Penjenamaan Karya Tempatan

Oleh: Wan Halizawati Wan Mahmood

Terjemahan merupakan suatu aktiviti memindahkan atau menyalin teks daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain. Dalam konteks yang lebih luas, kegiatan terjemahan dalam sesebuah negara berfungsi sebagai jambatan atau penghubung antara penulis asal dengan kelompok pembacanya. Usaha memacu dan mempergiat terjemahan karya bertulis berunsur falsafah dan budaya, serta filem dan animasi tempatan ke dalam bahasa asing bukanlah sekadar retorik untuk memperkenalkan negara Malaysia ke pentas dunia semata-mata.

              Sesebuah negara akan dikenali jika budaya tempatannya dapat menarik minat dan perhatian negara luar. Sebagai contoh, nasi lemak telah dipilih sebagai ikon makanan dalam usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia memperkenalkan Malaysia di pasaran Jepun. Kempen ‘Sudah Makan?’ (Have you eaten?) yang dilancarkan pada bulan September 2014 di Tokyo bertujuan mengangkat jenama dan identitI Malaysia pada peringkat antarabangsa. Selain itu, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Air Asia juga turut melakukan hal yang sama dengan memperkenalkan nasi lemak Pak Nasser, roti canai, kari ayam, sate ayam dan teh tarik dalam setiap penerbangan mereka kepada para penumpang.

              Justeru, hasil karya terjemahan juga tidak mustahil dapat mengangkat budaya tempatan. Usaha penterjemahan bukan saja membolehkan karya berkualiti sampai kepada lebih ramai pembaca, bahkan dapat membantu para pengkarya berkongsi idea dan pemikiran dengan khalayak yang lebih luas termasuk di luar negara. Lihat sahaja penulis novel Korea Selatan, Kyung-sook Shin melalui karyanya Please Look After Mom yang berjaya diterjemahkan dan dipasarkan ke 19 buah negara selepas mencatat jualan sebanyak 1.93 juta naskhah dalam negaranya sendiri. Sebuah lagi karya beliau iaitu A Lone Room juga telah diterjemahkan ke bahasa Perancis.

Terbina Bangsa Dalam Bahasa

Oleh: Zulkifli Salleh

Buku terbaru Francis Fukuyama, Political Order and Political Decay: From the Industrial Revolution to the Globalisation of Democracy, mengandungi satu bab yang diberi tajuk “Lingua Francas”. Dengan tajuknya yang kelihatan ringkas, pastinya terdapat segelintir pembaca tertanya-tanya apakah yang ingin diperkatakan dan dibahaskan oleh Fukuyama dalam konteks orde dan kemerosotan politik. Dalam bab tersebut, beliau bermula dengan premis bahawa bagaimana jati diri nasional penting serta boleh juga menjadi suatu masalah dalam negara membangun. Persoalan bagaimana Indonesia dan Tanzania berjaya dalam mewujudkan jati diri nasional, manakala Nigeria dan Kenya gagal serta sama ada jati diri nasional lebih baik diwujudkan dalam keadaan demokrasi ataupun autoritarian menjadi intisari perbincangan dalam bab tersebut.

               Setelah membincangkan kegagalan Nigeria membentuk jati diri nasional dan terjebak dalam perang saudara, Fukuyama beralih ke Indonesia, yang menurut pandangan beliau, “Indonesia dan Nigeria mempunyai banyak persamaan pada awalnya, tetapi berkembang maju secara sangat berbeza pada tahun-tahun berikutnya. Menjelang abad ke-20, negara Indonesia tidak wujud.” Daripada wilayah yang mengandungi beribu-ribu buah pulau, pelbagai kesultanan, pusat perdagangan, dan kumpulan etnik yang bertutur dalam beratus-ratus bahasa yang berbeza, segala-galanya berubah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 apabila Belanda memperluas kawalan politik dan rangkaian perdagangan melampaui Batavia (Jakarta).

               Pada dekad ketiga abad ke- 20, wujud banyak konsep jati diri koloni yang dapat ditakrifkan, iaitu Islam, revolusi kelas (komunis), dan jati diri wilayah dan tempatan, khususnya di kepulauan besar Jawa dan Sumatera. Walau bagaimanapun, Kongres Belia Indonesia kedua pada Oktober 1928 menerima lagu kebangsaan, “Indonesia Raya” dan mengisytiharkan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan.

Dasar Bahasa Kebangsaan Tuntutan Iltizam Kepada Penjawat Awam

Oleh: Datuk Dr. Awang Sariyan

Negara Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (pada waktu itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu) melalui proses pembinaan negara (nation building) dengan berasaskan dasar-dasar kenegaraan yang tertentu. Dasar-dasar itu meliputi seluruh aspek kehidupan bernegara, iaitu politik dan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, undang-undang, dasar luar dan tidak terkecuali bahasa.

