Meraikan Perbezaan dalam Pengajaran

Oleh : Zulkifley Hamid

 Program pendidikan bahasa Melayu yang cemerlang ialah program yang dirancang secara menyeluruh, iaitu komponen-komponen pengetahuan bahasa diajar secara utuh. Dengan kata lain, program pendidikan bahasa Melayu yang berkesan akan merangkumi keseluruhan aspek pengetahuan bahasa Melayu, iaitu kosa kata, sistem nahu, peraturan budaya, sistem nilai dan pelbagai kekangan sosial semasa berbahasa Melayu. Seseorang pengguna bahasa yang tidak memahami budaya berbahasa atau kekangan sosial semasa berbahasa berkemungkinan besar akan menghasilkan output bahasa yang kurang wajar atau tidak bersesuaian dengan keperihalan keadaan atau tuntutan sesuatu wacana komunikasi. Dengan kata lain, konsep “tahu bahasa” atau kefasihan  tidak hanya terbatas kepada konsep kenahuan dan perbendaharaan kata, tetapi juga kebolehan untuk memilih unsur-unsur kebahasaan yang bersesuaian dengan keperihalan keadaan penggunaan.

               Noam Chomsky menggunakan frasa “kecekapan linguistik” dan “kecekapan pragmatik” untuk mengkonsepsikan dua kategori pengetahuan bahasa ini (Chomsky dlm. Botha, 1989). Kecekapan linguistik merujuk pengetahuan tentang nahu sesuatu bahasa, iaitu peraturan atau tatacara menyusun pelbagai unsur dalam sesuatu bahasa agar bersesuaian dengan kaedah penyusunan secara sintagmatik atau secara mendatar. Kecekapan pragmatik atau kecekapan berbahasa pula merujuk pemahaman para pengguna bahasa tentang pelbagai kekangan sosial atau budaya yang wujud dalam pelbagai wacana atau keperihalan keadaan. Kecekapan ini melibatkan kebolehan untuk memilih unsur-unsur yang bersesuaian dengan suasana dan tujuan penggunaan bahasa pada ketika yang tertentu.

Membentuk Acuan Bahasa Warganegara

Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong

Beliau sememangnya berani mengemukakan pandangan. Baru-baru ini pendedahan yang dibuat oleh beliau tentang kegagalan sejumlah pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menguasai bahasa Melayu mampu membuka mata banyak pihak. Pendedahan berani ini telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada pihak-pihak yang terbabit. Sejauh manakah seriusnya isu yang dibangkitkan ini? Adakah gejala yang muncul ini menandakan adanya kepincangan dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara?

                Untuk itu, satu wawancara khas diadakan bersama-sama dengan beliau bagi mendapatkan penerangan yang lebih jelas terhadap isu yang dibangkitkan. Wawancara ini diharapkan dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul hasil daripada pendedahan beliau itu dan sekali gus menjelaskan kedudukan sebenar situasi yang berlaku terutama yang berkaitan dengan mutu penguasaan bahasa Melayu lepasan aliran sekolah jenis kebangsaan.

DB:     Bahasa Melayu suatu ketika dahulu pernah mencapai statusnya sebagai lingua franca. Bagaimanakah Profesor melihat keadaan bahasa Melayu sekarang?

Ya, memang betul bahawa pada abad ke-16 bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca. Di sini bermaksud pentingnya bahasa Melayu sepertimana bahasa Latin di Eropah pada ketika itu. Di Eropah, jika seseorang itu tidak ada kecekapan dan pengetahuan dalam bahasa Latin, maka akan berlaku kesulitan pada dirinya. Begitu juga keadaannya di Asia Tenggara pada ketika itu. Jika seseorang tidak mempunyai pengetahuan dan tidak cekap berbahasa Melayu, maka susah bagi dirinya untuk berkomunikasi dan bergerak. Selain itu, maksud lingua franca ini sebenarnya ialah bahasa perhubungan untuk kegiatan kebudayaan rendah. Contohnya, dua orang yang tidak mempunyai bahasa yang dapat dikongsi bersama, maka digunakanlah bahasa Melayu untuk tujuan perhubungan dan komunikasi. Kini, statusnya sebagai lingua franca sudah tidak wujud dalam kalangan negara Asia Tenggara. Sekarang, konteks lingua franca tersebut sudah berubah.

