Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2014 December.

KEGIATAN PENGIKTIRAFAN MENJULANG BAHASA KEBANGSAAN

Agenda Bahasa

Oleh : Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong

Bahasa Melayu lebih sedekad yang lalu telah mencapai martabat sebagai bahasa yang besar. Seawal abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, dan bersifat lingua franca bagi rantau kepulauan Melayu. Di bawah pemerintahan kerajaan Srivijaya pula, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa ilmu. Era pemerintahan kesultanan Melayu Melaka menyaksikan bahawa bahasa Melayu digunakan begitu meluas, bukan sahaja dalam aktiviti perdagangan, malah turut digunakan dalam pengajian ilmu agama Islam, sebagai bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, dan bahasa ilmu falsafah. Ketinggian nilai bahasa Melayu telah menarik ratusan ilmuwan dari serata dunia untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu. Francois Valentijin  menggambarkan bahasa Melayu dalam tulisan beliau seperti yang berikut:

            Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri timur sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis, atau Latin di Eropah, atau bahasa lingua franca di Itali dan Lavant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga kepulauan Filipina.

            Kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan 17 Masihi dapat digambarkan sebagai satu bahasa yang tinggi martabatnya dan luas pengaruhnya bukan hanya terhad di rantau tanah Melayu, tetapi meliputi kepulauan Melayu,  seperti yang digambarkan oleh Francois Valentijin.

             Era penjajahan kuasa asing terutama Inggeris di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia telah menyebabkan kuasa besar yang dimiliki oleh bahasa Melayu selama ini beransur-ansur malap apabila kuasa penjajah mula memperkenalkan bahasa Inggeris dalam semua urusan di Tanah Melayu. Dalam bidang pendidikan pula, bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Melayu dengan cabang ilmu yang terhad. Hal ini direncanakan oleh Inggeris untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa yang berupaya membebaskan tanah airnya daripada cengkaman penjajah.

 

DEMOGRAFI DAN PENGEMBANGAN BAHASA

Dunia Bahasa

Oleh : Zulkifli Salleh

Banyak bahasa kini diancam oleh kepupusan, seperti yang dilaporkan oleh Christine Dell’Amore dalam National Geographic pada April 2014. Menurut beliau, daripada 143 bahasa peribumi di Mexico, 60 bahasa berisiko untuk lenyap selama-lamanya. Dengan memetik sumber UNESCO, beliau menegaskan bahawa Mexico bukan satu-satunya negara yang hilang suaranya. Jika tidak dilakukan sesuatu, kira-kira separuh daripada lebih 6000 bahasa yang dituturkan hari ini akan hilang pada akhir abad ini. Dell’Amore juga memetik kata-kata ahli antropologi bahasa yang bekerja dengan Endangered Languages Project, yang merupakan sumber dalam talian untuk bahasa yang sedang terancam, “Oleh sebab keadaan dunia kini yang saling berhubung dan tidak pernah berlaku sebelum ini, maka lebih banyak orang terdedah untuk bertutur dalam bahasa sejagat yang dominan seperti bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, dan bahasa Sepanyol.”

            Kecil atau besarnya sesuatu bahasa lazimnya diukur daripada segi jumlah penutur bahasa kebangsaan, yang menentukan taraf kedudukan sesuatu bahasa itu. Semakin kecil bilangan penutur sesuatu bahasa, maka keadaan ini menandakan bahawa bahasa berkenaan sedang diancam kepupusan. Sebaliknya, bahasa yang mempunyai jumlah penutur yang besar dianggap sebagai bahasa utama atau bahasa dunia yang dominan, misalnya bahasa Indonesia yang mempunyai jumlah penutur melebihi 200 juta orang. Demikian juga bahasa Mandarin yang memiliki jumlah penutur yang paling banyak. Walau bagaimanapun, menurut Bloomberg Businesweek pada September tahun ini, 400 juta orang atau kira-kira 30 peratus daripada 1.3 bilion penduduk di China tidak dapat bertutur dalam bahasa Mandarin. Meskipun Mandarin merupakan bahasa rasmi pengajaran di sekolah dan juga dalam kalangan pegawai kerajaan, banyak keluarga mengutamakan penggunaan salah satu dialek semasa di rumah. Dalam beberapa tahun belakangan ini, dialek tempatan popular menerusi muzik, filem, dan program televisyen.

