f-nama-DB1

Evolusi Penterjemahan

Oleh : Wan Halizawati Wan Mahmood

 Terjemahan merupakan suatu aktiviti kuno yang telah lama bertapak dalam sistem peradaban manusia dan menjadi suatu cara komunikasi untuk mencapai sesuatu maksud. Melalui penterjemahan, bentuk komunikasi asal dipindahkan ke persekitaran atau latar yang berbeza supaya kandungan bentuk tersebut dapat dipersembahkan dalam cara yang mencapai maksud asal dengan menjadikan penterjemah sebagai mekanisme perantara. Pada awal kewujudannya, amalan penterjemahan ini dianggap sebagai suatu cara untuk mempelajari bahasa asing atau membaca teks bahasa asing.

             Dalam beberapa dekad yang lampau, bidang penterjemahan melalui fasa perkembangan dan mengalami perubahan yang begitu radikal. Perubahan ini bertitik tolak daripada situasi dunia kini yang dianggap sebagai sebuah perkampungan global. Cara komunikasi manusia kini berlaku dengan pantas dalam pelbagai sektor seperti media, perundangan, politik, pelancongan, kewangan dan ekonomi. Perkembangan skop komunikasi ini telah melahirkan beberapa lagi mod, bentuk, media, dan saluran komunikasi untuk menyampaikan maklumat dan maksud kepada orang ramai.

Kaedah Mudah Mempromosikan Khidmat Penterjemahan

Oleh : Anis Shahirah Abdul Sukur

Peluang untuk menterjemah sebenarnya terbuka luas dan tidak terhad pada kerja di syarikat penerbitan sahaja. Lihat di sekeliling anda atau layari laman sesawang di internet. Anda akan mendapati hampir kesemua produk dan perkhidmatan yang menggunakan bahasa sebagai medium perantara berpotensi untuk diterjemahkan, antaranya termasuklah iklan, buku, katalog, berita akhbar, dokumen syarikat, sijil, laman sesawang, dan brosur bank.

Beberapa contoh yang dinyatakan ini memberikan maklumat bahawa khidmat penterjemah sememangnya diperlukan di serata dunia. Namun begitu, khidmat ini perlu dipromosikan agar khalayak awam mengetahuinya. Dalam konteks ini, penterjemah dikehendaki menguasai kemahiran untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkannya.

Sebenarnya usaha mempromosikan khidmat penterjemahan sama sahaja seperti mempromosikan sesuatu jenama. Langkah pertama, penterjemah perlu mengenal pasti kelebihan yang hendak dihebahkan bagi menarik perhatian bakal pengguna perkhidmatan atau klien. Kelebihan seperti memiliki sijil menterjemah dan pengalaman menterjemah teks dalam bidang tertentu misalnya, dapat meningkatkan kebolehpercayaan terhadap kelayakan dan kredibiliti seseorang penterjemah.

Menaksir Kecekapan Berbahasa Warga Asing

Dr. Jamil Adimin

Kebanjiran warga asing di negara ini sama ada yang datang atas tiket sebagai pekerja atau pelajar mengundang pelbagai masalah termasuklah dari segi bahasa ketika berkomunikasi. Hal ini mungkin boleh mencetuskan konflik dan menimbulkan tingkah laku yang melanggar nilai dan norma budaya tempatan. Bagi membendung masalah ini daripada berterusan, satu langkah proaktif digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majlis Peperiksaan Malaysia bagi menggubal Ujian Kecekapan Bahasa Melayu untuk Warga Asing dan kursus yang berkaitan. Oleh itu, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara kedua-dua badan berkanun ini baru-baru ini. Kertas cadangan mengenai Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Untuk Warga Asing (SKBMWA) akan dikemukakan kepada pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan untuk dibawa ke Kabinet. Tempoh perintis selama satu hingga dua tahun akan dilaksanakan untuk pengenalan ujian itu sebelum dijadikan prasyarat kepada pelajar asing yang melanjutkan pengajian di Malaysia pada masa hadapan.

              Untuk itu, satu wawancara khas diadakan bersama-sama dengan Dr. Jamil Adimin yang merupakan Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia bagi mendapatkan penerangan lanjut tentang ujian yang bakal diperkenalkan ini. Wawancara ini juga ingin mendapatkan pandangan beliau tentang sejauh manakah ujian ini sesuai untuk diperluas kepada pekerja asing yang jumlahnya kini hampir menjangkau dua juta orang meskipun pada peringkat awal ujian ini hanya dikhususkan untuk menguji tahap kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan.

DB:     Melihat negara seperti Jerman dan Perancis yang menegaskan supaya golongan imigran yang terdapat dalam negara mereka berkomunikasi dengan menggunakan bahasa asal Jerman dan Perancis, bagaimanakah tuan melihat situasi tersebut dalam negara kita? Adakah Malaysia perlu mencontohi tindakan kedua-dua negara maju tersebut?

Ya, benar. Saya setuju dengan kenyataan tersebut. Situasi tersebut bukan sahaja berlaku di Jerman dan Perancis, malah di Singapura juga. Warga asing yang berada dalam negara itu perlu mempelajari bahasa rasmi negara tersebut. Bahasa rasmi negara perlu dipelajari. Bukan sahaja untuk memartabatkan bahasa tersebut, walaupun memartabatkan itu suatu tuntutan, tetapi untuk membolehkan perhubungan menjadi mudah supaya tidak ada masalah komunikasi dan tidak akan wujud salah faham antara individu.