                 Masyarakat India dan Cina berpendidikan rendah yang tidak ada pengetahuan dan tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris masih menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jadi lingua franca ini merupakan istilah linguistik yang bermaksud bahasa perhubungan yang digunakan untuk tahap rendah seperti perbualan harian biasa sahaja. Kita mahu bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan luas serta digunakan dalam perkara yang lebih rasmi. Contohnya seperti bahasa Inggeris yang digunakan dalam hal-hal rasmi dan formal serta terlibat dalam kegiatan kebudayaan tinggi. Tetapi masih ramai yang tidak faham makna sebenar lingua franca. Lingua franca lebih sering dikaitkan dengan kegiatan budaya rendah yang penggunaannya hanya dalam bidang yang remeh dan kecil. Jadi kita tidak mahu keadaan bahasa Melayu seperti itu. Kita mahu penggunaan bahasa Melayu itu dalam skop yang pelbagai dan digunakan dalam bidang yang rasmi dan formal.

Mengupayakan Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan

Sejarah lampau tidak mungkin dapat dipadamkan. Realiti itulah yang telah mendewasakan warga yang mendiami sebuah negara yang bernama Malaysia. Oleh itu, kita perlu akur dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang telah sekian lama mewarnai sistem pendidikan negara. Isu kegagalan pelajar lepasan sekolah aliran ini menguasai bahasa kebangsaan yang dibangkitkan baru-baru ini tidak seharusnya diselesaikan menerusi pendekatan “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”. Situasi ini sepatutnya ditangani dengan bijak supaya “rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”. Persoalannya, sejauh manakah pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di SJK diambil perhatian selama ini oleh masyarakat? Bukankah tidak adil jika murid di SJK, baik Melayu atau bukan Melayu dibiarkan terkapai-kapai tanpa sebarang bantuan dalam persekitaran yang kurang kondusif untuk mereka menguasai bahasa kebangsaan?

                Kesediaan Persatuan Cina Malaysia (MCA) untuk membantu Kementerian Pendidikan memulihkan kemelut ini sebagaimana yang disuarakan oleh presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai harus dipuji. Beliau juga mengaku bahawa usaha yang dilakukan selama ini masih tidak memadai untuk memastikan seluruh pelajar di sekolah aliran berkenaan menguasai bahasa kebangsaan. Atas kesedaran inilah, maka pihak kementerian telah pun mengambil pendekatan awal yang agak berani dengan mencadangkan peningkatan waktu pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di SJK ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 biarpun langkah ini mendapat tentangan hebat daripada sesetengah pihak.

                Untuk menjayakan hasrat murni ini, ketulusan hati semua pihak dalam menangani isu ini amat dituntut supaya masing-masing tidak bertegang urat hanya semata-mata untuk menegakkan benang yang basah demi kepentingan peribadi dan kelompok kerana dalam situasi ini kepentingan negara itu lebih mustahak untuk diperjuangkan. Ketelusan dari segi pelaksanaan juga diperlukan agar apa-apa sahaja gagasan yang ingin dijayakan nanti bukan hanya tinggal sebagai cadangan.

              Dalam keghairahan sesetengah pihak mengemukakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam masyarakat, kita seharusnya sedar bahawa selama ini ada sesuatu yang kita terlepas pandang, iaitu daya usaha yang telah dilaksanakan selama ini untuk memperkasakan bahasa kebangsaan di SJK. Ingatlah bahawa dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan tempang seandainya tindakan yang signifikan tidak direncanakan bagi mengupayakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, seterusnya bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai ranah disiplin ilmu. Semoga kedatangan Tahun Baharu 2015 akan memberikan sinar yang meyakinkan kepada sistem pendidikan negara demi manfaat anak bangsa. Selamat tahun baharu buat semua.

Mahu Apa Lagi?