ANUGERAH PENYUNTIK SEMANGAT UNTUK LEBIH GIAT

Bual Bahasa

Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail

Perwatakannya sederhana tetapi ilmunya penuh di dada. Dunianya bukan sekadar nombor dan angka sebagaimana ahli matematik yang lain. Suatu perkara menarik yang terdapat pada tokoh yang diwawancara kali ini ialah beliau mampu mengungkapkan bidang kepakarannya itu daripada perspektif tempatan. Minatnya meneliti kitab warisan ulama silam bukanlah sebagaimana pemerhatian seorang ahli agama. Uniknya, pemerhatian terhadap sumber warisan itu dibuat dari kaca mata seorang ahli matematik. Beliau yang dimaksudkan merupakan pemenang Hadiah Karya Ilmiah 2014. Bukunya yang berjudul Mantik dan Etnomantik, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah melayakkan beliau untuk merangkul anugerah yang disampaikan oleh Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin sempena majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 Peringkat Kebangsaan pada 14 Oktober yang lalu. Dalam majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM 20,000.00 dan sijil penghargaan yang merupakan hadiah tertinggi negara yang pernah ditawarkan untuk penulisan ilmiah berbahasa Melayu.

S1 : Sudah lebih setengah abad bahasa kebangsaan disebarkan menerusi pendidikan. Pada pandangan Dr., sejauh manakah pendekatan yang dilaksanakan ini berkesan dalam usaha membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bahasa kebangsaan?

Persoalan bahasa bukan persoalan individu. Bahasa jiwa bangsa. Bangsa pula identiti negara. Negara bertanggungjawab menjaga warisan termasuk bahasa. Sistem pendidikan selepas merdeka menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan. Selepas bahasa Melayu berjaya dimartabatkan dalam sistem pendidikan kita, dengan jayanya, maka dasar ini diubah dengan menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains. Memang benar, bahasa Inggeris perlu dipelajari, begitu juga bahasa lain termasuk bahasa Arab, Jerman, Sepanyol dan lain-lain, tetapi bukan dalam Matematik dan Sains, tetapi perlulah bahasa asing diajar dalam subjek bahasa moden. Tiada siapa yang menafikan penguasaan bahasa asing yang pelbagai, tetapi bahasa ibunda ialah bahasa anugerah Ilahi kepada bangsa tersebut yang perlu dipupuk dan dijaga sebagai nikmat Ilahi kepada mereka, serta dimartabatkan oleh bangsa tersebut.

             Masyarakat berbelah bahagi dalam isu pelaksanaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. Ada yang berhujah bahawa penggunaan bahasa Inggeris menggantikan bahasa ibunda merupakan keperluan semasa ke arah negara maju yang bersifat global. Mereka barangkali gagal melihat bahawa tiada bangsa yang maju di dunia dengan menggunakan bahasa asing. Ada banyak negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan telah muncul sebagai antara negara termundur di dunia. Bukan bahasa asing penentu kemajuan tetapi jati diri bangsa itu sendiri.

ANUGERAH: PENGIKTIRAFAN YANG TERINDAH

Bicara Bahasa, Nota Editor

Anugerah menjadi medan untuk mengiktiraf kualiti terbaik yang dihasilkan oleh pihak tertentu dalam sesuatu bidang. Dunia hiburan kini meriah dengan pelbagai majlis anugerah. Adakah hal ini turut berlaku dalam lapangan kebahasaan dan keilmuan terutamanya untuk menggalakkan penyertaan masyarakat umum dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Penganjuran majlis anugerah sedemikian signifikan kerana melalui pendekatan inilah, sumbangan individu atau institusi yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam sebarang kegiatan pengembangan citra bahasa kebangsaan dihargai dan sekali gus menyuntik minat dan semangat kelompok lain untuk turut sama terlibat.