              Contohnya, terdapat suatu kejadian di Singapura yang diceritakan oleh sepupu saya yang mempunyai kaitannya dengan persoalan yang dibincangkan ini. Pelayan restoran di Singapura yang merupakan warga asing dari negara China tidak dapat memahami pesanan sepupu saya yang bercakap dalam bahasa Inggeris kerana pelayan tersebut tidak memahaminya. Jadi situasi tersebut sama seperti yang terjadi di Malaysia. Saya sendiri pernah berada dalam situasi yang sama. Saya pernah memesan makanan dan pelayan tersebut menulisnya berkali-kali tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang ditulisnya. Perkara tersebut dapat menimbulkan akibat yang besar,

Tenggelam Dalam Kebanjiran

Oleh : Zulkifli Salleh

Seandainya tidak berlaku banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands, pembunuhan dan penangkapan yang melibatkan warga Myanmar dalam jumlah yang besar di Pulau Pinang, dan penggodaman mesin teler automatik (ATM), nescaya kehadiran pendatang, baik yang sah, mahupun pendatang tanpa izin (PATI) di Malaysia tidak dipedulikan. Mereka bebas bergerak, berkeliaran ke sana ke mari, dan muncul di mana-mana sahaja, dalam pengangkutan awam, di kawasan perumahan, di pusat beli-belah, di kota, di desa, di jalanan, di pasar malam, di pasar borong, di hutan, di lembah, di bukit, dengan berbagai-bagai tujuan dan pelbagai pekerjaan, ada yang sah, dan tidak kurang juga ada yang menyalahi undang-undang. Sementara itu, Sabah pula terpaksa menghadapi masalah orang tidak bernegara sejak berdekad-dekad, dan mereka dikaitkan dengan kewujudan penyakit sosial, keadaan tidak selamat, dan jenayah di negeri itu.

            Bagi sesiapa yang bersiar-siar di ibu negara Kuala Lumpur, pasti dapat mengesan kehadiran pendatang, bukan sahaja dari segi batang tubuh mereka, tetapi juga dari segi papan iklan dan gegantung yang terletak di kaki lima. Seperti yang dapat dilihat di sekitar Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang yang bahasa Inggeris lebih kelihatan, tetapi kini bahasa Arab dan “simbol” Timur Tengah tidak ketinggalan. Meskipun kewujudan restoran Timur Tengah itu lebih bertujuan menampung keperluan pelancong dari rantau itu dan penduduk tempatan yang ingin menjamu selera, dan pastinya, tidak ada kena mengena dengan kebanjiran pendatang asing, sebenarnya, situasi ini turut menambahkan lagi kecelaruan jati diri atau identiti nasional.

Usah Tenggelam Dalam Kebanjiran

Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2013 yang lalu,sebanyak 2 116 998 pekerja asing yang sah dan berdaftar dilaporkan berada di negara ini sehingga 30 Jun 2013. Fenomena kebanjiran imigran jelas kelihatan apabila pendatang asing tanpa izin yang jumlah sebenarnya tidak dapat dipastikan itu dimasukkan dalam statistik ini. Isu ini sering dikupas dari aspek impaknya kepada sektor ekonomi dan sosial, tetapi tidak banyak orang yang memperkatakannya dari perspektif bahasa yang juga secara diam-diam mengundang pelbagai implikasi negatif terutama terhadap kelangsungan bahasa kebangsaan.

            Setakat ini tiada undang-undang khusus yang mewajibkan mereka agar mempelajari bahasa kebangsaan sebagai prasyarat kelayakan untuk berkhidmat dalam mana-mana sektor di negara ini. Meskipun terdapat inisiatif mereka secara peribadi untuk belajar bahasa kebangsaan demi kepentingan kerjaya mereka, tanpa adanya undang-undang khusus ini nescaya aspek mempelajari bahasa kebangsaan tidak akan dianggap oleh mereka sebagai suatu keperluan. Untuk itu, penggubalan undang-undang ini dilihat sebagai suatu keperluan yang wajib disegerakan kerana kita tidak mahu pada suatu hari nanti negara ini akan dibanjiri “koloni” pendatang asing yang dipenuhi dengan papan tanda yang bertulisan bahasa negara asal imigran seolah-olah kita sedang berada di luar negara.

            Dengan adanya ketetapan ini, maka ujian kecekapan bahasa kebangsaan kepada pekerja asing boleh dikenakan bagi menguji tahap penguasaan bahasa Melayu mereka sebagaimana yang bakal diperkenalkan kepada pelajar asing yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan. Usaha ini sedang digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka hasil kerjasama strategik dengan Majlis Peperiksaan Malaysia. Ujian ini sewajarnya dijadikan sebagai antara elemen terpenting dalam proses saringan awal sebagai syarat prosedur kemasukan sebelum mereka diberi permit untuk bekerja di negara ini. Langkah ini diharapkan berupaya membendung kebanjiran pendatang asing yang selama ini sudah banyak mendatangkan pelbagai masalah sosial, malah memberikan ancaman kepada keselamatan negara.

               Dalam masa yang sama, kursus khas bahasa Melayu juga penting untuk mendidik golongan ini supaya mereka bukan sahaja dapat memahami bahasa Melayu dengan baik sewaktu berkomunikasi dengan majikan masing-masing, malah menghormati nilai dan norma budaya tempatan. Keperluan ini amat signifikan terutamanya kepada pembantu rumah warga asing kerana kita tentu tidak mahu melihat anak-anak kita yang seharian dijaga oleh mereka lebih selesa bertutur menggunakan ungkapan “gue” dan “lo” berbanding dengan “saya” dan “awak”. Kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat, tetapi cuba bayangkan jika hal ini tidak dipedulikan, apakah yang bakal berlaku pada mutu amalan berbahasa generasi akan datang?