Oleh Zulkifli Salleh

Our English Needs Life Support” demikian tajuk depan akhbar The Star pada 11 November, yang mendedahkan bahawa doktor di negara ini terkial-kial dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah. Mereka menghadapi masalah berkomunikasi dengan pesakit dan rakan sebaya mereka. Pada halaman empat, akhbar yang beria-ia menegakkan bahasa Inggeris dan menggesa kerajaan memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris, mengemukakan laporan penuh. Sebelum itu, akhbar tersebut melaporkan bahawa lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris ialah alasan utama kira-kira 1 000 orang doktor terpaksa meletakkan jawatan mereka.

          Keesokan harinya, The Sun, muncul dengan “It’s
a Must: Without English Malaysian Can Only be ‘Jaguh
Kampung’ – Najib.” Profesor Abdullah Hassan yang menaik turun halaman depan akhbar itu dalam Facebook, menulis dengan nada yang sinis: “Memang hamba berasal dari kampung! Masih tinggal di kampung! Tidak ada rasa malu tentang latar kampung hamba! Tidak pula terasa diri besar mendapat pendidikan dan pandai berbahasa Inggeris. Hamba cuma anak kampung, tidak pun menjadi jaguh di kampung. Tuan dari mana?”

          Pendedahan bahawa doktor muda menghadapi masalah berkomunikasi dengan pesakit dan rakan sebaya mereka seolah-olahnya mengambarkan bahawa doktor berkenaan berkhidmat di negara berbahasa Inggeris, seperti England, Amerika Syarikat, Australia, dan New Zealand, dan mereka bukannya berkhidmat di Malaysia! Sebagai doktor muda, mereka lazimnya berkhidmat di hospital kerajaan yang kebanyakan pesakit terdiri daripada golongan kelas menengah dan kelas bawahan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Pengaruh Logik India dalam Bahasa Rumpun Melayu

Oleh Mohammad Alinor Abdul Kadir

Pengenalan

Kajian yang sebenarnya menarik perhatian ialah tentang kemasukan konsep logik Hindu, Buddha, Islam dan Eropah-Barat ke Alam Melayu. Semua hal ini boleh diteliti dengan menyemak kembali teks-teks nyaya, mantik atau logik yang masuk menerusi ajaran Hindu dan Buddha dari India ke Alam Melayu; ajaran Islam dari Timur Tengah, Asia Tengah dan India ke Alam Melayu, dan ajaran Yahudi, Kristian dan Moden dari Eropah atau Barat ke Alam Melayu. Teks nyaya Hindu masih boleh dikesan wujud di Jawa dan Bali, namun dalam keadaan yang hampir musnah. Teks nyaya Buddha masih kekal dalam bentuk terjemahan di Tibet, Jepun, China dan Vietnam. Usaha mencari versi Kunlun (bahasa Melayu Kuno) masih diteruskan dengan sukar. Teks mantik Islam masih banyak berselerak di surau-surau, masjid-masjid, perpustakaan-perpustakaan istana, perpustakaan-perpustakaan utama Alam Melayu dan seluruh dunia. Belum ada yang tampil mengumpulkan dan mengkajinya. Teks-teks logik Yahudi-Kristian dan Eropah atau Barat Moden memang masih wujud dalam perpustakaan universiti-universiti seluruh Alam Melayu, contohnya, yang awal di Universitas Santo Tomas, Manila, yang dibina pada tahun 1611, atau di Perpustakaan Kolonial Perancis dan di Perpustakaan Nasional, Phnom Penh, Kemboja. Ingin diperhatikan apakah bahasa Melayu atau bahasa-bahasa dialek Rumpun Melayu yang pelbagai, yang menerima impak hasil kemasukan konsep-konsep ini, berubah struktur maknanya dengan jelas? Apakah pantun dan peribahasa (peribahasa adalah istilah Sanskritnya) merupakan bentuk bahasa yang dipengaruhi oleh konsep nyaya dan mantik?