               Dalam usaha menyuburkan penerbitan karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan misalnya, setakat ini berapa banyakkah anugerah yang benar-benar diwujudkan khusus untuk mengangkat karya hebat dalam bahasa kebangsaan hasil buah tangan ahli akademik tempatan? Sudahkah semua insititusi pengajian tinggi menyahut seruan kerajaan agar menjadikan penghasilan terbitan dalam bahasa Melayu sebagai antara kriteria terpenting untuk kenaikan pangkat tenaga akademik masing-masing? Atau kita hanya masih bergantung harap semata-mata pada carta kedudukan bertaraf antarabangsa sebagai kayu ukur untuk menampilkan kehebatan institusi di mata khalayak umum sedangkan ternyata ruang yang diberikan kepada bahasa kebangsaan dalam aspek penilaian cukup terhad?

             Inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majlis Profesor Negara menyediakan peruntukan yang besar untuk Hadiah Karya Ilmiah 2014 yang disampaikan sempena majlis pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini sewajarnya membuka mata banyak pihak bahawa bidang kebahasaan dan keilmuan juga memerlukan penganugerahan yang berprestij. Sumbangan pihak swasta untuk menjayakan hasrat murni ini amat didambakan kerana pastinya penganjuran program sebegini melibatkan kos yang tinggi. Sudah tiba masanya untuk sektor swasta mengubah persepsi mereka terhadap konsep tanggungjawab sosial korporat yang selama ini lebih banyak dilaburkan dalam bidang sukan dan hiburan sedangkan bidang kebahasaan tidak mendapat sokongan yang sewajarnya. Meskipun hasil yang dituai bukanlah dalam bentuk keuntungan wang ringgit, namun percayalah bahawa inilah sumbangan terbesar yang boleh disumbangkan oleh sektor swasta kepada tanah air bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk citra bahasa kebangsaan tumbuh dengan subur di segenap sektor.

            Dengan adanya penajaan yang berterusan diharapkan semangat individu dan institusi untuk menyokong usaha kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan akan terus mekar bersemi sepanjang tahun bukan hanya bermusim tatkala Bulan Bahasa Kebangsaan semata-mata. Semoga tahun baharu 2015 yang bakal menjelang tiba nanti akan diwarnai dengan pelbagai bentuk penganugerahan yang akan menyaksikan peningkatan penyertaan masyarakat dalam kegiatan kebahasaan pada masa hadapan.

PENERBITAN KARYA ILMIAH DALAM BAHASA MELAYU MASIH LESU: MAMPUKAH ANUGERAH MEMBANTU?

Agenda Bahasa

Oleh : Syahrul Nizam Junaini

 Senario semasa menunjukkan bahawa masih berlaku kekurangan buku rujukan dalam bahasa Melayu terutama di universiti. Persoalannya, mengapakah para pensyarah tidak cukup berselera untuk menulis buku dalam bahasa Melayu? Adakah penulisan karya berbahasa Melayu dalam kalangan ahli akademik tampak lesu kerana kurangnya anugerah, galakan dan insentif?

              Setakat ini, beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah memberikan ganjaran kewangan bagi penulisan buku. Antaranya termasuklah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Universiti dengan kampus di Batu Pahat, Johor ini menghadiahkan sehingga RM5000 untuk satu tajuk buku yang dihasilkan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, sains dan matematik, serta sains sosial dan kemanusiaan, selain buku untuk bacaan popular. Usaha yang bermula sejak 2009 ini dilihat berjaya merangsang kakitangan universiti itu supaya menyemarakkan aktiviti penulisan buku ilmiah.

             Di samping itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) juga menurut jejak langkah UTHM. Di bawah Dasar Insentif Penyelidikan, buku ilmiah berkaitan dengan penyelidikan diberi ganjaran kewangan bernilai RM2000. Universiti Utara Malaysia (UUM) juga tidak mahu ketinggalan menghargai usaha ahli akademik mereka. Menerusi Skim Insentif Penerbitan Artikel Jurnal, Buku dan Bab Dalam Buku (SIP), sejumlah RM1000 menanti pensyarah yang berjaya menulis buku ilmiah.

             Terbaharu, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) turut menawarkan RM2000 bagi satu tajuk buku mulai 2014. Sebelum itu, sebanyak tujuh buah buku dalam bahasa Melayu berjaya diterbitkan bagi tempoh 2012-2013. Antaranya termasuklah karya berjudul Politik Sarawak: Perspektif Penganalisis (tulisan Jeniri Amir), Melayu Sarawak: Sejarah yang Hilang (Sanib Said), serta Penerbitan: Teori dan Praktis (Mus Chairil Samani).