               Sebagai contoh, dari segi politik dan pentadbiran, dasar yang dijadikan landasan ialah sistem demokrasi berparlimen dengan paduan sistem raja berperlembagaan dan semangat serta amalan perkongsian kuasa antara pelbagai keturunan yang menjadi rakyat negara ini. Dari segi ekonomi, Dasar Ekonomi Baharu yang diasaskan pada tahun 1970 (walaupun kemudian bertukar nama dan pengubahsuaian strategi seperti Dasar Pembangunan Nasional dan sejak 2011 Model Ekonomi Baharu) menjadi cerminan dasar ekonomi negara dengan berlandaskan perkongsian nikmat ekonomi yang adil antara pelbagai keturunan dan lapisan rakyat.

              Bahasa sebagai jiwa bangsa (dan negara) turut menjadi salah satu dasar negara, melalui ketetapan Dasar Bahasa Kebangsaan dan disokong juga oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan mempunyai kaitan yang rapat dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dari segi ketetapan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula yang teras pertamanya ialah “kebudayaan asal rantau ini” (yang merujuk kepada kebudayaan Melayu) ialah dasar yang menitikberatkan jati diri dan citra kebangsaan yang salah satunya berkaitan dengan peranan bahasa Melayu untuk menzahirkan jati diri dan citra kebangsaan.

Mendaulat Warisan Ketuanan Melayu

Oleh: Shahir Aiman

Isu bahasa merupakan satu isu yang rapat pertaliannya dengan orang Melayu. Dalam membicarakan nasib orang Melayu, komponen ini sering tidak diberikan penekanan. Soal bahasa dianggap soal yang remeh dan tidak perlu digembar-gemburkan. Hal yang gagal diterjemahkan oleh golongan tertentu yang menidakkan peranan bahasa Melayu ialah bahasa Melayu merupakan jiwa orang Melayu. Nasib bahasa Melayu terumbang-ambing dan sedikit demi sedikit tidak lagi mendapat tempat sewajarnya dalam agenda tadbir negara sedangkan dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas digariskan bahawa: Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang ditentukan dengan undang-undang oleh Parlimen.

             Bagaimanapun, komponen yang menjadi jiwa bangsa tidak lagi dilihat sebagai relevan dalam era dunia tanpa sempadan. Bahasa Melayu didakwa tidak mampu berfungsi sebagai bahasa ilmu sedangkan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu merupakan lingua franca rantau ini dan dituturkan oleh pedagang-pedagang luar. Lebih menjengkelkan, golongan yang mempersoalkan kewibawaan bahasa Melayu serta merendahkan martabat bahasa Melayu terdiri daripada golongan elit Melayu.

             Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dipertanggungjawabkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi melalui Akta DBP (semakan 1978, pindaan dan peluasan 1995), didakwa tidak lagi relevan. Pun ada juga yang mendakwa bahawa DBP mengalami kemandulan minda. Lantaran perjuangan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual dan bahasa perpaduan dalam mendukung rangkaian Dasar Nasional dalam pembinaan bangsa yang menjadi misi DBP tidak mungkin akan dapat dicapai sekiranya golongan yang mempersoalkan kewibawaan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri. Memang tidak dapat dinafikan bahawa dalam menongkah arus kemajuan yang melanda, penguasaan bahasa Inggeris amat perlu. Akan tetapi, jangan sampai bahasa ibunda kita sendiri digadai. Bahasa Inggeris dikuasai, martabat bahasa Melayu dipertahankan. Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan bukanlah hambatan yang boleh melumpuhkan jentera pentadbiran serta ekonomi negara. Penggunaan bahasa Inggeris pun bukanlah jaminan bahawa sistem pentadbiran negara akan berjalan dengan lancar serta pertumbuhan ekonomi dalam negara akan meningkat berlipat kali ganda. Perlu dimaklumi bahawa wujud negara-negara maju di dunia ini yang mempertahankan bahasa ibunda mereka dalam sistem pentadbiran negara. Andaian bahawa faktor bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi utama dunia dijadikan alasan bahawa kita perlu menguasainya, apa akan terjadi andai kata dalam masa terdekat, bahasa Korea pula menjadi bahasa pertuturan dunia? Perlukah kita mencanangkan ke seluruh pelosok tanah air agar kita perlu menguasai bahasa Korea agar dapat bersaing pada peringkat antarabangsa? Hal sebegini bukanlah satu kemustahilan.

Penjawat Awam “Tiang Seri” Pemartabatan Bahasa Melayu

Oleh: VIJAYALETCHUMY A/P SUBRAMANIAM

            AZIZUL HAJI ISMAIL

Bahasa Melayu merupakan teras kepada pembentukan sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat selepas negara Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Hal ini amat penting disebabkan pemartabatan bahasa Melayu dalam negara pada zaman pasca kemerdekaan merupakan antara simbol pembebasan negara daripada kepompong imperialisme negara-negara lain yang telah menjajah negara ini. Tambahan pula pemartabatan bahasa kebangsaan juga menjadi salah satu tanda aras kejayaan bagi negara Malaysia bagi mencapai status negara maju pada tahun 2020. Hal ini ada kaitan dengan matlamat utama Wawasan 2020 yang mahu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan progresif mengikut acuan dan jati diri sendiri. Sebahagian dengan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada tahun 1956 telah memainkan peranan penting untuk memastikan kelestarian bahasa Melayu dalam negara. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam dunia persuratan Melayu dan pemerkasaan bahasa Melayu bagi memastikan bahasa tersebut kekal relevan dan selaras dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu, dan bahasa rasmi negara. Namun, tugas mulia ini tidak wajar diserahkan bulat-bulat kepada Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja untuk menongkah ombak dan badai dalam pemartabatan bahasa Melayu dalam Negara.

