saratok terlalu taksub dengan penggunaan bahasa figuratif ini sehingga mereka mengalah, pasrah dan menyerah nasib kepada takdir. Kehidupan mereka yang serba daif dan kekurangan dalam pelbagai aspek kehidupan menyebabkan corak pemikiran mereka menjadi jumud apabila bahasa figuratif yang sebati dengan jiwa mereka didogmakan dalam kehidupan.

Mentafsir Yang Tersirat

Agenda Bahasa

Oleh: Mohd. Dzulkifli Fathi

Promosi merupakan salah satu elemen utama dalam pemasaran yang bertindak sebagai komunikasi dua hala antara pengeluar dan pengguna. Bagi sesebuah syarikat, Pengurus Pemasaran berperanan penting dalam membuat keputusan berhubung strategi komunikasi pemasaran yang berkesan. Hal ini melibatkan proses mengenal pasti pengguna, cara perhubungan dan bentuk mesej berkesan yang harus disampaikan untuk menarik pengguna. Dalam konteks ini penerapan kaedah berkesan yang melibatkan pensegmenan, sasaran, penarafan dan penyampaian, mampu memastikan keberkesanan promosi yang dilakukan.

            Pensegmenan melibatkan pembahagian khalayak sasar kepada kumpulan dengan mengambil kira aspek-aspek seperti tabiat, harapan, keutamaan, pendapatan, kuasa belanja dan sebagainya. Hal ini penting bagi memastikan kebolehpasaran sesuatu produk. Sasaran pula melibatkan proses memastikan kumpulan mana yang harus dihubungi dan kaedah perhubungan yang sesuai dipraktikkan. Hal ini berkait rapat dengan kesesuaian kaedah promosi yang akan diterapkan. Penarafan pula bertujuan untuk menyemai persepsi yang positif terhadap produk yang dipasarkan manakala penyampaian pula berupa penyampaian mesej yang berkesan bagi mempengaruhi khalayak sasar.

            Kejayaan memasarkan produk yang dihasilkan banyak bergantung kepada strategi pemasaran yang berkesan. Kaedah yang paling berkesan untuk memujuk dan mempengaruhi pengguna adalah melalui pengiklanan. Strategi pengiklanan merupakan kempen untuk menyampaikan maklumat tentang produk dan perkhidmatan kepada bakal pelanggan dengan harapan pelanggan akan tertarik untuk membeli produk atau melanggan perkhidmatan yang disediakan. Strategi ini, sekiranya dilaksanakan secara rational dan bijak, akan mengambil kira pertimbangan perniagaan lain termasuk perbelanjaan dan pengiktirafan jenama, serta objektif (peningkatan imej syarikat dan pertumbuhan pasaran saham). Alexander Hiam dan Charles D. Shewe, penulis buku Portable MBA in Marketing menyatakan bahawa strategi pengiklanan sesuatu perniagaan menentukan imej syarikat pada mata pengguna. Masa kini, kebanyakan strategi pengiklanan memberi tumpuan untuk mencapai tiga matlamat iaitu membangkitkan kesedaran dalam khalayak pengguna tentang bentuk jenis perniagaaan dan produk yang dihasilkan, merangsang jualan dan menarik pelanggan syarikat pesaing, dan mewujudkan atau mengubah imej perniagaan. Dengan kata lain, pengiklanan bertujuan untuk memberitahu, memujuk dan mengingatkan pengguna tentang sesuatu produk atau perkhidmatan.