HUBUNGAN BAHASA MELAYU-BAHASA KHMER SUATU KEBETULAN?

Oleh: AB RASAT MOHD ALI

Menurut Mak Phouen (1995) masyarakat Khmer telah mengenali dan bergaul dengan masyarakat Melayu sejak abad ke-14 lagi. Orang Melayu dikenali sebagai Jva Krabei, Jva Iyava, dan Jva Melayu. Orang Melayu dari pelbagai pelosok Nusantara seperti Sumatera, negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, dan daerah yang lain di Kepulauan Melayu memasuki Kemboja dan seterusnya bermastautin di sana. Penghijrahan tersebut disebabkan oleh kegiatan perdagangan, dan penyebaran agama Islam, selain akibat ribut taufan yang membawa kapal nelayan Melayu ke pantai Kemboja. Mungkinkah hubungan ini turut meninggalkan kesan yang besar terhadap pembentukan kosa kata dalam bahasa Khmer yang kini menjadi bahasa utama di Kemboja?

              Dalam Dictionnaire Cambodgien (1967-1968), perkataan jvie bermaksud “nama bagi pulau dalam bahagian Asia, termasuk penduduknya”. Mereka ada yang tinggal di Kampuchea sejak sekian lama tetapi bahasa mereka tidak setulen bahasa bangsa mereka yang tinggal di negara asal mereka. Masyarakat Kemboja yang menuturkan bahasa Khmer ini bertemu dengan pelbagai kelompok masyarakat Melayu yang menuturkan bahasa Melayu sejak sekian lama.

 Rumpun Bahasa Melayu dan Bahasa Khmer

 Rumpun bahasa yang terdapat di dunia ialah rumpun Austroasia, Austronesia dan Indo-Eropah. Istilah Austroasia bermaksud “Asia Selatan” yang terdiri daripada bahasa Cham dan Mon-Khmer yang terdapat di bahagian selatan daratan Asia. Bahasa Khmer juga tergolong dalam rumpun Austroasia. Istilah Austronesia pula bererti “pulau-pulau selatan”. Walaupun Semenanjung Tanah Melayu bukan sebuah pulau tetapi bahasa Melayu digolongkan sebagai bahasa Austronesia. Raja Masittah Raja Ariffin (1996) menyatakan bahawa keluarga bahasa Austronesia turut meliputi beberapa bahasa lain yang ada di Vietnam dan Kemboja. Asmah Hj. Omar (1991) pula menyatakan bahawa terdapat perkaitan antara bahasa orang bukit di Kampuchea (Kemboja) dengan bahasa orang Asli di Malaysia, kecuali bahasa Jakun dan Temuan. Sehubungan dengan hal ini, Asmah Hj. Omar memberikan contoh nama Gunung Benom yang boleh dikaitkan dengan Phnom Penh, kerana Phnom dalam bahasa Kampuchea bermaksud “gunung”.

PASARAN BUKU ILMIAH TEMPATAN MERENTAS SEMPADAN

Oleh: HASRI HASAN

Buku ilmiah atau buku pengajian tinggi merupakan jenis penerbitan yang berpotensi tinggi selain penerbitan buku teks dan rujukan sekolah. Penerbitan buku jenis ini dikatakan berpotensi kerana beberapa faktor yang menyokong. Sesuatu yang sangat nyata ialah saiz pasaran yang menjadi sasarannya adalah sangat besar di Malaysia serta kuasa beli yang ada pada penggunanya.

             Pada tahun 2014, terdapat kira-kira 400 buah institusi pengajian tinggi di Malaysia yang meliputi 20 buah universiti awam, 27 buah universiti swasta, 31 buah kolej universiti dan 323 buah kolej berdaftar. Angka-angka ini tidak termasuk bilangan institut pengajian guru, politeknik serta kolej komuniti di seluruh negara. Bilangan universiti dan kolej ini menempatkan kira-kira 1 156 300 orang pelajar pengajian tinggi dari peringkat sijil hingga peringkat doktor falsafah Statistik yang bersumberkan Perangkaan Pendidikan Negara 2013: Sektor Pengajian Tinggi yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia ini secara tidak langsung menunjukkan betapa besarnya saiz pasaran buku ilmiah.

Kebanyakan pelajar atau penyelidik yang menggunakan buku ilmiah dan pengajian tinggi ini amat memerlukan buku ini sebagai rujukan mereka. Pembaca ini memiliki kuasa beli kerana mereka mendapat sumber kewangan sama ada daripada biasiswa, pinjaman pelajaran atau geran penyelidikan. Mereka memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membeli buku teks atau rujukan pada setiap semester pengajian.

 

POTENSI PENERBITAN ILMIAH BERBAHASA MELAYU

Oleh: NIMOIZ T.Y

Laman sesawang Majlis Profesor Negara (MPN) melaporkan bahawa terdapat sebanyak 1747 orang pensyarah berjawatan profesor (VK7, VK6 dan VK5). Bilangan ini mewakili 6.3 peratus daripada jumlah keseluruhan staf akademik di 20 institusi pengajian tinggi Awam (IPTA) yang berjumlah lebih kurang 22,500 orang. Jika empat orang profesor menghasilkan sebuah buku ilmiah, maka sudah pasti akan terhasil lebih 400 judul buku. Namun begitu, bilangan buku ilmiah yang diterbitkan oleh pusat penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, dan penerbit universiti yang menganggotai Majlis Penerbitan Buku Ilmiah Malaysia (MAPIM) secara relatifnya masih rendah berbanding dengan buku sastera atau novel popular.

            Sememangnya, tanggungjawab menulis buku ilmiah tidak seharusnya dibebankan di bahu pensyarah yang berstatus profesor semata-mata. Setiap ahli akademik di institusi pengajian tinggi sama ada awam ataupun swasta, politeknik, kolej komuniti, IKBN, CIAST dan lain-lain sepatutnya menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku ilmiah sepanjang perkhidmatan mereka. Situasi ini dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju lain yang berlumba-lumba menerbitkan buku ilmiah terutama dalam bidang profesional. Jika buku sastera diterbitkan untuk pembangunan spiritual, buku ilmiah pula diperlukan untuk pembangunan fizikal. Keseimbangan pembangunan spiritual dan fizikal penting untuk menjadikan bangsa Malaysia setanding dengan bangsa lain di dunia. Pada masa ini, penulisan ilmiah dalam bahasa Melayu hanya berlegar dalam ruang lingkup institusi pengajian tinggi sahaja, sama ada melalui penghasilan kertas projek untuk memenuhi keperluan penganugerahan diploma dan sarjana muda, atau penulisan tesis sarjana dan doktor falsafah serta penulisan jurnal.