             Dalam konteks ini, peranan dan tanggung jawab lebih kurang 1.6 juta penjawat awam dituntut untuk bersama-sama menjadi ejen ataupun penggerak utama dalam melaksanakan pemartabatan bahasa Melayu dalam negara. Sinergi dan kerjasama “menang-menang” melalui Strategi Laut Biru Negara (NBOS) perlu dijadikan Prosedur Kendalian Standard (SOP) bagi memastikan segala tugasan berkaitan perancangan bahasa yang dilaksanakan oleh DBP mendapat dukungan dan sokongan semua pihak khususnya dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam bermaksud individu yang bertugas di semua kementerian, jabatan persekutuan peringkat persekutuan, wilayah, negeri atau daerah, Perkhidmatan Awam Negeri , agensi dalam perkhidmatan awam dan negeri, badan berkanun kerajaan pusat dan kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Tugas dan tanggungjawab penjawat awam terhadap bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 9 Tahun 2011 berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam perkhidmatan awam. Antara inti pati pekeliling tersebut bertujuan menuntut komitmen setiap penjawat awam supaya bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan sebagai bahasa rasmi dalam perkhidmatan awam dalam negara. Sehubungan dengan itu, semua penjawat awam perlu menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam bentuk lisan dan penulisan yang meliputi aspek ejaan, tatabahasa, sebutan, dan peristilahan dalam urusan rasmi dalam negara.

            Namun komitmen tampuk pemerintahan negara melalui akta ataupun pekeliling tidak boleh dijadikan alasan tunggal untuk membolehkan penjawat awam bersikap “lepas tangan” ataupun mahu terus kekal dalam zon selesa dalam usaha pemartabatan bahasa kebangsaan dalam negara. Sebaliknya, penjawat awam “diwajibkan” untuk memainkan peranan dan pelaku utama dalam usaha menjadi ejen mencapai cita-cita pucuk tertinggi kepimpinan negara serta pihak perancangan bahasa negara untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai tunjang pembinaan tamadun bangsa. Mahu tidak mahu penjawat awam perlu bertindak sebagai pelaku utama agar tidak hanya menjadi “pengikut” bagi menjayakan cita-cita tersebut.

Menyirat Patriotisme Nan Terlerai

“Bagi saya, penjawat awam merupakan nadi utama yang berdenyut dalam pembuluh darah negara. Maka sesuailah dengan tema pada hari ini Penjawat Awam Tiang Seri Negara.” Demikian antara inti pati ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 di Dewan Wawasan, Jitra Kedah pada 1 Mei 2014. Dalam ucapan beliau, digariskan lima kriteria yang perlu ada pada setiap penjawat awam iaitu, berilmu, kebolehpercayaan, amalan kerja terbaik, semangat patriotik dan budaya budaya keberhasilan.

Menyaring sari petikan ucapan beliau, kriteria keempat, ialah semangat patriotik, menuntut pentaakulan yang mendalam. Tanpa menafikan ketaatan kepada raja dan negara sebagai sari utama, pemartabatan bahasa Melayu dalam agenda tadbir urus negara harus dilihat sebagai tonggak ke arah penerapan semangat patriotik. Namun persoalan utama dalam agenda pemartabatan bahasa Melayu ialah, siapakah atau pihak manakah yang seharusnya menggalas tugasan ini? Wajarkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan melalui Akta DBP (semakan 1978, pindaan dan peluasan 1995) dan dipertanggungjawabkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi bergerak sendirian? Apakah peranan agensi-agensi lain, khususnya penjawat awam dalam menzahirkan hasrat memartabatkan bahasa Melayu?

Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda. Andai kata Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai identiti warga Malaysia, jelas bahawa tanggungjawab memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam segala urusan rasmi digalas semua pihak.

Pekeliling “Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” (Pekeliling Bil. 9 2011) memberikan penegasan tentang keperluan penjawat awam khususnya, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi. Tuntasnya bahasa Melayu sewajarnya menjadi wahana komunikasi utama dalam segala bentuk urusan rasmi. Peran utama dalam memastikan hal yang demikian terlaksana pastinya penjawat awam yang melalui akur janji serta penghayatan lima prinsip Rukun Negara secara tersirat melafazkan iltizam untuk memartabatkan bahasa Melayu. Semarakkan semangat patriotik terhadap kedaulatan bahasa ibunda. Menyirat semula semangat patriotisme yang terlerai tanggungjawab yang harus digalas bersama oleh penjawat awam yang bertindak secara khusus sebagai ejen bahasa kebangsaan.