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Asal Usul Kata dalam Undang-undang

Oleh S. Nathesan

Undang-undang merupakan suatu set peraturan yang dikuatkuasakan dalam masyarakat. Justeru, undang-undang dapat diertikan sebagai bidang yang berkaitan dengan sistem peraturan dan tatacara yang ditetapkan oleh masyarakat untuk dipatuhi supaya ketenteraman dan keamanan wujud dalam dunia. Sebagai satu insitutusi sosial yang paling asas, undang-undang amat perlu dalam masyarakat. Penetapan undang-undang sudah bermula apabila tamadun manusia diwujudkan. Antara undang-undang purba terawal dapat dikesan di negara Mesir bertarikh kira-kira 3 000 SM. Untuk memastikan masyarakat mematuhi undang-undang, badan badan seperti pasukan polis dan mahkamah diasaskan dalam kebanyakan masyarakat.

         Kata undang-undang sudah wujud dalam bahasa Melayu sejak dahulu lagi dan bersinonim dengan kata adat, kanun, tertib dan hukum yang berasal daripada kata Arab.. Terdapat sebilangan kata pinjaman yang telah masuk bidang perundangan dalam peredaran zaman. Antaranya termasuk caj, fail, kes, modus operandi, plantif, reman, prosiding, petisyen, saman, suspek, dan terma. Sebilangan daripadanya sudah lama digunakan dalam bahasa Melayu, dan barangkali ada pengguna yang tidak sedar bahawa kata-kata tersebut merupakan kata pinjaman kerana sudah lumrah digunakan oleh masyarakat.

Caj (charge)

Dalam konteks umum, kata caj membawa erti bayaran atau harga. Dahulunya, konsep caj dinyatakan dengan kata harga dan bayaran seperti yang dicatatkan dalam Kamus Wilkinson (1908) dan Kamus Winstedt (1965). Dalam Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia (1979) pula, kata charge diterangkan maknanya sebagai “dakwaan atau tuduhan yang dikemukakan di mahkamah”. Walau bagaimanapun, kata caj masuk dalam kosa kata Melayu sekitar tahun 1990-an dan kata tersebut pertama kali dicatatkan dalam Kamus Dewan (1994) dengan mendukung maksud umum “bayaran yang perlu untuk sesuatu perkhidmatan atau barang yang dibeli”.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Imbasan Bahasa Melayu di Sarawak

Oleh Dilah Tuah

Perkembangan bahasa Melayu di Sarawak biarpun perlahan, tetapi kadang kala boleh mengundang polemik yang berpanjangan. Sarawak yang merupakan negeri terbesar di Malaysia, turut memiliki kepelbagaian etnik, bahasa dan budaya. Di samping itu, penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dalam semua urusan kerajaan negeri sejak pentadbiran Brooke, menjadikan Sarawak antara negeri yang masih belum melaksanakan dasar bahasa kebangsaan sepenuhnya. Jika dilihat dari sudut sejarah, kerajaan negeri Sarawak sehingga ke hari ini, tidak pernah mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal di negeri tersebut, seperti yang dilakukan oleh negeri Sabah pada tahun 1971.

         Menurut Leigh, M.B (1974) dalam The Rising Moon: Political Change in Sarawak, pada tahun 1985, badan perundangan negeri Sarawak bersetuju untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, selepas segala kekurangan infrastruktur dan halangan berjaya ditangani. Dalam sistem pendidikan di Sarawak, bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa pengantar pada tahun 1977, pada peringkat sekolah rendah (darjah satu). Manakala pada peringkat sekolah menengah, bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pengantar sehingga tingkatan lima pada tahun 1987.

         Kesan pascaimperialisme yang telah ditinggalkan oleh keluarga Brooke dan Inggeris, turut memberikan impak yang cukup besar terhadap perkembangan bahasa Melayu di Sarawak. Hal ini dibuktikan dengan kajian yang telah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1983, iaitu selepas 20 tahun Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa pada keseluruhannya, terdapat tiga pola penggunaan bahasa rasmi di Sarawak iaitu pola bahasa Inggeris, pola bahasa Melayu dan pola dwibahasa bahasa Inggeris-bahasa Melayu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari